Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Khamis, 30 November 2017

Keputusan RCI Forex : Beban Salah Atas Mohamed Yakcop - Daim, Anwar, Mahathir Di Anggap Bersubahat.

Oleh : Free Malaysia Today

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian urus niaga mata wang asing (forex) Bank Negara Malaysia dalam laporan lengkap yang dikeluarkan hari ini meletakkan kesalahan kepada penasihat BNM, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop sebagai pihak bertanggungjawab. 

Laporan itu juga mengesyorkan polis membuka siasatan rasmi terhadap kemungkinan berlaku kesalahan pecah amanah dalam urusan tersebut. Nor Yakcop menguruskan portfolio BNM antara 1986 hingga 1993, termasuk menguruskan rizab luar dan peraturan untuk pasaran kewangan dalaman. 


“Walaupun beliau mendominasi dana BNM dan dilihat mempunyai kebebasan dalam urus niaga forex, beliau tidak mungkin dapat melaksanakan urus niaga berkenaan dalam tempoh yang lama tanpa kelulusan langsung atau tidak langsung daripada pihak atasan dan/atau individu lain yang mempunyai kuasa. 

“Justeru, suruhanjaya telah meneliti liabiliti bersama individu-individu berkenaan di bawah Seksyen 34 atau Seksyen 107 Kanun Keseksaan dan boleh dikaitkan sebagai mempunyai niat yang sama atau bersubahat,” kata laporan itu. 

Laporan setebal 400 muka surat itu yang diedarkan kepada ahli Parlimen hari ini berkata, siasatan itu perlu dilakukan terhadap semua pihak terlibat, termasuk bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas menteri kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kakitangan BNM. 

RCI itu turut mengesyorkan siasatan dijalankan terhadap ahli lembaga pengarah BNM, Jabatan Audit Negara dan Kementerian Kewangan. 

“Suruhanjaya berpendapat daripada fakta yang diberikan kepada inkuiri, terdapat asas untuk mencadangkan polis menjalankan siasatan rasmi terhadap kemungkinan berlakunya jenayah pecah amanah atau penipuan yang mungkin dilakukan oleh kakitangan BNM, ahli lembaga pengarah BNM, Jabatan Audit Negara, menteri kewangan dan perdana menteri dalam menjalankan urus niaga spekulasi forex dan menyembunyikan kerugian forex daripada pengetahuan Kabinet dan Parlimen,” kata laporan itu. 

RCI itu berkata skandal forex sekitar 1990-an itu dianggarkan mengalami kerugian sehingga RM30 bilion ketika Dr Mahathir merupakan perdana menteri. RCI ditubuhkan untuk menentukan kebenaran dakwaan mengenai kerugian forex yang ditanggung BNM dan kesannya terhadap ekonomi negara. 

Laporan berkenaan sudah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V oleh Pesuruhjaya RCI terdiri daripada Tan Sri Mohd Sidek Hassan, Datuk Seri Tajuddin Atan, Tan Sri Saw Choo Boon dan P Kanagarayar pada 13 Oktober lalu. 

Walaupun tidak terdapat dalam Aturan Urusan Mesyuarat, laporan RCI setebal 400 halaman dalam bahasa Melayu dan Inggeris itu sudah berada di meja ahli Parlimen. 

RCI itu dibentuk bagi memutuskan sama ada terdapat percubaan untuk menyembunyikan fakta dan maklumat mengenai kerugian, termasuk pengeluaran kenyataan oleh pegawai tinggi yang dikatakan mengelirukan Kabinet, Parlimen dan orang awam. 

Seramai 25 saksi termasuk Dr Mahathir dan Anwar, di samping bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin dan pegawai tertinggi bank termasuk gabenor, dipanggil memberi keterangan di depan panel suruhanjaya yang bersidang selama 8 hari. 

Selain itu, sebanyak 42 dokumen juga dikemukakan semasa prosiding.

Bekas Aktivis PAS Ditahan Kerana Kes 16 Tahun Lalu.

Polis bertindak menangkap bekas seorang aktivis Pas yang menjadi petugas dalam satu ceramah yang berlangsung 16 tahun lalu di Segamat, Johor.
Abdul Wahab Hassan, 65, yang bertugas sebagai petugas keselamatan dalam majlis ceramah Mohamad Sabu, timbalan presiden Pas ketika itu ditangkap jam 8 malam 28 November kelmarin oleh sepasukan polis lapor Malaysiadateline hari ini.
Abdul Wahab yang kini menyertai Amanah ditahan dan tangannya digari serta dibawa ke Balai Polis Segamat untuk diambil keterangan.
Gambar - Google
Menurut Firdaus Masod, bekas Yang Dipertua Pas Segamat, Abdul Wahab diberitahu beliau akan didakwa Februari depan atas kesalahan 16 tahun lalu itu.
“Persoalannya, kenapa kes 16 tahun lalu sekarang baru hendak didakwa.
“Hampir kesemua anggota polis yang menjadi saksi kejadian itu kebanyakannya dah pencen dan ada yang telah meninggal dunia,” kata Firdaus, seorang peguam itu, memetik laporan portal itu.
Dalam kejadian pada ceramah Pas tahun 2001 di Segamat itu, Abdul Wahab telah bertugas menjadi anggota keselamatan majlis itu.
Polis yang datang dengan ramai bersama dengan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) telah merempuh markas Pas itu termasuk memijak Abdul Wahab yang berada di pintu depan markas.
Rempuhan itu dilakukan oleh polis dan FRU sebelum ceramah bermula lagi.
Beliau telah ditahan dalam kejadian itu dan kelmarin ditahan sekali lagi namun dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM500 dengan anak beliau menjadi penjaminnya sementara menunggu tarikh perbicaraan.

Anak Saudara Azmin Jadi Tumpuan Selepas Direman Seminggu, 4 Juta Dibekukan.

