Sabtu, 1 April 2017

Menjawab Tuduhan Zamihan Terhadap Penahanan Aishah Dan Keluarga.

Oleh : Amir Abd Hadi (Penyelaras SUARAM)

Menjawab Kenyataan Yang Tersebar, Berkaitan Penahanan Siti Noor Aishah 

1. Saya bersimpati dengan Malaysiakini - dituduh dengan pelbagai tuduhan kerana sebuah penulisan yang disiarkan pada 29 Mac 2017. Penulisan itu telah ditulis oleh saya sendiri dan disiarkan oleh Malaysiakini. Saya bukanlah wartawan Malaysiakini seperti yang didakwa didalam penulisan balas tersebut. Rujuk ‘link’ ini untuk penulisan tersebut : http://m.malaysiakini.com/news/377449 


2. Saya mengambil tanggungjawab yang penuh atas penulisan tersebut. Saya bersedia memberikan kerjasama penuh - sekiranya perlu diatas penulisan ini. Saya juga agak terkejut, seorang Ustaz yang dirujuk sebagai seorang ‘Pakar’ - membuat tuduhan tanpa usul periksa. 

3. Setiap yang saya tulis itu adalah benar - seperti yang diceritakan Aishah dan keluarga. Dan dialami oleh saya sendiri tanpa sebarang tokok tambah. Namun mungkin ada kekurangan - seperti latar belakang sebelum Siti Noor Aishah ditahan, tidak dinyatakan secara terperinci. 

4. Merujuk kepada tulisan tersebut, didalam Facebook beliau bertarikh 30 Mac 2017, “Bapanya sendiri yg melaporkan kpd pihak PDRM tentang kecenderungan anaknya itu terhadap kumpulan jihad Isis/Daesh apabila mengenali seorang lelaki yang bernama Qaddafi semasa menuntut di UM dahulu.” Rujuk disini: https://www.facebook.com/zamihan/posts/1808491305843267 

5. Ini adalah tuduhan yang berat, yang menjadi bualan orang ramai. Ayah kepada Siti Noor Aishah MENAFIKAN sebarang laporan polis dibuat keatas anaknya. 

6. Keluarga sedang mengkaji ruang untuk mengambil tindakan undang-undang diatas kenyataan tersebut. 

7. Sejujurnya, saya tidak tahu apa yang berada didalam hati Siti Noor Aishah, sama ada beliau punya kecenderungan untuk terlibat dengan kumpulan pengganas, atau tidak. Saya juga dimaklumkan, Siti Noor Aishah, mempunyai hubungan dengan Dr Mahmud, seorang bekas Pensyarah Universiti Malaya, yang didakwa terlibat dengan kumpulan pengganas. 

8. Saya juga dimaklumkan, hubungan Siti Noor Aishah dengan Dr Mahmud, adalah sebagai seorang mahasiswi dan seorang pensyarah. Atas nasihat rakan-rakan, Siti Noor Aishah di syorkan untuk memilih Dr Mahmud sebagai penyelia thesis yang akan dibuat sebagai syarat wajib mendapatkan Ijazah Sarjana di Universiti Malaya dalam bidang Usuluddin (Akidah). Saya tidak tahu jika ada hubungan yang lebih dari itu. Keluarga juga, tidak begitu jelas. 

9. Sama ada Aishah benar-benar terlibat dengan keganasan, saya serahkan kepada mahkamah untuk menentukan. 

10. Namun apa pun latar belakangnya, Siti Noor Aishah dituduh dibawah Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan, kerana memiliki material yang berkaitan dengan kumpulan pengganas. Dengan pelbagai versi cerita yang tersebar berkenaan Siti Noor Aishah, saya tertanya-tanya mengapa Aishah cuma dituduh dibawah satu seksyen, dan BERKAITAN BUKU-BUKU yang dirampas, bukan atas tuduhan lain. 

11. Bukan menjadi satu kesalahan sekiranya seseorang didakwa lebih dari satu pertuduhan, walaupun ditahan dibawah SOSMA. Namun sehingga hari ini, Cuma ada satu pertuduhan keatas Siti Noor Aishah, iaitu melibatkan 12 buah buku tersebut. 

