Semalam UMNO dan PAS secara rasminya mengumumkan dua parti politik melayu terbesar itu bersetuju untuk berkahwin dan menjalinkan kerjasama politik bagi mengalahkan Pakatan Harapan dan menguatkan barisan pembangkang.
Langkah itu dibuat selepas BN beroleh dua kemenangan di pilihanraya kecil hasil kerjasama dan bantuan PAS.
Bagaimanapun PAS dan UMNO dibawah pimpinan Muhammad Hassan juga menyatakan mereka komited mempertahankan kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohammad.
Ramai pemerhati beranggapan ini adalah langkah awal untuk menghalang kemaraan Anwar sebagai Perdana Menteri ke 8 kelak.
Dalam perkembangan berkaitan, Pesuruhanjaya PAS Perak, Razman Zakaria secara terbuka menyatakan yang Perak bakal menjadi anak pertama hasil perkahwinan PAS bersama UMNO.
"Yes, Insya-Allah hasil perkahwinan anak pertama adalah negeri Perak," katanya dalam kenyataan itu.
Untuk rekod, Perak kini sedang bergolak dengan Menteri Besarnya, Faizal Azumu berhadapan dengan krisis kepimpinan.
Beberapa media melaporkan terdapat usaha untuk menyingkirkan Peja dari kedudukan itu. Usaha terancang itu dibuat bagi mengantikan Peja dengan ADUN melayu dari DAP untuk kerusi Menteri Besar Perak. Bagaimanapun spekulasi itu kemudiannya dinafikan.
Namun ia tidak terhenti setakat itu. Peja kini dituduh mempunyai hubungan mesra dengan orang UMNO kerana mereka adalah rakan-rakannya.
Bahkan penyokong-penyokong setia Peja termasuklah pimpinan PPBM sendiri terasa seperti diabaikan.
Undi usul tidak percaya mungkin dilakukan untuk menyingkirkan Peja secara paksa meskipun Muhyiddin Yassin memberikan kenyataan krisis di Perak akan diselesaikan selepas PRK Semenyih.
Dengan Pakatan Harapan Perak berpecah sesama sendiri, dan kerjasama politik BN dan PAS, Perak dibayangkan mungkin akan menjadi negeri pertama bertukar tangan pemerintahan negeri andai Pakatan Harapan pusat tidak menyelesaikan masalah berbangkit. - 6 Mac 2019.