Anak saudara kepada Datuk Seri Azmin Ali, Menteri Besar Selangor, Mohd Nuzul Fadli Mohd Noriyualsaid dan 2 lagi ahli perniagaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di kediamannya No.35 Jalan Desa Pandan Kuala Lumpur kira-kira 1 tengahari semalam bagi membantu siasatan satu kes rasuah projek lombong pasir.

Penahanan itu membawa kepada keputusan Mahkamah Majistret hari ini yang membenarkan reman selama 7 hari terhadap Fadli yang juga anak saudara Azmin Ali dan 3 yang lain kerana didakwa terlibat dalam memberi suapan berkaitan projek lombong pasir pada 2014.


Gambar - Facebook
Majistret Ainna Sherina Saipolamin membenarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman keempat-empat mereka sehingga 6 Disember ini. Kesemua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 16 (b) (B).

Menurut laporan Free Malaysia Today pula, dua yang ditahan reman ialah merupakan pengarah syarikat, dan diwakili peguam Azad Bashir. 

Manakala seorang yang lain ialah pekerja di sebuah syarikat pengiklanan. Portal itu turut difahamkan beberapa akaun syarikat bernilai sehingga RM4 juta telah dibekukan. 

Penahanan anak saudara Azmin turut mengundang pelbagai spekulasi di laman sosial terutamanya kerana kes itu dilaporkan berlaku pada tahun 2014, ketika Azmin Ali mula berkhidmat sebagai Menteri Besar Selangor.

Blog Bongkar Rahsia BN Johor Yang Dedahkan Dokumen Siasatan SPRM..

Menjawab Fikri Allaudin, Persatuan Pemikir Muda Johor.

Pada 28 November 2017, jam 5.14 petang, Malaysiakini telah menyiarkan surat Fikri berkenaan penyebaran dokumen siasatan SPRM. Surat tersebut bertajuk, "Cubaan fitnah MB Johor melalui andaian tanpa bukti".

Link surat tersebut → https://www.malaysiakini.com/letters/403656

Fikri menuliskan tentang beberapa perkara;

i) Malangnya ia hanya sehelai kertas dan tidak menyebut dan menyatakan apa-apa pun tentang penglibatan Menteri Besar Johor...

ii) Pertama, laman web tersebut merupakan laman web milik pembangkang. Jadi, kerja mereka apa? Sudah tentu sentiasa memburukkan dan memfitnah pentadbiran kerajaan sedia ada...

iii) Kedua, jika Khaled Nordin terlibat mengapa tidak ditunjuk laporannya. Mengapa hanya sekeping kertas bersama nama saksi SPRM tanpa menyebut nama menteri besar Johor? Mana salinan laporan yang lain? Mengapa tidak dedahkan?..

iv) Ketiga, bahagian ini paling menjengkelkan, sudah reka cerita tiba-tiba dekat hujung boleh pula bagi kapsyen macam ini: “Banyak lagi maklumat rasuah secara terperinci dalam kertas siasatan itu, tapi oleh kerana aku nampak ada tulis 'rahsia' jadi aku tak jadi nak dedahkan kepada umum sebab kurang arif tentang isu perundangan berkenaan kertas tersebut”...

Untuk pengetahuan Fikri;

1. Yang pertama sekali mendedahkan perkara itu ialah wakil rakyat Senai yang bernama Wong Shu Qi di dewan rakyat pada 27 November 2017.

2. Senai kemudiannya diusul untuk dirujuk ke Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan. 10 wakil rakyat BN menyokong bagaimanapun tiada keputusan muktamad dibuat selepas itu.

3. Senai diminta untuk tarik balik kenyataannya yang mengaitkan MB Johor dengan skandal hartanah di sidang Dun Johor sebanyak dua kali bagaimanapun Senai enggan dan diminta untuk meninggalkan dewan pada persidangan di sesi petang.

4. Berpandukan kepada pendedahan Senai, maka carian online dilakukan.

5. Kita hanya perlu taip Bongkar Rahsia BN Johor.

6. Ini kerana link ataupun url blog tersebut telah pun tersebar antaranya di forum CARI.


7. Di blog tersebut, Fikri boleh membaca sepuas-puasnya dokumen yang merakamkan keterangan saksi dalam kes yang sedang disiasat oleh SPRM. 

8. Ketidaksediaan blog-blog pembangkang berkongsikan dokumen-dokumen yang tersebar itu adalah kerana tidak mahu dituduh dan difitnah sebagai individu pertama yang menyebarkan ia. Menyebarkan maklumat yang terdapat di dalam dokumen tersebut dengan menyebarkan dokumen itu sendiri, membawa dua maksud yang berbeza.

9. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuat laporan polis selepas dokumen kenyataan rakaman percakapan tertuduh dalam siasatan kes rasuah hartanah melibatkan bekas exco Johor bocor di Internet. 

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Datuk Azam Baki berkata pembocoran dokumen itu bersifat prejudis dan dikhuatiri akan mengganggu prosiding mahkamah memandangkan kes itu masih dalam perbicaraan. 

“Ingin dinyatakan, dokumen kenyataan rakaman percakapan salah seorang tertuduh telah diberikan kepada peguambela atas permintaan mengikut undang-undang sedia ada untuk tujuan pembelaan selepas suspek dituduh. - laporan Free Malaysia Today pada 28 November 2017.

Link berita →  http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/11/28/sprm-lapor-polis-selepas-dokumen-siasatan-kes-bekas-exco-johor-bocor/

Untuk rujukan Fikri;


Jika kita baca kenyataan SPRM, dokumen yang merakam percakapan tertuduh telah diserahkan kepada peguambela untuk tujuan pembelaan.

Ini bermaksud secara tidak langsung, SPRM mengesahkan ketulenan dokumen yang tersebar itu.

