Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Sabtu, 10 Oktober 2015

Kenyataan Rasmi Bank Negara Malaysia Mengenai 1MDB.

Keputusan Peguam Negara berhubung dengan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berkait dengan saranan Bank Negara Malaysia supaya pendakwaan jenayah dibuat terhadap 1MDB atas pelanggaran Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 (Exchange Control Act 1953, ECA). Perlu diketahui bahawa di bawah Perlembagaan Persekutuan, keputusan untuk memulakan sesuatu pendakwaan jenayah terletak sepenuhnya pada Peguam Negara.
Bank Negara Malaysia, sebagai pihak berkuasa siasatan dengan penuh bertanggungjawab telah menjalankan siasatan pada tahap profesional yang paling tinggi dan terperinci. Bank Negara Malaysia menghendaki pendedahan maklumat yang tepat dan lengkap setiap masa apabila mempertimbangkan apa-apa permohonan di bawah ECA. Di pihaknya, Bank Negara Malaysia merumuskan bahawa kebenaran yang diberikan di bawah ECA bagi pelaburan 1MDB di luar negeri adalah berdasarkan pendedahan maklumat relevan yang dikehendaki Bank Negara Malaysia semasa membuat penilaian terhadap permohonan 1MDB itu. Walau bagaimanapun, didapati bahawa maklumat yang diberikan adalah sama ada tidak tepat atau tidak lengkap.

Oleh yang demikian, Bank Negara Malaysia telah membatalkan tiga kebenaran yang diberikan kepada 1MDB di bawah ECA untuk pelaburan di luar negeri yang bernilai sebanyak USD1.83 bilion. Bank Negara Malaysia juga telah mengeluarkan arahan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan (Financial Services Act) 2013 kepada 1MDB untuk membawa balik ke Malaysia jumlah sebanyak USD1.83 bilion dan mengemukakan kepada Bank Negara Malaysia perancangannya berkaitan dengan perkara ini.
Bank Negara Malaysia akan terus memberikan kerjasama penuh kepada siasatan yang sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
 
Bank Negara Malaysia
09 Oktober 2015

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...