Rabu, 19 April 2017

Kartun Monyet Hadi, Pelukis Grafik Pertahankan Hak Nanyang Lukis Kartun Sindir PAS.

Surat Terbuka Kepada PAS
Aku menulis surat ini untuk menjelaskan tujuan aku menghasilkan lukisan karikatur Tuan Guru Hadi Awang yang disiarkan dalam laman Facebook aku 3 hari lalu pada 13 April 2017. Aku pasti kamu sudah melihat gambar lukisan karikatur tersebut.
Aku melukis karikatur berbentuk satira itu sebagai reaksi kepada tindakan PAS yang cuba untuk menyekat sebuah kartun satira yang disiarkan dalam akhbar Nanyang Siang Pau pada 8 April 2017 yang lalu menggunakan alasan bahawa lukisan kartun tersebut “menghina bukan sahaja Presiden PAS, malah semua ummat Islam dan juga Undang-undang Islam”.
Aku memandang serius langkah PAS yang dengan sengaja cuba untuk menggunakan sentimen agama untuk membangkitkan kemarahan terhadap sebuah kartun satira yang mempersendakan penangguhan perbahasan pindaan RUU335 di Dewan Rakyat baru-baru ini. Kartun satira berbentuk sindiran itu hanyalah satu komentar politik, tidak beza sifatnya dengan kartun-kartun satira yang selalu diterbitkan dalam akhbar Harakah sendiri. Menyifatkan kartun satira itu sebagai satu bentuk “penghinaan terhadap ummat Islam dan Undang-undang Islam” adalah satu sikap tidak bertanggungjawab. Walaupun PAS menggunakan agama Islam sebagai ideologi parti, tidak bermaksud PAS adalah parti yang mewakili seluruh ummat Islam. Jadi kritikan dan sindiran terhadap PAS dan pemimpin PAS tidak boleh disama-ertikan sebagai penghinaan terhadap semua ummat Islam.
Aku juga memandang serius langkah PAS yang dengan sengaja cuba untuk menyekat kebebasan akhbar Nanyang Siang Pau yang menerbitkan kartun satira tersebut, dan cuba untuk menyekat kebebasan ekspresi pelukis kartun yang menghasilkan kartun tersebut. Bagi aku tindakan PAS ini bertentangan dengan prinsip kebebasan akhbar dan kebebasan berekspresi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sebagai seorang artis grafik yang banyak menghasilkan karya-karya grafik yang bersifat politikal dan berbentuk satira yang mengkritik penguasa dan politikus dari semua parti, aku membantah sekeras-kerasnya tindakan PAS yang cuba mengamalkan “censorship” terhadap karya-karya dan lukisan-lukisan yang mengkritik pemimpin dan politikus mereka.
Karya lukisan satira terbaru aku yang menggambarkan karikatur Presiden PAS menyerupai monyet itu aku hasilkan sebagai tanda protes terhadap tindakan PAS ini. Kamu harus sedar, teknik menggunakan perumpamaan, kiasan dan metafor haiwan ini punyai tradisi yang lama dalam masyarakat Melayu yang menggunakan peribahasa yang sarat dengan perumpamaan haiwan dalam menyampaikan mesej, teguran dan sindiran. Artis-artis dan kartunis-kartunis tempatan, termasuklah kartunis akhbar Harakah sendiri pernah menghasilkan lukisan-lukisan yang menggambarkan politikus lain sebagai haiwan. Lukisan satira berbentuk sindiran yang aku hasilkan itu bertujuan untuk mengkritik tindakan PAS, dan mendedahkan hipokrasi yang berlaku bila PAS cuba untuk menghalang kartunis dan akhbar lain dari melakukan perkara yang sama.
Sebagai sebuah parti politik dalam sebuah negara demokrasi, PAS harus sedar tidak ada seorang pun politikus yang patut dikecualikan dari menerima kritikan dan sindiran oleh rakyat, termasuklah Presiden PAS sendiri. Sebagai seorang politikus, seorang penguasa dan seorang wakil rakyat yang gaji dan elaunnya dibayar oleh rakyat, yang diberi mandat daripada rakyat untuk memikul tanggungjawab mewakili suara dan kepentingan rakyat, Presiden PAS tidak patut dikecualikan dari dikritik, ditegur, disindir, dicemuh, diperli, disatira dan dipersendakan oleh rakyat, hanya kerana dia seorang politikus dari golongan agamawan.
Sebagai seorang artis grafik dan seorang rakyat Malaysia, aku juga punyai hak untuk memberi komentar dan kritikan mengenai isu-isu semasa melalui karya-karya grafik aku. Aku berharap kamu boleh bersifat terbuka dan melapangkan dada untuk mendengar, memahami dan menerima kritikan-kritikan yang cuba disampaikan oleh rakyat, walaupun kadang-kala keras sikit rupanya, dan pedas sikit rasanya.
Sekian terima kasih,
Fahmi Reza 
Pereka grafik bebas
Kuala Lumpur, 16 April 2017

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...