Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Rabu, 3 April 2019

Genting Malaysia Bhd Beli Equanimity Dengan Nilai AS$126j.

FREE MALAYSIA TODAY | Putrajaya bersetuju menjual kapal layar mewah Equanimity yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, kepada syarikat tujuan khas (SPV), Genting Malaysia Bhd pada harga AS$126 juta.


 
Peguam Negara, Tommy Thomas dalam satu kenyataan hari ini berkata, Genting akan membayar AS$126 juta kepada Mahkamah Admiralti Kuala Lumpur pada akhir bulan ini.

“Ini bakal menjadi jumlah pemulihan daripada skandal 1MDB yang tertinggi setakat ini untuk kerajaan Malaysia dalam masa cuma 8 bulan dari tarikh tindakan ini dimulakan.”

Katanya, AS$126 juta ialah tawaran terbaik yang diterima dalam 5 bulan, sejak kerajaan mengumumkan penjualan Equanimity pada Oktober tahun lalu.


Thomas berkata, banyak tawaran diterima sepanjang tempoh itu, tetapi hanya sebilangan kecil tawaran melebihi AS$100 juta, dengan Genting menawarkan harga tertinggi.

Katanya, walaupun penjualan Equanimity itu gagal mencapai harga pasaran AS$130 juta berdasarkan penilaian Winterbotham, tetapi pulangan bersih diperolehi Putrajaya adalah yang terbaik dan lebih tinggi daripada jangkaan kerajaan.

“Memandangkan tawaran daripada Genting dirunding secara terus dengan kerajaan Malaysia, tiada komisen ejen yang perlu dibayar, yang membawa kepada penjimatan sebanyak AS$4.4 juta.

“Jualan kehakiman pada nilai AS$126 juta adalah bersejarah, dari mana-mana segi pun. Jumlah ini merekodkan tanda aras tinggi bagi sistem kehakiman kita dalam memastikan nilai pasaran diperoleh daripada kapal yang dijual melalui proses Mahkamah, tanpa sebarang diskaun.”

Equanimity yang dilaporkan dibina khas untuk ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho pada 2014 pada harga AS$250 juta (kira-kira RM1 bilion) itu disita di Bali, Indonesia, Februari 2018 atas permintaan pihak berkuasa Amerika Syarikat sebagai sebahagian daripada siasatan rasuah Jabatan Kehakiman AS ke atas skandal 1MDB.

Ia kemudiannya diserahkan kepada kerajaan Malaysia kerana dikaitkan dengan skandal rasuah 1MDB, pada Ogos 2018.

Kapal sepanjang 91.5m itu berlabuh di Pangkalan Markas Wilayah Laut Tiga (Mawilla 3) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Bukit Malut, Langkawi dan kerajaan dilapor menghabiskan RM3.5 juta untuk menyelenggara Equanimity sejak ia tiba di Pelabuhan Klang, pada 7 Ogos 2018.

Thomas berkata, harga jualan sangat memuaskan itu dapat dicapai melalui kepakaran dan kemahiran kumpulan perundangan mewakili Putrajaya yang menemui pembeli berpotensi di Hong Kong serta London atas kos perjalanan sendiri.

“…kepada mereka, saya berikan penghormatan. Usaha mereka dilengkapi kerjasama daripada syerif mahkamah yang tangkas dan mantap; serta profesionalisme dan kesediaan hakim admiralti bertindak dalam keadaan amat luar biasa.”
Katanya, Tentera Laut Diraja Malaysia membenarkan Equanimity berlabuh lebih 5 bulan, tanpa mengenakan sebarang caj, serta bersama polis mengiringi kapal mewah itu membuat percubaan laut bersama pembeli berpotensi.

“Kerajaan Malaysia amat berterima kasih atas bantuan ini kerana ia telah banyak membantu dalam mengurangkan kos penyelenggaraan Equanimity semasa di bawah tahanan.”

Thomas berkata, kenyataan lanjut akan dibuat selepas bayaran itu diterima untuk memaklumkan rakyat mengenai butiran perbelanjaan yang ditanggung kerajaan dan jumlah bersih yang dikreditkan ke akaun pemulihan aset 1MDB yang baru dibuka. - 3 April 2019.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...