Penyebaran gambar itu disusuli dengan kritikan terhadap PAS Kelantan kerana beranggapan wujudnya unsur penyelewengan apabila rumah sekecil itu (rujuk gambar) bernilai rm123,000.
Bagaimanapun dakwaan tersebut dinafikan oleh PAS menerusi halaman facebook N07 - DUN Panchor.
Rumah kecil itu dibina selepas perbincangan dilakukan bersama penghuni rumah itu sendiri, yang dikenali dengan nama Pak Su Li.
Pak Su Li mahu rumah yang didiaminya selesa dengan memudahkan pergerakannya untuk ke tandas dan mencapai barang-barang miliknya, jadi tidak timbul isu rumah itu bersaiz kecil kerana permintaan dibuat oleh penghuni rumah yang mahu mendiami rumah itu sendiri.
Menurut halaman facebook itu lagi, Pak Su Li adalah seorang OKU yang sukar bergerak kerana menggunakan tongkat untuk berjalan.
"Rekabentuk rumah ini adalah hasil perbincangan antara penghuni (Pak Su Li), keluarga beliau, jiran tetangga dan orang kampung kerana Pak Su Li ketika itu tidak dapat bergerak seperti biasa dan sukar walaupun untuk ke tandas," kata PAS Dun Pachor dalam satu kenyataan di Facebook.
"Inisiatif ini dimulakan AJK PAS Cawangan Panchor, saudara Mohd Zaki Bin Husin, yang mengusahakan kerja-kerja besi dan kimpalan.
Pertukangan semuanya dilakukan dengan gotong-royong orang kampung. Manakala, Kerajaan Negeri melalui PKINK memberikan sumbangan berbentuk bahan binaan. Pak Su Li sebelum ini menginap di sebuah bilik usang yang hampir roboh. Serta sukar untuk menunaikan ‘hajat’".
Menurut halaman facebook tersebut, rumah kecil yang dibina di kawasan DUN Panchor itu sebenarnya bernilai rm9,000 dan bukannya 123,000 seperti yang tersebar.
"Kos pembinaan kediaman ala chalet ini, lengkap bilik air, hanya menelan belanja RM9,000 sahaja. Sesuai dengan hanya Pak Su Li seorang sahaja yang menghuninya dan memudahkan beliau akses kepada tandas serta capaian lain barangan di dalamnya.
Walaupun 6 tahun berlalu, Pak Su Li amat menghargai sumbangan ini dan penuh bermakna buat beliau serta orang kampung.
Berita tentang perasmian oleh YB Ustaz Dato’ Nik Amar pada 2011 dahulu ada dipaparkan di http://dunpanchor.com/rumahpaksuli . Bagi yang ingin melihat dan berkunjung sendiri, GPS 6.136314, 102.305689," katanya lagi.