Pada awalnya ramai yang menyindir ADUN tersebut menerima gelaran DATUK kerana memperjuangkan masalah dan isu berkaitan babi terutamanya yang tular baru-baru ini.
Bagaimanapun terdapat juga netizens yang membela Norhizam sebagai ADUN yang turun padang dan buat kerja meskipun sikapnya kurang profesional.
Namun, cakap-cakap sindiran dan ejekan kepada ADUN Pengkalan Batu itu kini bertukar menjadi serius apabila terdapat pihak yang mempersoalkan gelaran DATUK itu sebenarnya melanggar keputusan parti.
"TIMBALAN PENGERUSI DAP MELAKA BAKAL DIKENA TINDAKAN?
Pada 16 Oktober 2018, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook, mengumumkan keputusan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP bahawa wakil rakyat DAP tidak boleh lagi menerima gelaran Datuk semasa berkhidmat.
Pada 28 Oktober 2018, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, melaungkan amaran terbuka bahawa mana-mana wakil rakyat DAP yang menentang keputusan parti dengan menerima gelaran Datuk semasa berkhidmat akan dikenakan tindakan disiplin.
Pada 11 Oktober 2019, ADUN Pengkalan Batu merangkap EXCO Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani Negeri Melaka merangkap Timbalan Pengerusi DAP Melaka, Norhizam Hassan Baktee, diumumkan menerima gelaran Datuk.
Kita tunggu dan lihat sahaja apakah Lim Guan Eng dan Anthony Loke Siew Fook ada 'batu' untuk mengenakan tindakan disiplin ke atas ‘beliau’ atas penentangan ini," tulis Kamarul Yusoff, yang juga seorang pensyarah Sains Politik di UKM di Facebooknya sebentar tadi.
Berdasarkan semakan, DAP pernah menjelaskan terdapat peraturan dalam parti itu yang melarang wakil rakyat dan ahli majlis mereka dari menerima sebarang gelaran, anugerah dan darjah kebesaran semasa berkhidmat
Jika didapati mana-mana wakil rakyat dan ahli majlis yang melanggar peraturan itu, parti boleh mengenakan tindakan tatatertib terhadap individu tersebut, memetik laporan Free Malaysia Today.
Peraturan yang ditetapkan CEC itu juga sebenarnya telah diluluskan sejak lebih sedekad yang lalu kata Setiausaha Organisasi DAP Loke Siew Fook semasa menegur beberapa pimpinan DAP yang menerima gelaran pada tahun lepas.
“Oleh itu, CEC ingin menegur pemimpin DAP yang menafikan dan mendakwa tidak tahu tentang pendirian parti sejak sedekad lalu.
“Pemimpin yang cuba memberikan alasan untuk menerima anugerah tanpa memaklumkan atau menunggu arahan daripada kepimpinan parti akan dilihat sebagai tidak menghormati parti.
“Apa jua tawaran anugerah dan gelaran harus dirujuk kepada kepimpinan pusat DAP,” katanya dalam laporan itu. - 12 Oktober 2019.