12. Jika terdapat bukti yang menunjukkan Siti Noor Aishah terlibat dengan kumpulan pengganas, beliau mestilah didakwa di mahkamah. 13. Disini saya sertakan ‘link’ Penghakiman keatas kes Siti Noor Aishah. Penghakiman ini boleh diakses oleh orang ramai. INI PENTING, mohon dibaca. Segala maklumat, termasuk senarai buku yang dirampas, dan ulasan mengapa Aishah dibebaskan, dinyatakan didalamnya. Rujuk: http://kl.kehakiman.gov.my/…/11._Trial_Judgment__SITI_AISHA… 

14. Selain penghakiman ini, Pesuruhjaya Kehakiman juga secara tegas mengarahkan agar Siti Noor Aishah dibebaskan segera. Namun persoalannya mengapa Aishah ditahan semula dibawah POCA pada hari yang sama. Penahanan ini seperti tidak menghormati keputusan penghakiman. 

15. Maka dengan itu, kami mengambil keputusan, untuk mempertahankan Siti Noor Aishah, dan keluarganya. Mempertahankan gadis ini, tidak bermaksud kami menyokong terrorisme. Namun seseorang mestilah dibuktikan bersalah, sebelum dihukum. 

16. Malah Siti Noor Aishah, ditahan semula pada 27 Mac 2017, juga adalah disebabkan BUKU-BUKU tersebut, dan bukanlah pertuduhan yang baru. 

17. Kami juga mendapati, terdapat ruang-ruang untuk akta tahan tanpa bicara, termasuk SOSMA, yang digunakan untuk menahan Khairuddin Abu Hassan(kerana membuat laporan polis di 5 buah Negara berkaitan skandal 1MDB), Matthias Chang (peguam kepada Khairuddin Abu Hassan), serta Maria Chin Abdullah (kerana menganjurkan perhimpunan Berish 5), untuk disalahguna. 

18. Ketika menulis artikel tersebut, saya akui, saya sedikit emosi. Lalu mungkin ada bahasa-bahasa yang keras digunakan. Melihat sendiri bagaimana seorang tua, pemegang kad OKU, dari keluarga susah, bersusah payah berulang menaiki bas, dari Dungun ke Kuala Lumpur, serta berhutang ribuan ringgit, membuatkan saya tidak dapat berfikir lurus. 

19. Malah apabila dimaklumkan ayahnya dimarahi kerana melantik peguam, kami berpendapat perkara ini tidak boleh didiamkan. Ini kerana, kami menerima banyak aduan berkenaan akses tahanan dengan peguam. 

20. Saya juga perlu menjelaskan bahawa, saya tidak menyalahkan polis, atau berniat untuk memburukkan institusi polis. Saya faham kerja dan risiko yang dihadapi polis setiap hari untuk mempertahankan keselamatan Negara, dan rakyat keseluruhannya. 

21. Namun polis juga, sebagai manusia biasa, tidak terlepas dari melakukan kesilapan. Bila itu berlaku, ia berlaku kerana dia seorang manusia biasa, bukan kerana dia seorang polis. 

22. Bezanya dengan kita rakyat biasa, polis punya kuasa yang besar, malah pada satu tahap, ia melibatkan kebebasan satu-satu individu. Mereka punya kuasa yang absah, untuk menggunakan kekerasan, sehingga tahap, boleh mencabut nyawa seseorang individu, bergantung kepada situasi. 

23. Makanya kita percaya, tugas polis (dan semua yang ber-kuasa) ini juga perlu dipantau, dan itulah apa yang SUARAM lakukan. Sebab itu kebiasaannya kita dilihat seperti hanya menyalahkan polis (dan pihak berkuasa). Kerana yang kita PANTAU dan DEDAHKAN adalah salah guna kuasa. Belum ada lagi salah guna kuasa yang baik. 

24. Untuk polis yang baik dan beramanah, biar IGP (Ketua Polis Negara) sahajalah yang serahkan “Anugerah Kecemerlangan”. Kami akan tumpang berbangga dengan mereka. 

25. Kritikan saya terhadap Akta SOSMA, POTA dan POCA, sebagai akta tahan tanpa bicara, akan saya tulis dalam masa terdekat.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...