Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Isnin, 18 Disember 2017

Guan Eng, Kit Siang Berbohong, Boleh Didakwa Kerana Fitnah TGHH - Harakah Daily.

Disebabkan kehangatan yang melanda ekoran tersiarnya laporan kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, di dalam akhbar Berita Harian dan New Straits Times pada 16 Disember 2017, saya telah mengambil inisiatif untuk mendengar sendiri sekali gus membuat transkripsi wawancara Datuk Seri Abdul Hadi yang dilangsungkan pada 15 Disember 2017 itu.
Wawancara ini sebenarnya hanya merangkumi empat soalan sahaja.
Kepada soalan pertama berbunyi "Apa persediaan PAS untuk pilihan raya umum yang dilihat dah semakin hampir sekarang ini".
Jawapan Datuk Seri Abdul Hadi adalah: "Ya, kita telah mengambil pendekatan budaya politik matang dan sejahtera. PAS akan bertanding secara bersendirian. Keutamaan PAS ialah untuk menjadikan orang Islam memimpin negara. Ini sangat penting. Kita mahu supaya dikekalkan kepimpinan Islam dalam negara ini. Yang kedua, untuk melaksanakan Islam itu sendiri. Ini agenda kita yang mesti kita laksanakan secara berperingkat. Dengan sebab itu PAS akan bertanding sebanyak kerusi mengikut kemampuannya. Dan kita menyeru rakyat supaya memberi kepercayaan kepada kita untuk menunjukkan apa yang kita nyatakan menjadi satu kenyataan. Sekurang-kurangnya rakyat dapat melihat apakah penyelesaian Islam terhadap masalah-masalah yang dihadapi oleh rakyat pada hari ini, sama ada masalah politik, masalah ekonomi, masalah sosial dan masalah-masalah yang lain."
Kepada soalan kedua berbunyi "Datuk Seri sebut tadi, kita nak tegakkan agenda Islam dan mahu pemimpin Islam akan terus menerajui Malaysia, jadi ada hasrat-hasrat daripada contohnya pemimpin DAP mahu jadi Perdana Menteri jika Pakatan Harapan memenangi pilihan raya, pandangan Datuk Seri sikit".
Jawapan Datuk Seri Abdul Hadi adalah: "Itu bercanggah dengan realiti di Malaysia, realiti Malaysia bercanggah, di mana konsep Islam mestilah Islam itu berkuasa. Ini sangat penting. Hanya Islam yang boleh menunjukkan adil untuk semua. Yang lain pada Islam tak boleh adil untuk semua. Ini dapat dirasakan sendiri perbezaan di antara kerajaan negeri Kelantan yang kita memerintah sehingga kini, pemerintahan Terengganu yang kita memerintah tahun 1999 hingga 2004, pemerintahan Kedah, PAS memimpin, sangat berbeza dengan pemerintahan DAP di Pulau Pinang. Rakyat merasai sendiri. Ini dapat dinilai. Kita telah berjaya menunjukkan kerajaan yang bersih, sehingga hari ini, kerajaan yang bersih. Dan DAP tidak mampu untuk menunjukkan satu kerajaan yang bersih kerana banyak cerita-cerita yang dilaporkan oleh media. Adapun kita, alhamdulillah, selamat daripada segala perkara yang dianggap sebagai negatif. Ini contoh yang perlu dilihat oleh rakyat."
Kepada soalan ketiga berbunyi "tadi Datuk Seri cakap kita perlu untuk terus memperjuangkan Islam sebagai agenda kita, jadi mungkin ada hasrat untuk melakukan macam sebelum ni pun Datuk Mustafa Ali ada mencadangkan supaya PAS dan Umno duduk semeja membincangkan apakah sebarang bentuk kerjasama yang boleh dijalinkan terutama untuk pilihan raya umum".
Jawapan Datuk Seri Abdul Hadi adalah: "PAS telah mengemukakan satu konsep baru, ta'awun, kerjasama dalam perkara baik, tak ada kerjasama perkara yang tak baik. Dan kita sudah membuktikan melalui kerjasama dalam isu Myanmar sebagai contoh, dalam isu Palestin sebagai contoh, isu yang berkait dengan rakyat, isu bersama. Masih banyak ruang-ruang yang berbeza antara kita dengan kerajaan, ini perlu dilihat, perlu diselesaikan. Dan kita perlu melihat kerajaan itu sendiri bagaimana mereka sanggup melakukan perubahan. Dan kita tak gopoh dalam perkara ini. Dan kita mengambil sikap yang tidak putus dengan semua pihak, termasuk dengan kerajaan."
Kepada soalan keempat berbunyi "soalan terakhir, bagaimana Datuk Seri melihat peluang PAS untuk dalam pilihan raya ini, maksudnya kemenangan PAS itu".
Datuk Seri Abdul Hadi menjawab: "Kita melihat berlaku satu perubahan yang sangat positif di kalangan rakyat. Kaji selidik dibuat oleh semua pihak menunjukkan PAS maju dari segi mendapat sokongan rakyat, sangat maju, alhamdulillah, insya-Allah, dan kita tingkatkan lagi sehingga pilihan raya."
