Pegawai khas kepada Datin Seri Rosmah Mansur, Rizal Mansur hari ini meminta Adun DAP, Tiew Way Keng membuat permohonan maaf secara terbuka kepada kerajaan dan Barisan Nasional kerana menyebarkan tuduhan BN membeli undi dengan Mykad.
Adun Teratai itu menurut Rizal Mansur telah menyebarkan fitnah serius terhadap kerajaan apabila menyebarkan dakwaan yang belum dibuktikan sahih di facebook milik wakil rakyat itu katanya.
"YB Tiew Way Keng dalam satu posting di facebook beliau telah menuduh bahawa Kerajaan Pusat di bawah pentadbiran Barisan Nasional membeli undi dengan memberi hak milik MyKad dan Kewargenagaraan dengan sewenang-wenangnya.
Di dalam posting tersebut, YB Tiew Way Keng telah memuatnaik sekeping gambar yang didakwa borang permohonan myKad dengan ikrar supaya pemohon mengundi Barisan Nasional.
Ternyata, seperti yang diterangkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara borang tersebut adalah borang PALSU dan tidak pernah dikeluarkan oleh JPN," kata Rizal Mansur dalam satu kenyataan.
Justeru tindakan yang sewenang-wenangnya itu, ADUN DAP itu didakwa suka menyebarkan berita bohong tanpa melakukan usul periksa terlebih dahulu, tulis Rizal lagi.
"Ini adalah satu contoh jelas bahawa pemimpin DAP sememangnya suka menyebarkan berita bohong tanpa sebarang usul periksa. Jika pemimpin sendiri berkelakuan seperti ini, jadi tidak hairanlah jika penyokong mereka juga menjadi kaki fitnah.
Kerajaan BN dibawah pimpinan DS Najib tahu bahawa kedaulatan negara dan keistimewaan menjadi warganegara Malaysia tidak wajar ditukar beli dengan undi," jelasnya.
Malahan Rizal juga menyeru agar DAP mengambil peluang untuk mencari kebenaran tentang projek IC yang seringkali didakwa ada kaitan dengan Mahathir, yang kini berada di dalam Pakatan Harapan bersama-sama DAP.
"Tidak seperti pemimpin terdahulu yang kini menjadi pemimpin utama Pakatan Harapan yang dahulunya dituduh oleh DAP terlibat dengan projek IC Sabah.
Tiew Way Keng harus mengambil peluang untuk memohon penjelasan mengenai projek IC Sabah dari pemimpin-pemimpin ini yang kini telah duduk sebaris dengan DAP. Bukannya membuat fitnah baru terhadap JPN," tambahnya.
"Saya menggesa YB Tiew Way Keng membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Kerajaan Barisan Nasional dan juga Jabatan Pendaftaran Negara," tulisnya mengakhiri kenyataan itu.