Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Khamis, 29 Mac 2018

Bekas Ahli Parlimen Sabak Bernam Menangis Bebas Pertuduhan.

Oleh : Bernama

Bekas ahli parlimen Sabak Bernam Datuk Abdul Rahman Bakri dan pembantunya Rosli Busro kekal bebas daripada 8 pertuduhan melakukan tuntutan palsu RM80,000 berhubung program rakyat.

Ini berikutan Mahkamah Rayuan hari ini yang diketuai Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan Rahman dan Rosli atas pertuduhan itu.


Hakim Mohd Zawawi yang bersidang bersama Hakim Datuk Kamardin Hashim dan Datuk Rhodzariah Bujang berkata mahkamah membuat keputusan sebulat suara itu selepas mendapati terdapat beberapa elemen dalam pertuduhan yang menimbulkan keraguan berhubung siapa prinsipal dan sama ada responden (Rahman dan Rosli) mempunyai niat untuk melakukan kesalahan berkenaan.

Beliau berkata, mahkamah bersetuju dengan keputusan hakim Mahkamah Tinggi, terdapat elemen kecuaian dalam kes itu, namun tiada elemen kecurangan.

“Saya di sini hendak mengingatkan pihak-pihak untuk mengambil tindakan yang berhati-hati ketika membuat tuntutan.

“Oleh itu rayuan ditolak. Kamu dilepaskan dan dibebaskan,”
kata Hakim Mohd Zawawi kepada Rahman, 53, dan pembantunya Rosli, 50, yang berdiri di luar kandang tertuduh.

Kedua-dua lelaki itu berpelukan dan menitiskan air mata selepas keputusan itu dan ahli keluarga mereka yang hadir turut mengalirkan air mata. Rahman ketika ditanya mengenai keputusan itu berkata “Syukur Alhamdulillah”.

Sebelum ini, Rahman dan Rosli dihukum penjara masing-masing 6 tahun dan denda berjumlah RM400,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 29 Februari 2012 selepas didapati bersalah atas 8 pertuduhan itu.

Pada 11 Oktober 2012, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Akhtar Tahir mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen selepas menolak rayuan Rahman dan Rosli lalu mereka merayu ke Mahkamah Rayuan.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 29 Mac 2016, memerintahkan kes itu dikembali semula ke Mahkamah Tinggi untuk mendengar hujahan dan pada 27 Mei 2016 Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Ghazali Cha mengetepikan hukuman itu dan membebaskan mereka daripada pertuduhan selepas membenarkan rayuan mereka terhadap sabitan dan hukuman itu.

Pendakwaan merayu terhadap keputusan pembebasan itu ke Mahkamah Rayuan dan mahkamah itu hari ini mengekalkan pembebasan mereka. Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Tengku Intan Suraya Tengku Ismail manakala kedua-dua lelaki itu diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Rahman didakwa menggunakan dokumen peruntukan palsu iaitu Surat Adun mengandungi butiran bagi tuntutan program dan aktiviti yang tidak pernah dijalankan. Semua tuntutan palsu itu membabitkan RM10,000 setiap satu.

Tuntutan itu membabitkan pembelian hadiah, cenderamata dan jamuan Program Motivasi Pelajar peringkat DUN Sungai Air Tawar; Program Mesra Rakyat dan Hari Keluarga di Dewan Simpang 4 Bagan Nakhoda Omar (BNO); Program Forum Perdana peringkat Mukim BNO; Program Mesra Rakyat dan sambutan Maulud Nabi dan Program Mesra Rakyat Hari Keluarga Guru Kemas.

Rahman dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Daerah Sabak Bernam antara 21 Januari dan 12 Februari, 2008.

Bagi setiap pertuduhan, beliau didakwa mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Rosli pula didakwa bersubahat dengan Rahman melakukan semua kesalahan itu.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...