Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sewaktu menyampaikan syarahan perdana di sebuah IPTA baru-baru ini menyatakan rasa kesal dan malu kerana sikap “tidak amanah” peminjam PTPTN dalam menyelesaikan pinjaman pendidikan mereka.
Situasi ini menyebabkan hampir RM36 bilion hutang masih tertunggak dan meletakkan PTPTN dan kerajaan dalam keadaan yang sukar.
Menteri Pendidikan Maszlee Malik juga ada membuat beberapa kenyataan yang seakan membenarkan isu ini iaitu bayar hutang jika ada moral dan akhlak tinggi dan apapun manifesto kata, kalau dah pinjam kenalah bayar.
Menteri Pendidikan sewajarnya tidak mengenepikan teras dan tunjang masalah berkait dengan isu PTPTN ini. Hari ini, ada nada marah dan kecewa yang dikemukakan oleh kerajaan.
Ironinya, kerajaan hari ini lah juga yang menggunakan dan mempolitikkan isu PTPTN sehingga rakyat akhirnya percaya bahawa mereka boleh melakukan sesuatu yang lebih baik berbanding kerajaan dahulu. Ke mana pergi rasa yakin kerajaan untuk melaksana janji manifesto? Apa jadi dengan janji “tidak perlu bayar jika gaji tidak cukup RM4000”?
Masa sudah tiba, untuk Menteri Pendidikan memberikan kerangka penyelesaian menyeluruh kepada kemelut PTPTN ini.
Cukup-cukuplah dengan alasan “kajian sedang dilakukan”; sebaliknya mula menyediakan halatuju yang lebih jelas berkenaan tabung pendidikan ini. Musim untuk berjanji manis sudah berlalu. Rakyat dan generasi muda khususnya menantikan “penyelesaian yang paling baik” kepada masalah pembiayaan pendidikan ini.
Menteri Pendidikan tidak perlu mengingatkan soal “moral” dan “akhlak tinggi” jika kerajaan sendiri menipu dan membohongi rakyat dengan janji manis manifesto. Di mana moraliti dan akhlak YB Menteri Pendidikan sendiri?
Di dalam Dewan Rakyat yang mulia (boleh rujuk hansard bertarikh 31 Julai 2018), Menteri Pendidikan menyatakan secara spesifik bahawa kajian menyeluruh mengenai PTPTN akan siap menjelang bulan Ogos tahun ini.
Kajian yang dikatakan menyeluruh ini pastinya meliputi keseluruhan operasi PTPTN – bukan sahaja status terkini peminjam; malahan kemampuan organisasi itu membiayai permohonan baru bakal pelajar institut pengajian tinggi untuk tahun mendatang.
Kita masih menunggu hasil kajian dan ‘strategi baru’ PTPTN ini. Mana dia? Apakah kerana Pengerusi PTPTN yang baru merupakan sahabat rapat Maszlee – beliau diberikan kebenaran khas untuk menipu Dewan Rakyat dan gagal mengotakan janji? Di mana moraliti dan akhlak pentadbir PTPTN?
Ramai pengundi muda yang memberikan kepercayaan kepada kerajaan Pakatan Harapan berasaskan janji-janji manis berkait PTPTN ini.
Kita berasa cukup kesal, kerana tidak nampak usaha dan ikhtiar yang jelas dalam menyelesaikan isu yang besar ini. Isu PTPTN memerlukan perhatian segera pihak kerajaan.
Setakat ini, Menteri Pendidikan dan pentadbiran baru PTPTN masih gagal memberikan penjelasan yang tuntas mengenainya. - 24 September 2018.