Ahad, 5 Ogos 2018

MB Perak Nafi Terlibat Dalam Majlis Wanita Berpakaian Seksi.

KENYATAAN MEDIA - MENTERI BESAR, KERAJAAN NEGERI TIADA KAITAN DENGAN MAJLIS TAMPILKAN WANITA BERPAKAIAN SEKSI.
 
Assalamualaikum WBT dan selamat petang,
Saya terpanggil untuk membuat satu kenyataan media menafikan pembabitan saya, Pejabat Menteri Besar Perak dan juga mana-mana jabatan atau agensi kerajaan negeri Perak dalam satu majlis 'amal' yang menampilkan seorang penyanyi wanita yang tampil berpakaian seksi, seperti yang tersebar di media sosial.



Dalam klip video berdurasi 1 minit 24 saat itu, seorang penyanyi wanita kelihatan tampil membuat persembahan tarian dan nyanyian dengan pakaian seksi pada satu majlis makan malam.

Terpapar pada skrin besar dalam video tersebut adalah "Persatuan Kebudayaan dan Pelancongan Kinta Perak. Malam Amal Ratu Kebudayaan Yang ke-14 Tahun 2018. Ratu Kebaya, Ratu Sari, Ratu Cheongsam."

Turut dipaparkan pada skrin besar dalam video tersebut adalah : "Ribuan terima kasih dan penghargaan kepada tetamu terhormat YB M Kulasegaran (Menteri Sumber Manusia) dan YAB Ahmad Faizal Azumu (Menteri Besar Perak)".

Pihak penganjur juga didapati telah menggunakan logo Jata Negeri Perak, logo Visit Perak 2017 dan logo Tourism Perak pada skrin latar majlis tersebut.

Saya telah meminta pihak berkaitan untuk menyemak kaitan kerajaan negeri dengan majlis tersebut dan makluman yang saya terima menunjukkan tiada sebarang tajaan atau kehadiran mana-mana wakil pejabat Menteri Besar atau mana-mana jabatan atau agensi kerajaan negeri pada majlis terbabit.

Justeru itu, saya ingin menafikan sekeras-kerasnya pembabitan saya, pejabat Menteri Besar Perak dan juga mana-mana jabatan atau agensi kerajaan negeri Perak secara langsung atau tidak langsung dengan majlis itu.

Saya tidak pasti apakah niat pihak berkenaan berbuat demikian, tetapi saya memandang serius perbuatan berkenaan kerana ia melibatkan imej institusi Menteri Besar Perak dan juga kerajaan Perak keseluruhannya.

Susulan daripada kejadian yang mendukacitakan ini, saya telah mengarahkan supaya mana-mana pihak yang ingin menggunakan imej saya atas kapasiti sebagai Menteri Besar, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen supaya merujuk kepada Pejabat Menteri Besar terlebih dahulu.

Ini adalah bertujuan melindungi imej insitusi Menteri Besar Perak dan imej kerajaan negeri Perak secara keseluruhannya dari sebarang acara atau aktiviti yang boleh menimbulkan salah faham di kalangan masyarakat pelbagai agama dan kaum, serta menyentuh perkara-perkara sensitif.

Sekian, terima kasih.

AHMAD FAIZAL DATO' AZUMU
MENTERI BESAR PERAK
SABTU, 5 OGOS 2018

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...