Berdasarkan kepada transkripsi wawancara Datuk Seri Abdul Hadi ini maka adalah jelas bahawa:
(1) Penasihat DAP, Lim Kit Siang, melakukan pembohongan apabila menyatakan, di dalam blog beliau dan di dalam portal berita Malaysia Kini pada 16 Disember 2017, bahawa "Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang telah menyertai Najib, menyebarkan pembohongan bahawa saya mahu menjadi Perdana Menteri dan bahawa jika Umno kalah dalam pilihan raya umum akan datang, orang-orang Melayu dan Islam akan lenyap dalam Malaysia". Lebih jelas lagi ialah kenyataan Lim Kit Siang yang disiarkan di dalam portal berita Malaysia Kini yang dipendekkan menjadi "Presiden PAS sedang menyebarkan pembohongan bahawa saya mahu menjadi Perdana Menteri dan bahawa jika Umno kalah, orang-orang Melayu dan Islam akan lenyap dalam Malaysia".
(2) Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, yang juga adalah anak kepada Lim Kit Siang, turut melakukan pembohongan apabila menyatakan, di dalam laporan portal berita The Malaysian Insight pada 17 Disember 2017, bahawa Datuk Seri Abdul Hadi bermain sentimen perkauman tebal atau asabiyyah, yang beliau dakwa adalah haram dalam Islam dan tak boleh diterima bila dibuat oleh pemimpin agama dan ulama, yang bertujuan untuk mencipta sentimen ketegangan kaum di kalangan rakyat, antara Melayu dan bukan Melayu, dengan mendakwa DAP mahukan jawatan Perdana Menteri. Begitu juga dengan dakwaan Lim Guan Eng bahawa "Hadi telah membuat kenyataan tak beretika dan tidak bermoral yang bertentangan dengan prinsip kebenaran, walaupun Hadi sering menggambarkan dirinya sebagai pemimpin agama dan ulama” yang merupakan satu pembohongan.
Berdasarkan kepada transkripsi wawancara Datuk Seri Abdul Hadi ini juga maka adalah jelas bahawa:
(1) Tidak seperti Lim Kit Siang yang mendakwa pada 13 Jun 2016 bahawa Datuk Seri Abdul Hadi mahu menjadi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Hadi sendiri tidak mendakwa Lim Kit Siang mahu menjadi Perdana Menteri. Sebaliknya, Datuk Seri Abdul Hadi sekadar mengulas dakwaan wartawan mengenai hasrat pemimpin DAP untuk menjadi Perdana Menteri sahaja dengan berkata "itu bercanggah dengan realiti di Malaysia, realiti Malaysia bercanggah, di mana konsep Islam mestilah Islam itu berkuasa". Dakwaan Datuk Seri Abdul Hadi sendiri kepada DAP pula hanyalah bahawa "dan DAP tidak mampu untuk menunjukkan satu kerajaan yang bersih kerana banyak cerita-cerita yang dilaporkan oleh media".
(2) Datuk Seri Abdul Hadi juga tidak mendakwa bahawa "jika Umno kalah dalam pilihan raya umum akan datang, orang-orang Melayu dan Islam akan lenyap dalam Malaysia" seperti yang dikatakan oleh Lim Kit Siang. Menyebut "keutamaan PAS ialah untuk menjadikan orang Islam memimpin negara" dan "kita mahu supaya dikekalkan kepimpinan Islam dalam negara ini" tidak boleh difahami sebagai menyokong pengekalan Umno kerana "orang Islam" dan "kepimpinan Islam" itu jauh berbeza dengan "orang Umno" dan "kepimpinan Umno". Malah, jelas disebutkan oleh Datuk Seri Abdul Hadi bahawa "dan kita menyeru rakyat supaya memberi kepercayaan kepada kita untuk menunjukkan apa yang kita nyatakan menjadi satu kenyataan" serta "kaji selidik dibuat oleh semua pihak menunjukkan PAS maju dari segi mendapat sokongan rakyat, sangat maju, alhamdulillah, insya-Allah, dan kita tingkatkan lagi sehingga pilihan raya" menunjukkan dengan jelas mengenai hasrat Datuk Seri Abdul Hadi untuk melihat PAS sendiri memerintah.
(3) Datuk Seri Abdul Hadi langsung tidak memainkan sentimen perkauman yang bertujuan untuk mencipta sentimen ketegangan kaum di kalangan rakyat, antara Melayu dan bukan Melayu, seperti yang dikatakan oleh Lim Guan Eng kerana tiada walau sepatah pun istilah "kaum/bangsa" yang digunakan oleh beliau di dalam wawancara itu yang sebaliknya memperkatakan isu kepimpinan dari sudut agama semata-mata. Begitu juga tidak terdapat apa-apa kandungan wawancara yang menunjukkan bahawa Datuk Seri Abdul Hadi "telah membuat kenyataan tak beretika dan tidak bermoral yang bertentangan dengan prinsip kebenaran" seperti yang dikatakan oleh Lim Guan Eng.
Sebagai kesimpulannya, berdasarkan kepada transkripsi wawancara Datuk Seri Abdul Hadi ini, wujud asas-asas yang sangat kukuh bagi menunjukkan bahawa bukan sahaja Lim Kit Siang malah Lim Guan Eng juga telah berbohong di dalam kenyataan-kenyataan yang mereka buat sekali gus mewajarkan kedua-dua mereka didakwa di mahkamah kerana membuat fitnah tidak berasas terhadap Datuk Seri Abdul Hadi.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...