Khamis, 1 Februari 2018

Geng #UndiRosak Perlu Pangkah PAS Di Kotak Undi - Pemuda PAS Kelantan.

Pemuda Pas Kelantan mahu pendokong kempen #UndiRosak mengajak rakyat negara ini supaya memberikan sokongan kepada parti itu pada PRU14 nanti.

Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, undi tersebut amat penting bagi membantu parti itu menumbangkan BN sekaligus mengambil alih tampuk pemerintahan negara lapor Sinar Harian.

"Kempen ini dilancarkan oleh kumpulan ketiga yang tidak bersetuju dengan cadangan melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan menang PRU14.

"Kita hormat pandangan ini untuk menolak cadangan pelantikan Mahathir itu. Namun Pemuda Pas Kelantan berpendapat kempen tersebut hanya akan membantu kemenangan BN sahaja,"
katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kempen #UndiRosak yang dilancarkan oleh pihak tertentu sebelum ini.



Menurutnya, daripada merosakkan undi tersebut lebih baik mereka memilih Pas.

Katanya, Pas merupakan parti yang sentiasa istiqamah dalam melawan Umno.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Fadhli yang merupakan Ketua Pemuda Pas Pasir Mas berkata, pihaknya sudah bersedia untuk menghadapi saingan tiga penjuru pada PRU14 nanti di kawasan berkenaan.

Katanya, walaupun kawasan tersebut yang merupakan salah satu kubu kuat parti itu namun mereka tidak akan ambil mudah.

"Kita tahu PKR tidak mempunyai jentera namun ia bukan tiket buat Pas untuk berada dalam zon selesa. Ini kerana kita juga akan berdepan dengan Umno.

"Apa yang pasti, kita perlu bekerja lebih keras bagi memastikan Pasir Mas terus menjadi milik Pas,"
katanya.

Ahmad Fadhli berkata, Pas sudah membuka bilik-bilik gerakan jentera sebagai persediaan untuk mengharungi PRU14.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...