Selasa, 7 Ogos 2018

Tak Perlu Layan Tuntutan Royalti Jika Kelantan Tak Selesai Isu Orang Asli Kata Ketua Pemuda PH.

Kenyataan Media Pemuda Pakatan Harapan Negeri Kelantan: Isu Blockade - Kerajaan Persekutuan Perlu Campurtangan

4 hari lepas, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar R Sivarasa telah membuat lawatan ke Pejabat JAKOA Gua Musang dan seterusnya membuat kunjungan ke Blockade Kaleg dan Cawas.

 
Lawatan dan tinjauan ini dilakukan selepas beliau menerima aduan dari wakil Jaringan Orang Asli Kelantan berkenaan masalah yang dihadapi Masyarakat Orang Asli di Gua Musang, Kelantan berkaitan aktiviti Pembalakan dan Perladangan didalam kawasan yang menjadi tuntutan Tanah Adat Mereka.

Hasil lawatan dan tinjauan, Timbalan Menteri telah mengeluarkan kenyataan meminta perhatian Kerajaan Negeri Kelantan supaya menyelesaikan perkara berbangkit supaya semua pihak mendapat hak masing-masing.

Selang 2 hari selepas lawatan Timbalan Menteri, Malaysia dikejutkan dengan berita sekumpulan hampir 50 individu merobohkan Blockade Kaleg apabila video kejadian tersebut viral di Media Sosial. Individu berkaitan berkemungkinan orang upahan syarikat perladangan.

Pemuda Pakatan Harapan(PH) Negeri Kelantan mengambil serius kejadian yang berlaku ini dan menganggap ianya sebagai satu perbuatan yang KURANG AJAR memandangkan ianya berlaku selang 2 hari sahaja dari tarikh lawatan dan tinjauan Timbalan Menteri.

Kami Pemuda PH Kelantan sebelum ini telah terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam membantu perjuangan Masyarakat Orang Asli suku Kaum Temiar menuntut Hak Tanah Adat Mereka.

Isu ini bukanlah isu baru. Malah ianya telah berlanjutan lebih dari 5 tahun sebelum Pakatan Harapan dan Pemuda Pakatan Harapan ditubuhkan.

Sepanjang krisis ini berlangsung, wakil-wakil Masyarakat Orang Asli telah lebih dari 10 kali secara rasmi dan tidak rasmi memohon supaya diadakan rundingan bagi menyelesaikan krisis ini.

Jemputan supaya MB, TMB dan wakil-wakil Kerajaan Negeri Kelantan tampil melihat sendiri kerosakan yang berlaku akibat aktiviti pembalakan dan perladangan melampau juga sudah banyak kali dibuat tetapi pihak Kerajaan Negeri hanya berdiam diri.

Pemuda Pakatan Harapan Kelantan dengan ini menuntut supaya;

1. Kerajaan Negeri Kelantan terutama MB, TMB dan barisan EXCO Kerajaan Negeri Kelantan tampil membuat rundingan melibatkan wakil-wakil Masyarakat Orang Asli, Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, JAKOA, wakil-wakil Syarikat Perladangan dan semua pihak terlibat dengan kadar segera.

2. Kementerian Kemajuan Luar Bandar harus campurtangan secara lebih serius mengikut bidangkuasa Kerajaan Persekutuan bagi menyelesaikan krisis ini.

Kedua-dua tuntutan diatas dibuat bersesuaian dengan tuntutan Masyarakat Orang Asli yang masih belum ditunaikan oleh Kerajaan Negeri Kelantan.

Pemuda PH Kelantan juga ingin mencadangkan supaya Kerajaan Persekutuan memberi tekanan kepada Kerajaan Negeri dengan tidak melayan apa-apa tuntutan dari Kerajaan Negeri termasuklah tuntutan bayaran Royalti sehingga perkara ini diselesaikan terlebih dahulu.

Tidak ada gunanya berlembut dengan sebuah Kerajaan yang menzalimi rakyat sendiri lebih-lebih lagi terhadap Masyarakat Orang Asli yang sudah sekian lama hidup dalam kemunduran dan serba kekurangan.

Pemuda PH Kelantan juga tekad untuk bertindak dengan lebih serius dalam membantu Masyarakat Orang Asli menuntut Hak Tanah Adat mereka selain akan terus komited memperjuangkan isu penjagaan hutan dari dimusnahkan pihak-pihak yang rakus dan berkepentingan.

Mohd Khairul Amin Ab Rahman
Ketua Pemuda Pakatan Harapan
Negeri Kelantan

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...