Selasa, 19 Disember 2017

Orang Melayu Sokong BN 41%, Enggan Beritahu 32%, PAS 14% & HARAPAN 13% Kata Rafizi.

Oleh : Malaysiakini
Kaji selidik terkini yang dijalankan pusat penyelidikan pilihan raya Invoke menunjukkan sokongan kaum Melayu kepada Umno dalam pilihan raya akan datang semakin merosot, terutamanya disebabkan isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Bagaimanapun, hasil kajian mendapati Pakatan Harapan (HARAPAN) juga menghadapi tugas berat dalam mendapatkan sokongan Melayu walaupun dipimpin oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru, 41 peratus orang Melayu akan memilih Umno (dan BN) manakala 14 peratus akan menyokong PAS, kata pengasas Invoke yang juga Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.
Ketika dihubungi kemudian, Rafizi menjelaskan bahawa HARAPAN mencatatkan sokongan Melayu terendah sebanyak 13 peratus.
Beliau menjelaskan bahawa baki 32 peratus responden memilih untuk tidak mendedahkan mana-mana gabungan atau parti yang mereka sokong.
Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan secara bulanan itu, separuh daripada 41 peratus orang Melayu yang menyokong Umno mahu GST dimansuhkan.
"Ini bermakna tahap sokongan pengundi Melayu kepada Umno akan terus merosot kerana pengundi Umno pun merasa tekanan kos sara hidup," kata Invoke dalam satu kenyataan.
PAS lebih baik daripada HARAPAN
Sementara itu, kaji selidik mendapati sokongan terhadap PAS menurun hampir separuh daripada kaji selidik yang dilakukan pada Januari iaitu sebanyak 25 peratus.
Ini bermakna PAS memperoleh hampir 15 peratus sokongan mengatasi HARAPAN.
Bagaimanapun, sekiranya berlaku pertandingan dua penjuru antara HARAPAN dan BN, 51 peratus responden berkata mereka akan menyokong HARAPAN manakala hanya 28 peratus menyatakan sokongan kepada BN.
Di kerusi parlimen seperti Kulim Bandar Baru dan Merbok di Kedah, serta Johor Bahru di Johor, hanya satu pertiga daripada orang Melayu menyokong BN.
Bagaimanapun, pecahan sokongan kepada PAS dan HARAPAN tidak dinyatakan.
Sementara itu, Invoke berkata sokongan bukan Melayu untuk pakatan pembangkang mencerminkan sokongan pada PRU13.
Sokongan kaum Cina melepasi 80 peratus manakala sokongan India adalah sebanyak 40 peratus.
Invoke menyimpulkan bahawa keputusannya menunjukkan HARAPAN memenangi "sekitar 115" daripada 222 kerusi parlimen, yang membolehkannya membentuk kerajaan.
Kaji selidik nasional melibatkan 5,000 pengundi berdaftar di seluruh negara dijalankan di antara 5 hingga 13 Disember 2017, sementara kaji selidik di peringkat parlimen dijalankan di antara 6 November hingga 15 Disember 2017.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...