Fikri boleh melihat jadual di atas, yang mengaitkan Khaled dengan skandal hartanah di Johor. Dan membaca kesemua dokumen di blog yang dinyatakan kemudiannya saring maklumat tersebut dengan SPRM bagi membuat perbandingan satu demi satu dokumen yang dimuatnaik samada kesemua dokumen tersebut adalah tulen ataupun ada yang bercampur dengan kandungan yang direka-reka.

Sebenarnya apabila tersebarnya satu-satu dokumen di blog ataupun di media sosial, ia akan 'trigger' keinginan masyarakat untuk mengetahui apa yang tersebar itu adakah ianya tulen, adakah ianya palsu, atau adakah ianya propaganda.

Jadi, adalah tidak pelik jika sesetengahnya mengutarakan pelbagai pertanyaan bagi 'feed' akal mereka yang sedang bertanya dan mencari kebenaran.

Semoga Fikri boleh merungkai perkara sebenar seperti yang tersebar dalam dokumen tersebut untuk kebaikan semua rakyat samada di dalam Johor ataupun di luar Johor.

Guan Eng, Ramasamy Menang Saman Fitnah Terhadap Bekas Penasihat Hindraf.

Fitnah yang dilemparkan seorang anggota NGO terhadap dua pemimpin DAP ternyata tidak berasas apabila Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini memberikan kemenangan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan timbalannya, P. Ramasamy.

Dengan keputusan itu, bekas penasihat kebangsaan Hindu Rights Action Force (Hindraf) N. Ganeson diarahkan membayar ganti rugi kepada Guan Eng dan Ramasamy sebanyak RM50,000 setiap seorang dan RM25,000 lagi untuk kos perbicaraan lapor portal The Malaysian Insight pada semalam.



Menurut peguam plantif, Simon Murali, Ganeson gagal membuktikan tuduhan terhadap Guan Eng dan Ramasamy atas dakwaan kononnya menghantar beberapa samseng untuk menganggu mesyuarat yang dianjurkan NGO itu empat tahun lalu.

Sementara itu, Hakim yang mengadili kes berkenaan, Lim Chong Fong menegaskan meskipun Ganeson ada membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan, kenyataan itu dilihat bertujuan hanya untuk memfitnah kedua-dua pemimpin terbabit.

“Hakim mendapati ada unsur tidak baik dalam kenyataannya itu, yang berniat untuk memfitnah mereka berdua, bukannya atas alasan kepentingan masyarakat.

“Laporan polis Ganeson diperakui. Tetapi, daripada menunggu polis menyiasat insiden itu, beliau telah membuat sidang media dan menuduh pihak plaintif,”
kata Murali seperti dilaporkan oleh portal itu lagi.

Sebelum ini, Guan Eng dan Ramasamy turut menyaman New Straits Times Press (NSTP) dan bekas wartawannya yang melaporkan kenyataan fitnah Ganeson berkenaan.

Keputusan Mahkamah Rayuan berpihak kepada Setiausaha Agung DAP dan Ahli Jawatankuasa DAP itu dan NSTP diarahkan membayar mereka sejumlah RM450,000 untuk kos dan ganti rugi.

Rabu, 29 November 2017

Asiah Disiasat JAIP, Dilepaskan Dengan Bon Jaminan.

Sekumpulan Pegawai Penguatkuasa Agama dari Jabatan Agama Islam Pahang menyerbu kediaman aktivis kontroversi Asiah Binti Abd Jalil berikutan aduan yang dibuat oleh beberapa pihak sebelum ini.

Asiah sebelum ini menjadi perhatian awam berikutan mengeluarkan beberapa kenyataan yang didakwa menghina agama termasuklah mengkritik Nabi Muhammad SAW di akaun media sosialnya.


Tindakan Asiah itu turut mendapat perhatian Mufti Perlis, Asri Zainal Abidin ataupun lebih dikenali sebagai MAZA untuk memberikan pandangan berhubung kenyataan kontroversi oleh Asiah sebelum ini.

Asiah menerusi akaun facebooknya menyatakan beliau diserbu oleh sekumpulan pegawai agama kira-kira jam 11 malam semalam.

"Sekumpulan Pegawai Penguatkuasa Agama dari Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), diketuai Sharafuddin Zainal Ariffin, baru saja serbu rumah saya pada jam 11 malam tadi. Bersama waran geledah untuk menangkap saya. 

Saya disyaki melakukan jenayah syariah di bawah seksyen 11 dan 12 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 kerana 1) menghina atau menyebabkan dipandang hina Agama Islam, 2) mempersendakan ayat Al-Quran atau Hadith Saya cabar waran geledah yang defective dan penyalahgunaan prosedur siasatan oleh JAIP. 

Akhirnya Pegawai Penguatkuasa keluarkan arahan hadir membantu siasatan di pejabat JAIP jam 10 pagi esok (hari ini). Tanpa gentar saya akan jawab semua pertuduhan di Mahkamah Syariah," katanya dalam satu kenyataan. 

Asiah juga turut melaporkan yang beliau telah selesai memberikan keterangan seperti yang diminta dan dibebaskan dengan bon jaminan dengan suaminya sebagai penjamin. 

"Selepas merakam percakapan lebih kurang satu jam, saya kini selamat dan telah pulang. Saya dibebaskan dengan bon dan suami adalah sebagai penjamin. Tiada sebarang pertuduhan buat masa sekarang. Mungkin ini adalah percubaan try and error oleh agensi keagamaan," katanya di facebook.

Selain didakwa menghina Islam dan Nabi, Asiah juga menjadi tumpuan berikutan menuntut cerai kerana suaminya dianggap taksub kepada PAS sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga.

Kini Semua Kakitangan Dan Pelajar UM Dilarang Bercakap Negatif Tentang Universiti & Kerajaan.

