Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Ahad, 16 Ogos 2020

Pengampunan Anwar Sah Dan Teratur.

Ruzaini Zulkifli | 1. Dalam sehari dua ini, timbul isu berkenaan keteraturan pengampunan yang telah diperolehi Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 16.5.2018 lepas.


2. Hujah utama yang dikemukakan untuk mencabar pengampunan tersebut adalah bahawa keanggotaan Lembaga Pengampunan pada tarikh 16.5.2018 adalah bercanggah dengan Perkara 42(5) dan (11) Perlembagaan Persekutuan, kerana: a) Tiada Peguam Negara yang menghadiri mesyuarat Lembaga Pengampunan tersebut, lantas menyalahi Perkara 42(5); dan b) Tiada Menteri Wilayah Persekutuan yang menghadiri mesyuarat Lembaga Pengampunan tersebut, bertentangan dengan Perkara 42(11).

3. Kedua-dua figura yang disebutkan di atas ini tidak menghadiri mesyuarat Lembaga Pengampunan tersebut kerana: a) Bekas Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali telahpun bercuti pada ketika itu; dan b) Setakat 16.5.2018, Jemaah Menteri Persekutuan masih belum dilantik. Perkara 42(5) – Kehadiran Peguam Negara

4. Perkara 42(5) memperuntukkan bahawa Peguam Negara hendaklah menjadi anggota Lembaga Pengampunan.

5. Walaubagaimanapun, bahagian kedua dalam Perkara 42(5) memperuntukkan bahawa “Peguam Negara boleh dari semasa ke semasa melalui surat cara secara bertulis mewakilkan fungsinya sebagai anggota Lembaga itu kepada mana-mana orang lain”.

6. Dalam konteks mesyuarat Lembaga Pengampunan yang berlangsung pada 16.5.2018, Peguam Negara telah diwakili oleh Peguamcara Negara ketika itu, Engku Nor Faizah Engku Atek yang menghadiri mesyuarat tersebut mewakili dan menjalankan fungsi Peguam Negara sebagai anggota Lembaga itu, selaras dengan Perkara 42(5).

7. Rujukan juga dibuat kepada seksyen 114(e) Akta Keterangan 1950, yang mana hendaklah dianggap bahawa “… tindakan rasmi telah dilaksanakan mengikut aturan”.

8. Seksyen 114(e) Akta Keterangan 1950 ini menganggap bahawa satu-satu fakta tersebut adalah wujud melainkan dibuktikan sebaliknya, dan beban pembuktian diletakkan kepada mereka yang ingin mempertikaikan fakta keteraturan tindakan rasmi yang telah dilakukan.

9. Dalam konteks kehadiran kehadiran Engku Nor Faizah Engku Atek dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan mewakili dan menjalankan fungsi Peguam Negara sebagai anggota Lembaga itu, seksyen 114(e) Akta Keterangan 1950 ini menganggap bahawa kehadiran Peguamcara Negara tersebut adalah satu tindakan rasmi, dan tindakan rasmi tersebut adalah teratur, selaras dengan Perkara 42(5).

10. Sekiranya ada pihak-pihak yang mempertikaikan keteraturan tindakan rasmi Peguamcara Negara tersebut, maka beban pembuktian diletakkan kepada mereka untuk membuktikan bahawa kehadiran beliau tersebut adalah tidak teratur. Perkara 42(11) – Keanggotaan Menteri bertanggungjawab terhadap Wilayah-wilayah Persekutuan

11. Perkara 42(5) juga menghendaki “Ketua Menteri Negeri” berkenaan menganggotai Lembaga Pengampunan tersebut.

12. Dalam konteks Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, “Ketua Menteri Negeri itu” hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai Menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

13. Adalah menjadi fakta matan bahawa setakat 16.5.2018, Jemaah Menteri Persekutuan masih belum dibentuk. Justeru, seorang Menteri yang disebut sebagai Menteri Wilayah Persekutuan juga tiada semasa itu.

14. Namun, hal ini tidak langsung mencacatkan tubuh Lembaga Pengampunan pada Tarikh 16.5.2018 tersebut.

15. Rujukan perlu dibuat kepada seksyen 2(1)(a) Akta Fungsi-fungsi Menteri 1969, yang memperuntukkan bahawa “Yang di-Pertuan Agong boleh melalui perintah dalam Warta memberitahu bahawa seseorang Menteri telah diberi apa-apa fungsi atau telah dipertanggungkan dengan apa-apa tanggungjawab mengenai sesuatu jabatan atau perkara yang tertentu …”

16. Kemudian, rujukan silang dibuat kepada Warta Kerajaan Persekutuan PU(A) 125 bertarikh 22.5.2018, iaitu Perintah Menteri-menteri Kerajaan Persekutuan 2018 yang memperuntukkan seperti berikut: Nama dan permulaan kuat kuasa 1. … (2) Perintah ini disifatkan telah mula berkuat kuasa pada 10 Mei 2018. Fungsi-fungsi Menteri 2. Diberitahu bahawa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad, adalah dipertanggungkan dengan tanggungjawab mengenai semua jabatan Kerajaan Persekutuan dan perkara yang baginya jabatan itu bertanggungjawab sehingga pelantikan Menteri lain dalam Jemaah Menteri.

17. Walaupun pada tarikh 16.5.2018 tersebut belum ada seorang Menteri Wilayah Persekutuan, namun berdasarkan seksyen 2(1)(a) Akta Fungsi-fungsi Menteri 1969 dan dibaca bersama PU(A) 125 bertarikh 22.5.2018, Yang di-Pertuan Agong telah memasyurkan bahawa Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir adalah Menteri yang bertanggungjawab terhadap semua jabatan Kerajaan Persekutuan, termasuklah jabatan yang berkenaan dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

18. Oleh yang demikian Tun Dr. Mahathir adalah merupakan “Menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur …” bagi maksud Perkara 42(11).

19. Media melaporkan bahawa Tun Dr. Mahathir telah menghadiri mesyuarat Lembaga Pengampunan pada Tarikh 16.5.2018 tersebut. Justeru, kehadiran Tun Dr. Mahathir dalam mesyuarat tersebut adalah dalam kapasiti beliau sebagai “Menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur …”.

Kesimpulan

20. Berdasarkan hujahan di atas, keanggotaan Lembaga Pengampunan pada tarikh 16.5.2018 tersebut adalah sah dan teratur. Hal ini kerana: a) Peguamcara Negara telah hadir mesyuarat Lembaga Pengampunan tersebut, mewakili dan menjalankan fungsi Peguam Negara sebagai anggota Lembaga itu selaras dengan Perkara 42(5); dan b) Tun Dr. Mahathir telah menganggotai mesyuarat Lembaga Pengampunan tersebut dalam kapasiti beliau sebagai “Menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur …”, selaras dengan Perkara 42(11).

21. Oleh kerana keanggotaan Lembaga Pengampunan adalah teratur, maka Lembaga tersebut boleh dan telahpun memberikan nasihat yang wajar kepada Yang di-Pertuan Agong dan Baginda bolehlah bertindak selaras dengan nasihat yang diberikan oleh Lembaga ini.

Mohd Ruzaini Bin Zulkifli ialah seorang peguam dan beramal di Tetuan Hafiz Ruzaini & Co.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...