Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Rabu, 26 Februari 2020

MCA Sokong Bubar Parlimen Tapi Akan Hormati Mandat Agong.

Wee Ka Siong | Seperti yang diketahui umum, semua Ahli Parlimen BN telah mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara semalam dan mempersembahkan hasrat untuk membubarkan Parlimen. Apa-apa keputusan, biarlah ditentukan oleh YDP Agong.

Ahli-Ahli Parlimen GPS, PAS, Warisan, PKR, PPBM, PAN dan DAP turut diundang ke Istana Negara dan setiap Ahli Parlimen ditemuramah secara berasingan oleh YDP Agong pada semalam dan hari ini.

Seperti yang saya nyatakan dalam sidang media di PWTC semalam, biarlah rakyat menentukan atau memberi mandat kepada sesiapa yang diyakini mampu untuk mengemudi negara yang terumbang-ambing selepas kegagalan pentadbiran serta tumbangnya PH angkara perbuatan mereka sendiri.

Keputusan yang saya ambil ini juga selari dengan hasil Mesyuarat Majlis Presiden MCA, beberapa jam sebelum saya mengadap YDP Agong iaitu, sebulat suara bersetuju untuk menyerahkan kepada rakyat bagi menentukan siapa pucuk pimpinan negara menerusi pembubaran Parlimen.

Namun kami yakin, apa jua keputusan yang bakal dititahkan oleh YDP Agong, ia wajar dipatuhi oleh semua rakyat dan pastinya keputusan itu dibuat demi kepentingan negara secara menyeluruh.

Mengenai cadangan penubuhan kerajaan perpaduan, bagi saya ia tidak menjamin kepada kesuburan demokrasi yang telah kita praktikkan sejak sekian lama serta ia juga berupaya melenyapkan proses semak dan imbang terhadap kerajaan pemerintah.

 


Saya tidak bersetuju sistem Westminster yang sekian lama dilaksanakan di negara kita berubah menjadi sistem Presiden sesebuah republik yang mempunyai kuasa mutlak untuk melantik individu menyertai Jemaah Menteri tanpa melalui parti komponen.

Saya enggan melihat sistem demokrasi di Malaysia berkembang sehingga tiada lagi peranan pembangkang apabila PM disokong penuh oleh kesemua 222 orang Ahli Parlimen. Apakah ini sebuah demokrasi subur yang kita mahu lihat?

Apabila PM disokong oleh semua Ahli Parlimen, maka kuasa mutlak diberi kepada PM untuk membuat apa saja dengan slogan “ikut suka saya”. Maka, saya lebih rela menjadi pembangkang untuk memberi “semak dan imbang” kepada Kerajaan.

Sepanjang tempoh peralihan ini, berilah ruang sewajarnya kepada semua pihak agar proses ini dapat berjalan dengan tertib, tenang dan lancar tanpa sebarang kekacauan yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam. - 26 Februari 2020.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...