Universiti Malaya (UM) hari ini didedahkan telah mengeluarkan satu arahan rasmi yang melarang kesemua kakitangan dan para pelajarnya daripada membuat sebarang komen negatif terhadap pihak universiti dan kerajaan.
Arahan itu tersebar meluas di media sosial dan mendapat kecaman ramai pihak terutamanya oleh bekas pelajar dan pelajar di universiti berkenaan.
Notis yang tersebar itu menyatakan,"Peringatan!! Larangan membuat pernyataan awam," sebagai tajuk utamanya.
Kemudiannya diikuti dengan arahan beberapa perkara yang dilarang untuk dilakukan oleh kakitangan dan pelajar UM.
"Pernyataan awam termasuklah ulasan kepada pihak akhbar, orang ramai atau semasa syarahan, ucapan awam, penyiaran, penerbitan termasuklah media sosial,"
Antara lain, kakitangan dan pelajar juga dilarang mengeluarkan kenyataan yang dianggap boleh memudaratkan dasar, rancangan dan keputusan universiti dan kerajaan atas apa-apa isu, memalukan atau memburukkan nama universiti dan kerajaan, memberikan apa-apa maklumat dan fakta mengenai perjalanan fungsi universiti dan sebarang penjelasan tentang peristiwa berkaitan universiti dan kerajaan.
UM belum mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi berhubung penyebaran notis berkenaan di laman sosial.

Rumah Di Johor Terlalu Mahal, Ia Bukti Kegagalan Khaled Tadbir Johor Kata Amanah.

Kenyataan Media.
PERINGATAN RUMAH TERLALU MAHAL SATU TAMPARAN ATAS KEGAGALAN KHALED NORDIN MENTADBIR JOHOR

1. Baru-baru ini, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar telah menyatakan peringatan penting kepada Kerajaan Negeri Johor untuk secara serius menyelesaikan masalah harga rumah yang terlalu mahal untuk dimiliki oleh rakyat Johor.

2. Tuanku menyebut dengan jelas "hakikatnya rumah yang dibina tidak mampu dimiliki oleh rakyat...tetapi hanya mampu lihat sahaja..", sewaktu memberikan ucapan perasmian di StarProperty.my Awards 2017.



3. Saya memandang serius gesaan yang dilontarkan Tuanku Sultan Johor yang mahukan seluruh rakyat Johor tanpa mengira bangsa, agama dan kelas pendapatan untuk memiliki rumah yang benar-benar mampu dimiliki demi kesejahteraan rakyat Johor.

4. Pastinya peringatan ini adalah satu tamparan besar kepada Kerajaan Negeri Johor yang tiada dasar perumahan yang jelas untuk memandu agenda perumahan mampu milik Negeri Johor dalam jangka masa pendek serta panjang.

5. Tambahan itu, Bank Negara Malaysia (BNM) juga telah memberi amaran keras kepada Negeri Johor atas lambakan perumahan tertinggi yang tidak terjual di Malaysia! Analisis yang dijalankan mendapati berpunca ketidakpadanan harga rumah yang ditawarkan di pasaran dengan pendapatan rakyat Johor.

6. Jelasnya, saya yakin masalah ini boleh diselesaikan dengan lebih holistik sekiranya usaha kerjasama dapat dilangsungkan oleh Kerajaan Negeri Johor dengan semua pemain-pemain pasaran hartanah seperti pelbagai pihak pemaju, persatuan bank-bank, persatuan pembeli, kerajaan tempatan dan lain-lain pihak berkepentingan.

7. Hal ini bukan perkara baharu, ramai negara maju telah laksanakan. "Multiple ways communication" adalah kunci untuk memastikan sesebuah polisi itu adil kepada semua pihak atau solusi win-win  agar agenda perumahan mampu milik di Negeri Johor dapat digalakkan dengan lebih giat.

8. Justeru, ingin saya tekankan bahawa Pakatan Harapan Negeri Johor meletakkan agenda perumahan di negeri Johor sebagai kriteria asas dalam membangunkan Negeri Johor.  Malah beberapa pelan strategik telah dirancang sebagai persiapan untuk mentadbir Negeri Johor dengan lebih baik berbanding kerajaan yang ada hari ini.

SALAHUDDIN AYUB
Timbalan Presiden
Parti Amanah Negara (Amanah)/ Pengarah Pilihan Raya
Pakatan Harapan Negeri Johor

29 November 2017

Isnin, 27 November 2017

Pensyarah Pelik Adun PAS Pilih Masuk PPBM Berbanding Amanah.

Oleh : Kamarul Yusof

KENAPA PERJUANGAN PRIBUMI BUKAN PERJUANGAN ISLAM RAHMATAN LIL 'ALAMIN JADI PILIHAN DATUK AMIRUDDIN?

Sama seperti kebanyakan rakan lain, saya juga tidak terkejut dengan tindakan ADUN Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah, meninggalkan PAS.

Sebaliknya, apa yang agak mengejutkan ialah bila PPBM, sebuah parti yang berteraskan kepada perjuangan pribumi, yang menjadi pilihan beliau.


Apatah lagi bila PPBM mutakhir ini sedang berhadapan dengan pelbagai masalah yang memungkinkan ia tidak dapat menyertai PRU 14.

Selain pemimpin dan ahli keluar parti, PPBM juga diberitakan gagal menguruskan parti dengan baik sehingga gagal mengadakan AGM.

Pelik juga bila difikirkan di saat ramai pemimpin dan ahli keluar dari PPBM, PPBM inilah yang menjadi pilihan Datuk Amiruddin untuk menyertai.

Kerana Datuk Amiruddin sebelum ini berada dalam PAS, ramai yang menjangkakan beliau akan menyertai AMANAH bila keluar dari PAS.

Ini kerana PAS adalah sebuah parti yang meletakkan Islam sebagai dasar perjuangannya, begitu juga dengan AMANAH yang mendakwa begitu.

Tercatat dalam Perlembagaan AMANAH matlamatnya untuk mendirikan sebuah negara dan masyarakat madani dengan Islam sebagai rahmat untuk semua.

Bila Datuk Amiruddin memilih untuk menyertai PPBM, bukan AMANAH, para pemimpin AMANAH perlulah merenung di mana salah dan silapnya gerak kerja mereka.

