Selasa, 25 September 2018

Politik Wang Pemilihan PKR - Setiausaha Menteri Sogok Projek Bernilai RM20,000.

The Malaysian Insight | SEORANG setiausaha politik kepada seorang menteri di Putrajaya menawarkan kontrak pembinaan berjumlah RM20,000 kepada pemimpin PKR di Pahang untuk memberi undi kepadanya dalam pemilihan parti itu, dakwa seorang pemimpin sayap pemuda PKR.

Individu itu yang juga calon ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan ketua sebuah cabang dituduh menawarkan rasuah itu dalam satu mesyuarat di Pahang pada 1 September lalu, kata Setiausaha Pengelola Angkatan Muda Keadilan, Ahmad Syukri Ab Razab.



Syukri, yang juga calon naib ketua AMK, mendakwa tawaran kontrak itu ada kaitan dengan pemilihan parti yang sedang berlangsung.

“Saya percaya individu ini telah menyalahguna kedudukannya sebagai pegawai awam dalam menawarkan habuan-habuan berbentuk projek bagi meraih sokongan pemimpin setempat,” kata Syukri kepada wartawan di Putrajaya hari ini.

Beliau ditemui selepas membuat laporan dakwaan salah guna kuasa itu di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.

Syukri bagaimanapun enggan mengulas lanjut identiti individu yang dimaksudkannya itu.

“Saya serahkan kepada SPRM untuk siasat. Tak boleh dedahkan,” katanya yang hadir ke ibu pejabat agensi anti rasuah itu bersama dua pimpinan AMK Selangor.

“Melalui bukti gambar-gambar mesyuarat dan rakaman audio yang diberikan, saya percaya setiausaha politik menteri ini merupakan individu utama yang mengendalikan mesyuarat tersebut,” katanya.

Syukri juga mendedahkan individu itu mendakwa beliau akan dapat peruntukan RM300,000 yang perlu dihabiskan sebelum akhir tahun ini.

“Justeru, beliau (pelaku) meminta setiap pemimpin yang hadir membuat permohonan untuk mendapatkan kontrak tersebut.

“Beliau juga dakwa bakal dapat peruntukan daripada satu lagi kementerian yang juga akan diagih-agihkan kepada pemimpin setempat,” dakwa Syukri.

Dalam laporannya, Syukri turut melampirkan bukti-bukti aduan termasuk rakaman audio dan gambar berkaitan mesyuarat.

“Saya bersedia untuk dipanggil sekiranya pihak SPRM memerlukan maklumat selanjutnya yang lebih lengkap,” katanya lagi.

Bakal Presiden PKR, Anwar Ibrahim pada Ahad mendedahkan ada calon pemilihan PKR yang menawarkan projek kepada ahli untuk meraih undi.

Beliau memberi amaran tidak akan bertolak ansur dengan amalan kotor itu dan sedia membuang mereka yang terlibat dari parti.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Mohd Shukri Abdull berkata pihaknya mengalu-alukan laporan mengenai dakwaan rasuah dalam pemilihan PKR itu supaya dapat diambil tindakan yang selanjutnya. – 25 September 2018.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...