Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Sabtu, 16 Jun 2018

GST Zero Rated Tetapi Ada Peniaga Engkar Enggan Turunkan Harga Barang - Rafizi Ramli.

Kenyataan Media
HARGA BARANG : NAIK ATAU TURUN SELEPAS GST DIMANSUH?

Antara isu yang paling penting untuk rakyat biasa adalah harga barang. Saya juga sangat berminat dengan kesan pemansuhan GST ke atas harga barang kerana jika harga barang turun, itu akan banyak membantu rakyat biasa.

Apa faktor-faktor yang mempengaruhi harga barang?




 
Ada 3 perkara besar yang mempengaruhi harga barang:

(i) kerajaan yang menetapkan dasar-dasar dan peraturan yang perlu dipatuhi dan diterjemahkan menjadi harga barang – contohnya harga kawalan, harga siling, harga minyak, tarif elektrik, subsidi yang diberikan, kadar cukai dan lain-lain


(ii) peniaga yang mengambil kira semua kehendak undang-undang dan dicampur pula dengan margin keuntungan dalam menetapkan harga barang


(iii) pengguna (orang ramai) yang menentukan permintaan dan kesanggupan membeli barang dan perkhidmatan pada harga yang ditetapkan oleh peniaga (yang tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan kerajaan)


Apabila Kerajaan Persekutuan menghapuskan GST, itu menyelesaikan sebahagian dari perkara yang menyebabkan harga barang yang berada di dalam kawalan kerajaan. Pada dasarnya, apabila Kerajaan Persekutuan tidak lagi mengutip 6% ke atas setiap pembelian, harganya sepatutnya turun sekurang-kurangnya 6% ke atas setiap harga.

Tetapi ada peniaga yang akur, ada peniaga yang mengambil pendirian berlainan. Ada yang mengatakan selama ini harga dengan GST itu bermakna mereka menanggung GST, jadi bila GST dihapuskan, mereka enggan menurunkan harga barang kerana mereka beranggapan merekalah yang menanggung GST selama ini, bukannya pengguna.

Keputusan menetapkan harga mengikut undang-undang itu masih lagi keputusan peniaga. Peniaga juga adalah rakyat – selagi mereka menetapkan harga mengikut undang-undang, mereka bergantung kepada pengguna untuk membeli atau tidak.

Ada banyak peruntukan undang-undang yang boleh digunapakai untuk memastikan peniaga menetapkan harga mengikut peraturan dan tidak mengambil keuntungan yang melampaui batas atau mengambil kesempatan. Antaranya:

(i) Peniaga yang masih mengutip GST boleh dikenakan tindakan serta merta kerana GST telah dihapuskan
 

(ii) Peniaga yang menaikkan harga dengan tidak munasabah boleh dikenakan tindakan oleh KPDNKK di bawah Akta Anti Pencatutan 2011

(iii) Peniaga yang tidak mempamerkan harga boleh dikenakan tindakan di bawah pelbagai akta sedia ada; dan lain-lain


Saya akan terus memantau kedudukan harga barang setakat yang termampu, dengan keterbatasan saya sebagai rakyat biasa, seperti anda.

Namun, pengalaman saya menguruskan sukarelawan melalui INVOKE juga meyakinkan saya bahawa ada banyak perkara yang kita dapat capai bersama sebagai rakyat.

Pegawai-pegawai penguatkuasa KPDNKK ada kekangan untuk bertindak dengan berkesan kerana saya pasti ada ribuan laporan mengenai kenaikan harga setiap minggu. Orang ramai pula mungkin tidak tahu bahawa harga yang mereka bayar itu sebenarnya tinggi, kerana mereka tidak boleh membandingkannya dengan harga di kedai atau tempat lain.

Lebih penting, saya pasti bila ada pendedahan kedai mana dan peruncit mana yang mengenakan harga yang tidak berpatutan atau terlalu tinggi, orang ramai tidak akan membeli di kedai itu dan akan memaksa peniaga menurunkan harganya.

Masalahnya, bagaimana kita boleh mengetahui sama ada harga yang dikenakan itu berpatutan, atau terlebih tinggi? Bagaimana kita mendapatkan kepastian bahawa laporan kita kepada KPDNKK akan diambil tindakan segera?

Saya bernasib baik kerana bidang yang saya ceburi sekarang adalah analisa data menggunakan kaedah-kaedah statistik yang boleh menjawab soalan-soalan ini.

Sejak seminggu yang lalu, kami di INVOKE telah mengambil keputusan untuk mencuba menggunakan kuasa sukarela rakyat Malaysia untuk mengawal harga barang. Usaha ini tidak memerlukan peruntukan, tidak memerlukan kuasa atau jawatan.

Ia hanya memerlukan maklumat dari seberapa ramai pengguna untuk melaporkan peniaga yang masih mengutip GST, atau peniaga yang menaikkan harga barang. Malah, kita boleh kawal harga barang jika seberapa banyak harga barang dipantau kerana pengguna menghantar maklumat harga barang dari semasa ke semasa.

Pengkalan data #hargabarang yang INVOKE usahakan akan dapat menganalisa dari ribuan data harga barang yang dihantar oleh rakyat untuk mengenal pasti barang mana yang harganya naik melambung, apa inflasi sebenar, peniaga mana yang sering dilaporkan menaikkan harga barang (maka penguatkuasa perlu memberi keutamaan mengambil tindakan ke atas peniaga ini) dan lain-lain.

Saya mohon kerjasama seramai mungkin rakyat Malaysia untuk menyertai usaha akar umbi memantau harga barang ini supaya kita boleh ambil tindakan yang sewajarnya sebagai pengguna dan rakyat biasa, sementara menunggu tindakan penguatkuasaan.

Lawati https://hargabarang.invokemalaysia.org atau bit.ly/laporhargabarang untuk menyertai rakyat Malaysia yang secara sukarela memantau harga barang.

Setiap bulan, saya akan membentangkan kedudukan harga barang dan mendedahkan peniaga-peniaga yang paling banyak dilaporkan berhubung aduan harga barang. Senarai ini saya akan hantar kepada KDNKK untuk mereka mengambil tindakan penguatkuasaan secara segera.

Saya tetap yakin dengan kuasa rakyat. Kuasa rakyat juga boleh kita gembleng untuk memantau dan mengawal harga barang.

Sebarkan kepada seramai mungkin, kami sedang membangunkan sistem pemantauan itu agar dapat memberi mata kepada setiap laporan harga barang selepas ini.

Akhir sekali, ucapan selamat hari raya Aidilfitri dari kami di INVOKE Malaysia.

Rafizi Ramli

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...