Memanglah memalukan bila AMANAH tidak menjadi pilihan Datuk Amiruddin sedangkan pemimpin seperti Timbalan Pengerusi AMANAH Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi, sendiri pernah memberikan bayangan kemasukan beliau ke dalam AMANAH.

Apa pun, kemasukan Datuk Amiruddin ke dalam PPBM mungkin juga boleh dikaitkan dengan latar belakang dan pemikiran politik beliau sendiri.

Ada yang berspekulasi mengenai hubungan peribadi beliau yang baik dengan Timbalan Presiden PPBM merangkap Pengerusi PPBM Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Ada juga yang berspekulasi mengenai penglibatan beliau di dalam JIM sebelum ini di mana kononnya menjadi agenda JIM untuk cuba menguasai semua parti.

Begitu juga, dari segi logik, tindakan Datuk Amiruddin menyertai PPBM, bukan AMANAH, adalah suatu tindakan yang cukup pragmatik dalam konteks Kedah.

Ini kerana parti yang diberi peranan untuk menerajui Kedah dalam PRU 14 oleh Pakatan Harapan bukanlah AMANAH, mahupun PKR, tetapi adalah PPBM.

Jadi, jika jawatan dalam kerajaan negeri atau keupayaan mempengaruhi dasar kerajaan negeri yang menjadi pertimbangan, sudah tentulah PPBM akan menjadi pilihan.

Bagaimanapun, bacaan bahawa Pakatan Harapan akan mampu mengambil-alih pentadbiran Kedah dari Barisan Nasional bukanlah satu perkara yang pasti kerana apa saja boleh terjadi.

Apa yang pasti dan jelas terbukti kini ialah Datuk Amiruddin adalah seorang pemimpin yang berani, paling tidak beliau berani melanggar bai'ah yang dibuat dengan PAS!

Sama ada keberanian beliau ini akan menghasilkan natijah yang positif di dalam kehidupan beliau atau tidak serta sama ada ia perlu dicontohi atau tidak adalah soal lain pula.

Jangan Lupakan Tentang Baiah Kata PAS Pada Adun Kedah Yang Keluar Parti.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit Datuk Amiruddin Hamzah diingatkan tentang baiah oleh kepimpinan PAS, sebaik selepas beliau mengumumkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dari PAS, pada semalam.


Ingatan itu disampaikan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. Mengulas penghijrahan Amiruddin itu, Tuan Ibrahim berkata beliau terkejut dengan perkara itu kerana Amiruddin seorang yang mudah dibawa berbincang dan tidak bermasalah dalam parti.

"Secara peribadi saya terkejut dengan tindakan beliau...(tetapi) PAS menghormati keputusannya.

"Namun beliau masih mempunyai beberapa tanggungjawab dalam baiah yang beliau lafazkan," katanya seperti dilaporkan oleh Malaysiakini.

Wakil rakyat PAS, sama ada di peringkat DUN mahupun Parlimen, dikatakan perlu membuat baiah yang perkahwinan mereka akan jatuh talak jika mereka meninggalkan PAS.

Amiruddin dalam sidang media bersama Timbalan Presiden BERSATU Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan pimpinan BERSATU Kedah petang semalam mengumumkan penyertaannya ke parti itu secara rasmi.

"BN Beli Undi Guna Mykad?", Rizal Mahu ADUN DAP Minta Maaf Kerana Sebar Fitnah.

Pegawai khas kepada Datin Seri Rosmah Mansur, Rizal Mansur hari ini meminta Adun DAP, Tiew Way Keng membuat permohonan maaf secara terbuka kepada kerajaan dan Barisan Nasional kerana menyebarkan tuduhan BN membeli undi dengan Mykad.
Adun Teratai itu menurut Rizal Mansur telah menyebarkan fitnah serius terhadap kerajaan apabila menyebarkan dakwaan yang belum dibuktikan sahih di facebook milik wakil rakyat itu katanya.
"YB Tiew Way Keng dalam satu posting di facebook beliau telah menuduh bahawa Kerajaan Pusat di bawah pentadbiran Barisan Nasional membeli undi dengan memberi hak milik MyKad dan Kewargenagaraan dengan sewenang-wenangnya.
Di dalam posting tersebut, YB Tiew Way Keng telah memuatnaik sekeping gambar yang didakwa borang permohonan myKad dengan ikrar supaya pemohon mengundi Barisan Nasional.
Ternyata, seperti yang diterangkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara borang tersebut adalah borang PALSU dan tidak pernah dikeluarkan oleh JPN," kata Rizal Mansur dalam satu kenyataan.
Justeru tindakan yang sewenang-wenangnya itu, ADUN DAP itu didakwa suka menyebarkan berita bohong tanpa melakukan usul periksa terlebih dahulu, tulis Rizal lagi.
"Ini adalah satu contoh jelas bahawa pemimpin DAP sememangnya suka menyebarkan berita bohong tanpa sebarang usul periksa. Jika pemimpin sendiri berkelakuan seperti ini, jadi tidak hairanlah jika penyokong mereka juga menjadi kaki fitnah.
Kerajaan BN dibawah pimpinan DS Najib tahu bahawa kedaulatan negara dan keistimewaan menjadi warganegara Malaysia tidak wajar ditukar beli dengan undi," jelasnya.
Malahan Rizal juga menyeru agar DAP mengambil peluang untuk mencari kebenaran tentang projek IC yang seringkali didakwa ada kaitan dengan Mahathir, yang kini berada di dalam Pakatan Harapan bersama-sama DAP.  
"Tidak seperti pemimpin terdahulu yang kini menjadi pemimpin utama Pakatan Harapan yang dahulunya dituduh oleh DAP terlibat dengan projek IC Sabah.
Tiew Way Keng harus mengambil peluang untuk memohon penjelasan mengenai projek IC Sabah dari pemimpin-pemimpin ini yang kini telah duduk sebaris dengan DAP. Bukannya membuat fitnah baru terhadap JPN," tambahnya.
"Saya menggesa YB Tiew Way Keng membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Kerajaan Barisan Nasional dan juga Jabatan Pendaftaran Negara," tulisnya mengakhiri kenyataan itu.

