Jumaat, 1 Disember 2017

Azmin Nafi Terbabit Dengan Tender Perlombongan Pasir.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali menafikan tuduhan bahawa beliau menganugerahkan tender kepada anak saudaranya yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.
Azmin menjelaskan bahawa semua tender untuk perlombongan pasir di negeri itu dikendalikan oleh Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) yang merupakan anak syarikat milik penuh Menteri Besar Diperbadankan (MBI Inc).
"Pertama dakwaan itu tidak betul. Dasar kerajaan negeri tanah-tanah dimiliki oleh kerajaan negeri, sekiranya ada permohonan untuk aktiviti perlombongan pasir ia akan diuruskan oleh Kumpulan Semester.
"Semua proses tender dijalankan Kumpulan Semester, saya bukan board member (ahli lembaga pengarah) Semester.
"Saya tidak terlibat dalam sebarang keputusan dan saya yakin pegawai Semester mempunyai integriti tinggi dalam memastikan proses itu berjalan dengan telus dan terbuka," katanya, memetik laporan Malaysiakini
Terdahulu, kerajaan negeri menerusi Yin Shao Long, Pengarah Komunikasi Strategik kepada Menteri Besar Selangor itu mengeluarkan satu kenyataan rasmi berhubung penangkapan Mohd Nuzul Fadli Mohd Noriyualsaid yang juga anak saudara kepada Azmin Ali.
Menurut kenyataan itu, kerajaan negeri sedia maklum berhubung penangkapan salah seorang saudara terdekat kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali.
Meskipun tidak mempersoalkan tindakan SPRM itu bagaimanapun kerajaan negeri tertanya-tanya penglibatan blogger UMNO yang mendedahkan maklumat terperinci sebelum penangkapan dibuat.
Malahan terdapat cubaan yang seakan mengaitkan pembabitan Menteri Besar itu dengan skandal perlombongan pasir haram.
"Pentadbiran ini dimaklumkan bahawa salah seorang yang ditahan oleh SPRM berhubung dakwaan terlibat dalam aktiviti perlombongan pasir haram adalah anak saudara Dato’ Menteri Besar Selangor.

Kita tidak mempersoalkan tanggungjawab SPRM untuk menjalankan sebarang siasatan. Namun, dalam kes ini, kita kesal kerana pembocoran maklumat secara meluas melalui media sosial dan blogger UMNO sebelum penahanan tersebut dilakukan jelas menggambarkan wujudnya konspirasi jahat untuk memburukkan reputasi Dato’ Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Selangor menjelang Pilihan Raya Umum ke-14,"
jelas kenyataan itu.

"Walau bagaimanapun, sekiranya proses siasatan dijalankan secara profesional dan telus, pentadbiran ini mengalu-alukan siasatan yang mengikut lunas undang-undang tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak tertinggi yang berkepentingan. Barang diingat, siasatan ini jangan digunakan sebagai alat untuk mengalihkan pandangan rakyat terhadap skandal rasuah dan amalan kleptokrasi berskala besar yang melibatkan pemimpin negara.

Kerajaan Negeri Selangor tuntas berpegang kepada prinsip kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam semua proses perolehan Kerajaan bagi menjamin kepentingan rakyat dan Negeri Selangor,"
katanya lagi.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...