Khamis, 27 September 2018

Kekecohan Pengundian PKR, Satu Peringatan Buat PPBM.

Shabudin Husin | KEKECOHAN PENGUNDIAN PKR, SUATU PERINGATAN BUAT BERSATU

Kekecohan dalam pemilihan PKR pada hari pertama pengundian di Kedah dan PulauPinang sehingga kerusi-kerusi turut berterbangan adalah sesuatu yang di luar jangkaan, sekaligus memalukan parti tersebut.

Lebih-lebih lagi ia berlaku ketika Anwar Ibrahim turut diisytiharkan menang tanpa bertanding sebagai Presiden PKR dan dalam persiapan menghadapi kempen pilihanraya Port Dickson pada 13 Oktober yang merupakan laluan untuknya mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Mahathir Mohamad.


Apa pun alasan dan kemungkinan sebab-sebab terjadinya kekecohan itu, dua perkara iaitu sistem satu ahli satu undi dan e-voting atau pengundian elektronik adalah punca berlakunya ketidakpuasan hati dan seterusnya pergaduhan, pukul-memukul serta kejadian membaling kerusi itu.

Dari segi demokrasi dan hak sama rata, sistem satu ahli satu undi memang baik untuk memberi peluang kepada semua orang hak sama rata dalam memilih pemimpin.

Namun, sebagai parti politik yang tiada jentera khusus dalam menguruskan hal pengundian itu, sistem satu ahli satu undi, apa lagi jika pengundian dijalankan secara elektronik, kemungkinan berlakunya masalah atau gangguan adalah sukar dielakkan.

Pertama, tiada jaminan seratus peratus pengundian e-voting tidak berdepan masalah teknikal di saat-saat akhir sehingga boleh mengganggu kelancaran pada hari pengundian.

Kedua, masyarakat kita belum cukup maju, terutamanya golongan berusia, untuk memahami dan mengundi secara e-voting.

Ramai ahli parti adalah orang kampung dan suri rumah yang hanya biasa dengan parang, cangkul, pisau, periuk belanga dan rempah rayus serta cili berbanding faham tentang kecanggihan teknologi.

Bagi golongan tersebut, mengundi secara manual atau menggunakan kertas undi adalah kebiasaan bagi mereka. Ia misalnya biasa dilalui mereka dalam pilihanraya yang dikendalikan oleh SPR.

Mengundi secara dalam talian terlalu asing bagi mereka. Ramai di antara mereka yang lebih kenal kertas undi dan pen berbanding tetikus komputer.

Selain itu, pengundian dalam talian juga menyebabkan pemeriksaan senarai nama ahli turut dilakukan dengan kaedah yang sama. Inilah yang selalu menyebabkan masalah timbul kerana kadangkala menyebabkan ada nama yang hilang, terpadam dan sebagainya.

Kesimpulannya, sistem satu ahli satu undi yang disusuli dengan pengundian secara elektronik belum begitu sesuai diadakan buat masa ini. Mungkin sepuluh atau 20 tahun akan datang ia relevan dengan sendirinya seiring dengan tahap kemajuan dan pemahaman masyarakat.

Di satu senario yang lain, pemilihan Bersatu yang sepatutnya diadakan pada hujung tahun ini telah ditangguhkan kepada tahun depan berikutan adanya pertikaian daripada sesetengah pihak yang mahukan parti itu turut mengamalkan sistem satu ahli satu undi seperti PKR.

Dalam perlembagaan Bersatu, sistem yang ditetapkan sekarang ialah menggunakan perwakilan sebagimana amalan kebanyakan parti-parti yang lain.

Untuk mengubah amalan itu, ia terpaksa diputus dan diluluskan dalam mesyuarat agung luar biasa terlebih dahulu. Ini bermakna jika Bersatu mahu berubah kepada sistem satu ahli satu undi, satu mesyuarat agung luar biasa wajib diadakan terlebih dahulu bagi meminda perlembagaan parti sebelum pemilihan pada tahun depan.

Jika ia diluluskan, barulah Bersatu boleh melaksanakan sistem satu ahli satu undi bersama dengan pilihan sistem pengundian yang mahu digunakan.

Adakah Bersatu mahu menggunakan sistem e-voting sebagaimana PKR atau pengundian secara manual yang menggunakan kertas undi?

Jika mahu menggunakan pengundian secara elektronik, apakah Bersatu benar-benar sedia dengan satu sistem yang betul-betul canggih dan sifar gangguan teknikal atau bersediakah menghadapi kemungkinan berlakunya kekecohan, pergaduhan serta baling membaling kerusi?

Siapa yang akan malu kekecohan, pergaduhan dan insiden baling kerusi turut berlaku dalam Bersatu?

Kalau mahu menggunakan pengundian secara manual pula, siapakah yang akan menguruskannya dan mampukan Bersatu mencari tenaga sukarelawan di seluruh negara yang mungkin berjumlah antara 3,000 hingga 5,000 orang ramainya? - 27 September 2018.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...