Ahad, 15 Mac 2015

RON 97 Sah Dikenakan GST.

Selamat datang GST.



Putrajaya setakat ini tidak ada perancangan memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dikenakan atas harga jualan runcit petrol RON97 seperti diumumkan dalam bajet tahunan, kata Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Alias Ahmad.

Katanya, pengguna masih mempunyai pilihan alternatif dengan menggunakan petrol RON95 yang tidak akan dikenakan GST 6%, sebaliknya hanya dikenakan cukai secara pukal seperti diesel.

"Kita ada pilihan, kerana ada alternatif RON95. Sebab, RON 95 tidak dikenakan GST," katanya pada satu sidang media sempena Sambutan Hari Hak-hak Pengguna Sedunia di Dewan KPDNKK, Putrajaya hari ini.

Dalam pembentangan Bajet 2015, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pelaksanaan GST mulai April tidak akan membabitkan RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG).


Dalam perkembangan lain, Alias memberitahu pemberita, satu operasi besar-besaran dinamakan Operasi Antipencatutan (Ops Catut) akan diadakan pada 2 April bertujuan melihat impak selepas GST dilaksanakan.

"Pihak KPDNKK akan bekerjasama dengan pihak kastam dan ia akan terus dilakukan sehingga harga barang dan ekonomi negara stabil," katanya.

Ini merupakan fasa kedua Ops Catut selepas yang pertama dilaksanakan mulai 15 Januari hingga 11 Mac, melibatkan pegawai kementerian sahaja.

Terdahulu, Alias membaca teks ucapan menteri Datuk Seri Hasan Malek, mengatakan sepanjang tempoh Ops Catut fasa pertama, 451,794 premis diperiksa.

"Daripada jumlah itu, 2,498 buah premis di kompaun atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga & Anti Pencatutan 2011, dengan nilai rampasan berjumlah RM426,857 dan nilai kompaun berjumlah RM279,166," katanya. – TMI.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...