Guru Dipenjara 2 Tahun Selepas Kantoi Guna IC Palsu - Macam Mana Warga Asing Jadi Guru Soal Netizens.

Seorang guru sekolah rendah yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Kinarasan, Ranau dikenakan denda hukuman penjara 24 bulan selepas didapati bersalah kerana menggunakan kad pengenalan palsu, lapor Borneo Post pada semalam.

Majistret Stephanie Sherron Abbie menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Asni Ismail, 39, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacanya terhadapnya. 



Asni didakwa dibawah seksyen 25 (1) (e) Peraturan Pendaftaran Negara 1990, yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000, atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
 
Asni, yang telah menjadi guru selama 12 tahun, telah ditangkap kerana menggunakan kad pengenalan palsu yang bernombor 780331-12-5186 di bawah namanya sendiri, ketika berkhidmat Sekolah Kebangsaan Kinarasan di Ranau pada 6 November lepas.


Kes Asni juga akan dirujuk ke Jabatan Imigeresen selepas selesai menjalani hukuman penjara seperti yang diperintahkan. Hukuman penjara ke atas Asni itu juga berjalan serentak dengan hari suspek ditahan polis.

Memetik laporan Borneo Post, berdasarkan fakta kes, pada 15 Jun lepas, Jabatan Pendaftaran Negara di Ranau menerima permohonan untuk mengesahkan ketulenan kad pengenalan yang bernombor 780331-12-5186 dengan nama Asni Binti Ismail.

Selepas pemeriksaan dijalankan, rekod menunjukkan kad pengenalan bernombor tersebut tidak terdapat dalam di dalam sistem komputer dan ia dirujuk kepada bahagian penyiasatan dan penguatkuasaan untuk tindakan selanjutnya.

Selepas siasatan terperinci dijalankan, didapati kad pengenalan bernombor tersebut adalah palsu dan tidak wujud.


Kes ini juga mendapat perhatian luar biasa netizens yang mempersoalkan tahap keselamatan dan saringan yang dilakukan oleh agensi kerajaan ketika menawarkan jawatan guru di sekolah rendah milik kerajaan dan kemasukan gaji bulanan.

CEO Cadang Nama Proton Ditukar Ke Bahasa Cina, 'Bao Teng'.

Ketua Pegawai Eksekutif Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton) yang baru, Chunrong mencadangkan agar nama Proton ditukarkan kepada 'Bao Teng' ketika berucap pada Persidangan Usahawan Malaysia-China kali ke 7 pada jumaat lepas lapor China Press.
Laporan itu menyebut, Churong mencadangkan penjenamaan semula kerana katanya, orang China sudah biasa menterjemah Proton menjadi ‘Bao Teng’ tetapi rakyat Malaysia menggelarnya ‘Pu Teng’.
Beliau berkata, ‘Bao’ bermakna khazanah, manakala ‘Pu’ membawa maksud biasa.

Pertengahan Mei lalu, DRB-Hicom mengumumkan penjualan 49.9 peratus sahamnya dalam Proton kepada Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) yang sebelum ini mengambil alih Volvo dari Sweden.
Urus niaga itu juga membolehkan Geely memiliki kepentingan 51 peratus dalam pembuat kereta Britain, Lotus daripada Proton pada harga £51 juta (RM277.85 juta), manakala baki 49 peratus lagi menjadi milik Etika Automotive Sdn Bhd.
Chunrong turut berkata matlamat Proton seterusnya ialah meningkatkan perkhidmatannya.
“Walaupun kualiti kereta Proton amat baik, tetapi kualiti perkhidmatan termasuk indeks kepuasan jualan dan indeks khidmat pelanggan sangat teruk, paling teruk di seluruh negara,” katanya

Sabtu, 25 November 2017

Cukupkah Sekadar Membina Lebih Banyak Rumah? - Nurul Izzah.

Oleh : Nurul Izzah Anwar
CUKUPKAH SEKADAR MEMBINA LEBIH BANYAK RUMAH?
1) Isu perumahan di negara ini terutamanya perumahan kos rendah dan sederhana, semakin nazak dari hari ke hari.
2) Kerajaan Negeri Johor akan membuka pasaran perumahan untuk warga asing kerana semakin banyak projek perumahan atau hartanah yang tidak terjual.
3) Disebabkan kos rumah yang melangit (terutamanya di Johor dan Sabah), lebih 130,000 unit kediaman tidak terjual di sekitar Malaysia.

