Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Ahad, 5 Ogos 2018

Kediaman Rasmi MB Perak Dijual, Akan Bina Rumah Lain.

Oleh : Bernama

Kawasan kediaman rasmi Menteri Besar Perak di sini mungkin akan dijual memandangkan ia dilihat tidak lagi sesuai untuk didiami, kata Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu.

 
Beliau berkata aspek keselamatan antara satu daripada sebab kediaman rasmi itu tidak lagi boleh diduduki selain lokasinya yang kurang sesuai pada ketika ini.

“Sekarang naik (terdapat) pelbagai bangunan (sekitar kediaman), maka rumah ini tidak lagi sesuai untuk MB (menteri besar) tinggal, bukan saya sahaja tapi sesiapa pun (selepas saya).

“Saya telah sembah maklumkan kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah mengenai perkara ini,”
katanya dalam temu bual khas di kediaman rasmi Menteri Besar, baru-baru ini.

Menjelas lanjut, beliau berkata nilai tanah kawasan kediaman itu adalah tinggi dan jika ia dijual banyak projek boleh dilaksanakan seperti pembinaan rumah untuk semua Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco).

Ahmad Faizal berkata Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) sedang mengumpul cadangan daripada pelbagai pihak berhubung projek yang sesuai dilaksanakan di kawasan tersebut bagi mengantikan kediaman rasmi Menteri Besar.

“Kami akan pastikan, apapun yang akan dilaksanakan akan menjaga kepentingan negeri selain mempunyai nilai kepada rakyat,” katanya.

Menurutnya jika kediaman rasmi baru Menteri Besar dibangunkan nanti, ia akan dibina dengan teguh, cantik serta boleh dikunjungi orang awam untuk mengambil gambar sebagai kenang-kenangan.

Kediaman rasmi Menteri Besar yang terletak berdekatan bulatan Sultan Yusof itu dibina pada 1962 dan siap setahun kemudian.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal meminta media di Perak menjadi mata dan telinga kepada kerajaan dalam menyampaikan sebarang maklumat untnuk memajukan negeri.

“Anda (media) kerap ke lapangan boleh sampaikan kepada saya masalah dan kesusahan rakyat,” katanya sambil berharap media dapat menjalin kerjasama erat sebagai sahabat dengannya. - 5 Ogos 2018.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...