Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Isnin, 17 April 2017

Musim Hujan Punca Air Tasik Chini Keruh, Tiada Kaitan Dengan Pembalakan Kata Menteri.

Oleh : Bernama
Kekeruhan air di Tasik Chini di sini, sebelum ini bukan disebabkan oleh aktiviti pembalakan atau pembalakan, sebaliknya akibat limpahan air Sungai Pahang pada musim tengkujuh.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bagaimanapun menegaskan kekeruhan itu akan hilang selepas banjir berakhir dan tidak menjejaskan kualiti air Tasik Chini yang kekal berada pada tahap kelas 1 dan 2.
“Kekeruhan atau pencemaran yang dikatakan berlaku di Tasik Chini bukan disebabkan oleh pembalakan, perlombongan atau aktiviti manusia kerana tinjauan yang dilakukan mendapati tiada aktiviti sedemikian di kawasan sekitar tasik.
“Jika ada pun, ia hanya kesan lama kerana tiada aktiviti baharu,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat tertutup dan meninjau kawasan tasik selama kira-kira sejam di sini, hari ini.
Turut hadir Setiausaha Kementerian Datuk Seri Azizan Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak.
Wan Junaidi berkata limpahan air sungai yang terlampau banyak pada musim tengkujuh juga menyebabkan bunga teratai yang menjadi ‘trademark’ Tasik Chini mati, namun keadaan itu juga akan pulih dalam masa beberapa bulan selepas banjir berakhir kerana akar tumbuhan itu masih ada.
Beliau berkata bagi mengatasi masalah limpahan air Sungai Pahang, pihaknya akan mengkaji kesesuaian untuk membina pintu air boleh laras memandangkan pintu air yang ada pada masa kini berbentuk statik yang tidak boleh menghalang kemasukan air sungai.
Wan Junaidi seterusnya menjelaskan pemantauan ke atas kualiti air dilakukan menerusi 15 stesen pemantauan di semua 12 kawasan ‘laut’ yang mana ‘laut’ merupakan gelaran yang diberi masyarakat Orang Asli di situ, mengikut pembahagian kawasan di Tasik Chini.
Berdasarkan pemantauan, Wan Junaidi berkata pihaknya mendapati punca yang berpotensi menyebabkan pencemaran di Tasik Chini adalah perkampungan Orang Asli, penternakan ikan sangkar, perladangan kelapa sawit, kesan perlombongan dan pembalakan.
“Apabila punca yang berpotensi ini dikenal pasti, ia membolehkan kita membuat pemantauan, mengawal dan mengambil langkah-langkah sewajarnya supaya aktiviti ini tidak mendatangkan pencemaran,” katanya.
Wan Junaidi juga mengulangi komitmen kementerian untuk memulihara Tasik Chini bagi memastikan kualiti air menjadi tahap kelas 1 menjelang 2019, sejajar dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mahu melihat ‘keindahan Tasik Chini pada usia remajanya berulang’.
Bagi mencapai hasrat itu, Wan Junaidi berkata satu Jawatankuasa Khas yang diketuai kementeriannya ditubuhkan pada Mac 2016 bagi memantau pelaksanaan usaha pemuliharaan dan pemeliharaan Tasik Chini.
Katanya antara tanggungjawab jawatankuasa itu adalah memastikan aktiviti perlombongan yang dijalankan di sekitar Tasik Chini menggunakan kaedah secara mampan, meneruskan inisiatif pemuliharaan hutan, penguatkuasaan, pemuliharaan dan kesedaran awam.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...