Isnin, 29 Januari 2018

Bila Pula Kami Cekik, Pukul, Mengasari Rozan, Kata Penganjur Pasar Malam.

TIADA kaitan dengan UMNO. Begitulah penafian Ketua Pemuda Umno Batu, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim ketika bercakap kepada wakil media dari portal Malaysiakini pada 27 Januari lepas. 

Menurut Gulam Muszaffar, tiga individu yang bergaduh dengan lelaki berbaju PKR sebenarnya merupakan penganjur pasar malam berkenaan.

“Pemuda Umno Batu tidak terlibat, mereka adalah ahli jawatankuasa (AJK) penganjur pasar malam berkenaan,” katanya, memetik laporan Malaysiakini.



Gulam Muszaffar menjelaskan AJK berkenaan menghalang Rozan memasuki pasar malam itu kerana membawa tiang bendera bersama yang dilihat sebagai membahayakan keselamatan.

“Tahu tak Rozan bawa kayu tajam (tiang kayu) dengan bendera (PKR) untuk tujuan berkempen? Ini boleh membahayakan pelanggan yang datang pasar malam untuk membeli makanan," jelasnya lagi.


Sementara itu, salah seorang AJK penganjur pasar malam yang bernama Ridzwan Mohd Ali membuat laporan polis terhadap Pemuda PKR berkenaan. Pemuda PKR berkenaan ialah Setiausaha Pejabat kepada Ahli Parlimen Batu yang dikenali dengan nama Rozan Azen Mat Rasip.

Dalam laporan itu, Ridzwan mendakwa dia mengingatkan Rozan agar tidak membawa tiang bendera yang dilihat sebagai membahayakan keselamatan.

"Saya menegur kedua-dua mereka dan beritahu jika mahu edar kalendar, sebagai penganjur pasar malam, saya benarkan tapi mereka tak boleh bawa bendera PKR kerana ia diikat pada tiang kayu yang tajam yang boleh membahayakan orang awam.

"Apabila saya nasihatkan mereka, salah seorang daripada mereka tidak puas hati dan kata kepada saya 'Siapa kamu? Atas undang-undang apa yang halang kami daripada memegang bendera dan tiang bendera?'

"Selepas itu, sedikit pertengkaran mulut dan tolak-menolak terjadi antara kedua-dua pihak sebab mereka enggan dengan arahan saya.

"Lelaki berbaju PKR itu terus membuat provokasi terhadap saya dan AJK lain,"
kata Ridzwan dalam laporannya.

Dia menambah, laporan itu dibuat kerana mendapat tahu Rozan menuduh dikasari, dipukul, dan dicekik dalam kejadian itu.

"Saya dan dua AJK lain tidak pukul dia, sebaliknya apa yang jadi adalah pertengkaran dan tolak-menolak.

"Saya buat laporan ini kerana ingin menyatakan hal sebenar. (Saya halang mereka) untuk menjaga keselamatan pengunjung dan peniaga pasar malam,"
tambah Ridzwan lagi.


Terdahulu tular video kekecohan petugas PKR yang dimaki hamun oleh beberapa lelaki yang tidak dikenali di sosial media.

Membuat penjelasan mengenainya, Rozan berkata beliau diserang di Pasar Malam di Flat PKNS, Jinjang Utara pada malam khamis ketika mengedarkan kalendar.

Menurut Rozan, ketika dia dan seorang sukarelawan pejabat Tian Chua cuba memasuki pasar malam itu untuk mengedarkan kalendar, secara tiba-tiba dihalang oleh 3 pemuda dan dilemparkan kata-kata kesat ketika beliau berunding secara rasional.

“Selain tidak membenarkan kami meneruskan gerak kerja berjumpa dengan pengunjung pasar malam, kami telah dilemparkan dengan pelbagai kata-kata kesat, maki hamun yang melampau, dan mengugut kami. 

“Walaupun cuba bertanyakan rasional larangan dan amaran serta sikap biadab mereka itu, namun mereka tetap berkasar dengan mula menyerang saya secara fizikal sehingga menyebabkan kecederaan ringan di muka. 

“Tiga individu berkenaan terus menjerit dengan kuat menyatakan bahawa kami wakil PKR dan pejabat anggota parlimen Batu tidak boleh memasuki pasar malam tanpa kebenaran mereka, dan bendera parti (PKR) tidak boleh dikibarkan," katanya.

Rozan juga berkata walaupun telah beredar dari lokasi kejadian beliau tetap diserang secara fizikal termasuklah dicekik.

“Saya berterusan telah dikasari dengan ditolak secara fizikal, dicekik di leher dan di muka sehingga mendatangkan kecederaan di wajah,” jelasnya.

Selepas kejadian, Rozan membuat laporan polis di IPD Sentul sebelum membuat pemeriksaan kecederaan di Hospital Kuala Lumpur. - 29 Januari 2018.
 

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...