Rabu, 8 Ogos 2018

17 Pegawai Keselamatan Disyaki Mencuri RM3.5j Dari Pejabat Najib.

Oleh : Malaysiakini
Pegawai-pegawai keselamatan di Jabatan Perdana Menteri yang direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini didakwa mencuri wang tunai berjumlah RM3.5 juta daripada pejabat bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak pada malam pilihan raya umum ke-14 lalu.

Sumber memberitahu Malaysiakini seramai 17 anggota keselamatan mengambil wang itu - yang dikatakan SPRM sebahagian dana pilihan raya Umno- apabila mengetahui "BN tewas pilihan raya."

"Para anggota keselamatan adalah sebahagian daripada pasukan bertugas malam itu untuk menyediakan kawalan keselamatan di jabatan berkenaan.

"Mereka yang ditangkap adalah orang yang pada masa itu ditugaskan untuk menjaga bangunan utama di mana terletaknya pejabat perdana menteri.

"Dipercayai apabila mereka mengetahui BN akan kalah pilihan raya, mereka memutuskan untuk mengambil sesuatu untuk diri mereka sendiri dan masuk ke pejabat bekas perdana menteri,"
kata seorang sumber.

Wang itu, tambah sumber berkenaan, tidak disimpan dalam peti keselamatan.

Pihak berkuasa mengesyaki kumpulan berkenaan telah menyapu bersih semua wang tunai yang didapati di pejabat berkenaan.

Sumber lain berkata pihak berkuasa mula curiga terhadap penglibatan suspek apabila mereka dilihat menayangkan kemewahan mereka secara mendadak, termasuk membeli motosikal baru.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki mengesahkan anggota keselamatan berkenaan sedang disiasat, namun enggan mengulas lanjut.

Terdahulu hari ini, SPRM memperoleh perintah tahanan reman selama lima hari terhadap suspek, berusia antara 31 dan 51 tahun di Mahkamah Majistret Putrajaya bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Dilaporkan SPRM telah merampas wang tunai berjumlah RM840,700 daripada suspek, bersama sembilan motosikal bernilai RM90,000. - 8 Ogos 2018.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...