4)Rata-rata rumah tidak terjual berharga RM250,000 dan ke atas, iaitu 4 ke 5 kali lebih tinggi dari paras gaji pertengahan tahunan rakyat yang ingin memiliki rumah sendiri.
5) Masalah ketidak-seimbangan pemilikan hartanah semakin meruncing, dan didominasi golongan elit dan berduit.
[Situasi Bandar]
6) Di PPR Sentosa dan Kerinchi, di kawasan Parlimen Lembah Pantai, dianggarkan lebih 65 peratus daripada mereka menyewa unit kediaman kos rendah.
7) Kalau sebahagian besar daripada mereka tidak dapat melangsaikan pembayaran sewa RM124 sebulan, apakah kemungkinan mereka memperoleh kediaman tetap? Lagi-lagi dengan harga unit kediaman yang tak terjangkau di bumi bertuah Kuala Lumpur?
[Situasi Luar Bandar]
8) Kalau seunit rumah setingkat di pekan-pekan seperti Sik, Gemencheh dan Sungai Manik berharga RM230,000 ke RM300,000, boleh kita bayangkan, betapa kecilnya kelompok masyarakat yang mampu menjadi pemilik rumah, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.
9) Apabila diajukan pada pak menteri, pusing-pusing solusi yang diberi berbunyi, "kita bina lagi rumah, di bawah agensi-agensi dan projek-projek kerajaan". Tapi berbaloikah projek-projek ini demi kestabilan dan kebahagiaan rakyat? Waktu saya tanyakan persoalan tentang isu perumahan rakyat di sidang Parlimen kali ini, jawapan yang sama juga diterima.
10) Bandingkan, jumlah permohonan perumahan PR1MA mencecah 1.5 juta, tetapi yang telah dijual setakat ini hanya 12,970 unit - kurang 1 peratus daripada permintaan keseluruhan!
[Anak-Muda]
11) Bagi anak muda pula, skim Rumah Transit 1Malaysia hanya membenarkan sewaan rumah pada kadar RM250 selama dua tahun. Tetapi ada lagi syarat tambahan - pendapatan isi rumah harus berada di bawah paras RM3,000.
12) Kesudahannya, projek perumahan ‘mampu milik’ yang dicanang habis-habisan gagal mencapai objektif asal. Ia sekadar menjadi penambah masalah, dek kerana harga rumah yang tetap tinggi dan tidak berpadanan dengan saiz yang ditawarkan.
13) Tambahan lagi, syarat-syarat yang dikenakan bagi permohonan pembelian rumah di bawah skim kerajaan membebankan pemohon. Kadar penyelenggaraan bulanan beratus ringgit bagi kawasan perumahan bertingkat pula, menjadi batu penghalang bagi pemohon yang inginkan aset tersebut.
[Perbandingan 10 Tahun Lepas]
14) Situasi pada hari ini amat berbeza dengan perkembangan 10 tahun sudah. Isu perumahan bukan lagi isu golongan B40, tetapi telah ‘diangkat’ sebagai isu nasional - tanpa penyelesaian jangka pendek dan panjang yang jelas.
15) Notis penangguhan projek pembangunan perumahan mewah yang dikeluarkan Kementerian Kewangan beberapa hari lalu, mana mungkin dapat mengurangkan harga pasaran dalam sekelip mata.
[Gimik Sementara]
16) Pada saya, ini hanyalah gimik sementara untuk menyedapkan hati rakyat yang kecewa.
17) Bukankah lebih berkesan jika kerajaan dan kementerian berwajib bersifat tegas dengan para pemaju, dan menetapkan kadar julat harga bagi projek perumahan. Tatkala pemaju menjana keuntungan berbilion ringgit, rakyat jualah yang semakin hari, semakin sakit.
[Tingkatkan Subsidi]
18) Daripada membiarkan pemaju mengaut hasil daripada pembeli, mengapa kerajaan tidak tingkatkan subsidi? Bukankah ini dapat menghalang pihak pemaju daripada meningkatkan harga hartanah dan projek perumahan?
19) Sedangkan alasan yang sering diguna pakai untuk menaikkan harga adalah kenaikan kos bahan mentah yang berlarutan.
20) Harus diingat, PRU14 yang bakal menjelang dikuasai rakyat. Jangan sampai disebabkan rakyat ketiadaan rumah kediaman, kerajaan pemerintah hilang ‘rumah’ Parlimen.

Kekuatan PAS Semakin Rapuh, Jentera & Aktivis Keliru Dengan Politik Hadi - ILHAM Centre.

Oleh : ILHAM CENTER

KEKUATAN PAS MAKIN RAPUH, JENTERA DAN AKTIVIS AKAR UMBI KELIRU DENGAN TINDAKAN POLITIK HAJI HADI AWANG

Sepanjang dua bulan kebelakangan ini, pihak Ilham membuat tinjuan rambang terhadap perkembangan Pas di kawasan lingkaran Melayu di utara semenanjung iaitu di Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Utara Perak. Tinjauan dilaljukan dengan menemui pimpinan yang memegang jawatan secara temu bual mendalam dan dilakukan secara rawak dan terpilih.



Dapatan kajian ini didapati sudah berlaku rungutan dan kebimbangan pimpinan bawahan parti seperti di peringkat cawangan mahupun kawasan terhadap perkembangan Pas mutakhir. Kebanyakan mereka yang ditemui ialah penyokong kem UG semasa Muktamar lepas. Kami dapat simpulkan dapatan tak rasmi adalah seperti berikut:

1) Pimpinan Pas peringkat tertinggi termasuk Ajk Pas Pusat sekarang kurang dikenali sejak menang dalam pemilihan muktamar lalu sehingga sekarang ini.

Jika dibuat perbandingan antara AJK Pas Pusat terdahulu dan diukur pada tempoh masa yang sama di dapati pimpinan sebelum ini lebih menonjol dan rajin memenuhi ceramah anjuran kawasan.

Pimpinan sekarang, tidak turun ke bawah dan tidak menonjol di media menyebabkan kewujudan mereka tidk dirasai. Sifat lebih elitis dan sukar memenuhi undangan untuk berceramah di kawasan-kawasan. Jika adapun, nama pimpinan tersebut tidak bersifat crowd puller. Ceramah hanya kepada ahli Pas sahaja. Gagal menarik minat pihak yang lain. Lebih malang, nama sebesar Ketua  Pemuda, Ketua Penerangan, kehadiran sekadar mereka yang hadir ke majlis tahlil sahaja.

Selain itu, Lujnah yang ditubuhkan juga tidak berfungsi, malah tidak dirasai kewujudannya.

2) Pesuruhjaya Negeri tidak dikenali dan diyakini untuk memimpin negeri dan pilihan raya. Sbg contoh PJ Kedah, Dr Fakhruddin ini tidak dikenali oleh ahli Pas akar umbi dan tidak faham kenapa Presiden memilih individu seperti itu.

Persoalan mengapa tidak Mahfuz, Amiruddin ataupun Nasir Kubang Rotan yang berstatus YB, lebih senior dalam politik Kedah.

