Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Isnin, 21 Oktober 2019

DAP Perlu Bertanggungjawab, Komik Propaganda Perlu Diharamkan - PAS.

KENYATAAN MEDIA, DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI, Ahli Parlimen Kuala Nerus |ISU KOMIK : DAP PERLU BERTANGGUNGJAWAB, KOMIK PERLU DIHARAM

1. Syabas saya ucapkan kepada Lajnah Penerangan dan Media Baru PAS Pusat yang membuat laporan polis ke atas penerbitan dan pengedaran komik 'Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI)' di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur dan di seluruh negara hari ini.

 

2. Penerbitan dan pengedaran komik ini perlu dipandang serius kerana kandungannya boleh “menyebabkan, atau cuba menyebabkan, atau mungkin menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan, atau perasaan permusuhan, benci membenci atau niat jahat, atau memudaratkan, atau cuba memudaratkan, atau mungkin memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan” selaras dengan Seksyen 298(A)(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman “pemenjaraan selama tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih dari lima tahun”.

3. Saya berpendapat bahawa bukan setakat penulis isi dan pelukis karikatur komik ini iaitu Hew Kuan Yau dan Chong Po Ling sahaja yang perlu diambil keterangan, tetapi juga Lim Guan Eng selaku penulis kata-kata aluan komik ini kerana bila yang menulis kata-kata aluan adalah Setiausaha Agung DAP ini menunjukkan komik ini mendapat dukungan penuh DAP. Tambahan pula dengan kedudukan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan yang menjadikan komik ini lebih perlu dipandang berat.

4. Sehubungan itu, kenyataan Ketua Sayap Sosialis Muda DAP Kebangsaan, Howard Lee bahawa DAP dan DAPSY tidak sama sekali ada kaitan dengan penerbitan komik ini serta isi kandungan komik ini tidak mencerminkan pendirian DAP mahupun DAPSY tidak boleh diterima sama sekali.

5. Bagaimana DAP boleh dikatakan tidak sama sekali ada kaitan dengan penerbitan komik ini serta isi kandungan komik ini tidak mencerminkan pendirian DAP bila penulis kata-kata aluan komik ini adalah Setiausaha Agung DAP? Bagaimana DAPSY boleh dikatakan tidak sama sekali ada kaitan dengan penerbitan komik ini serta isi kandungan komik ini tidak mencerminkan pendirian DAPSY bila majoriti pemimpin tertinggi DAPSY mempertahankan pengedaran dan isi kandungan komik ini?

6. Saya juga menggesa agar 43 pemimpin DAP yang mendesak pihak polis supaya tidak melakukan siasatan ke atas Hew Kuan Yau selaku penulis isi komik ini disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang berbunyi : “Barang siapa dengan sengaja menggalang mana-mana penjawat awam dalam menjalankan fungsi jawatannya, hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai dua tahun, atau dengan denda yang boleh sampai sepuluh ribu ringgit, atau dengan kedua-duanya”. Ini bagi memberi mesej jelas kepada DAP dan mana-mana pihak lain supaya jangan sesekali cuba menekan dan mencampuri urusan pihak polis.

7. Saya juga menggesa agar Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bertindak tegas dengan menggunakan kuasanya di bawah Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 bagi melarang “pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan” komik ini kerana ia nyata “memudaratkan atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam, kemoralan, keselamatan, atau yang mungkin menggemparkan fikiran orang ramai, atau yang berlawanan atau mungkin berlawanan dengan mana-mana undang-undang atau yang selainnya memudaratkan atau mungkin memudaratkan kepentingan awam atau kepentingan negara”.

Sekian.

"Islam Memimpin Perpaduan"

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...