Razman, PJ Perak. Lebih mengundang kontroversi daripada reputasi mengangkat imej parti di negeri yang mempunyai komposisi demografi Mini Malaysia.

3) Kerjasama Umno; rata2 sukar menerima pendirian parti terbaharu atas konsep taawun. Tiada penjelasan tuntas terhadap satu polisi besar ini. Ahli di bawah berbalah dan bertengkar atas perkara yang tidak difahami dgn jelas. Lebih malang pimpinan tertinggi tidak membuat pekeliling atau penjelasan rasmi parti.

Bagi sesetengah kawasan atau kampung yang sebelum ini memperlihatkan pertembungan ever green struktur sosial antara Pas dengan Umno seperti surau, kedai kopi, khairat kematian, tadika/pasti kini berada dalam dilema.

Bayangkan selama ini ahli Pas bertembung sengit dengan ahli Umno di kedai kopi, tiba-tiba sesi ini diminta 'bekerjasama' dengan Umno yang dahulunya musuh politik kepada mereka. Sebahagian memberikan gambaran akan tawaqquf sementara daripada gerak kerja parti ekoran pendirian Pas dengan Umno ini.

 4) Gerak kerja pilihan raya: Setakat ini, jentera pilihanraya Pas masih belum bergerak ke arah pilihan raya. Ada beberapa sebab antaranya aktivis atau penggerak sebenar jentera sudah berhijrah ke Parti Amanah Negara. Berbaki mereka yang tiada pengalaman dari aspek mengurus kendali modus operandi pilihan raya.

Organisasi pilihan raya negeri bermasalah dari peringkat pusat, negeri, kawasan dan cawangan. Semua individu penting sama ada dari aspek menyusun strategi, taktikal, teknikal, penjanaan dana parti kelihatan tidak menjiwai atau memahami peranan. Nama hanya pada kertas untuk membuktikan ego Pas bahawa Pas masih belum lumpuh sepenuhnya walaupun pada hakikatnya, jentera pilihan raya Pas amat bermasalah.

5). Kenyataan bercanggah antara pimpinan adalah antara kekurangan paling ketara kepimpinan Pas kali ini. Kenyataan media yang kontradik antara satu sama lain sama ada antara Presiden dan Timbalan Presiden, Naib Presiden sesama Naib Presiden, Setiausaha Agung yang kelihatan bercanggah dan gagal diurus dengan baik.

Mesej yang dihantar kepada massa menggambarkan Pas tidak mempunyai pendirian rasmi terhadap sesuatu isu, tetapi lebih kepada pandangan peribadi yang kemudiannya bercanggah sesama sendiri.

Hisommudin Bakar
ILHAM Centre

Jangan Mudah Lupa Apa Yang Kerajaan Pimpinan BN Telah Lakukan Demi Negara Dan Rakyat – Tengku Adnan

Oleh : Umno Online

Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, kebanyakan rakyat Malaysia mudah lupa apa yang telah kerajaan Persekutuan pimpinan Barisan Nasional (BN) sediakan untuk rakyat terutama dalam memberi kelangsungan kehidupan.
Ujar beliau, ini kerana ramai yang terpengaruh dengan persepsi negatif dan tidak faham apa itu perjuangan UMNO, BN dan kerajaan.
Gambar - UMNO Online
“Kerajaan belanja berbilion ringgit untuk kehidupan termasuklah untuk memberi pembelajaran kepada anak bangsa kerana tanpa pelajaran dalam dunia arus pembangunan ini maka habislah…
“Ramai orang lupa siapa kita sebelum ini… bagaimana kita mampu mencapai tahap seperti ini. Bukan jadi macam ’zum kala zum’, magik…,” ujarnya dalam sidang media selepas melancarkan logo rasmi Pertubuhan Alumni Nadi Negara dalam Majlis Anugerah Nadi Negara 2017 anjuran Pergerakan Wanita UMNO Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Dalam ucapan perasmiannya beliau turut mengingatkan para mahasiswa agar belajar apa itu erti bersyukur dan menghargai pergorbanan serta perjuangan UMNO.
“Jika tidak kerana jasa UMNO maka mana mungkin anak muda mampu menjejakkan kaki ke universiti… kerana perjuangan UMNOlah maka para mahasiswa boleh melanjutkan pelajaran ke universiti, ke UiTM misalnya yang diwujudkan oleh UMNO… Kalau tidak mencapai point pun kerajaan turunkan point agar dapat masuk universiti, yang mahu keluar negara kita hantar ke luar negara, kita bantu mereka tapi apabila balik tunjuk pandai marah kepada UMNO.
“Mana boleh begini… marah dengan UMNO kenapa.. apa salah UMNO ini. Kita tidak bersyukur dengan apa yang kita ada sekarang ini.
“Apalagi sekarang ini kita ada pembangkang yang sengaja mahu memecah belahkan negara, nak melihat negara ini hancur, jadi kita jangan terpengaruh dengan mereka dan kita kena belajar erti bersyukur,” ujarnya.
Dalam pada itu berkaitan pertubuhan Alumni Nadi Negara, ia adalah bertujuan mengumpul kesemua penerima Anugerah Nadi Negara bagi meneruskan khidmat sosial yang berfokuskan pendidikan kepada rakyat.
Pada tahun ini, seramai 25 graduan telah terpilih menerima anugerah tersebut yang terdiri daripada 20 graduan universiti awam, dua graduan universiti swasta, seorang graduan lepasan universiti luar negara dan buat julung kalinya anugerah ini turut diberikan kepada dua orang penerima dalam kategori orang kelainan upaya (OKU).
Selain itu, seramai lima orang graduan yang terpilih telah dikenalpasti bagi menerima dermasiswa nadi negara bagi melanjutkan pengajian mereka ke peringkat sarjana.
Dana yang bersifat ‘one-off’ ini diberikan sebagai bantuan untuk mereka menamatkan pengajian dan ianya ditaja sepenuhnya oleh Yayasan Minda.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...