Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Isnin, 4 Mac 2019

"Lupakan Kelapa Sawit, Tanam Buluh" - Ini Penjelasan Teresa Kok.

KENYATAAN MEDIA | MENTERI INDUSTRI UTAMA

1) Saya ingin merujuk kepada laporan akhbar yang bertajuk “Lupakan Kelapa Sawit, Tanam Buluh” yang disiarkan di Utusan Malaysia pada 3 Mac 2019.

2) Tajuk laporan akhbar ini adalah tidak wajar walaupun isi kandungan laporan tersebut boleh diterima.


3) Dalam sidang akhbar sempena Majlis Pelancaran Projek The Valley @ Bentong, Pahang, 2 Mac 2019 semalam, saya ditanya oleh pemberita mengenai hasrat kerajaan untuk menghadkan perluasan penanaman kelapa sawit.

4) Justeru, saya menjelaskan bahawa tujuan kerajaan berbuat demikian adalah sebagai salah satu langkah bagi melawan sentimen anti minyak sawit di Eropah yang kini telah menjejaskan pengeksportan minyak sawit kita ke pasaran global khususnya negara-negara Eropah.

5) Sehubungan itu, Kementerian Industri Utama di bawah saya sedang mengambil langkah untuk melawan pengaruh kempen anti minyak sawit di Eropah yang mutakhir ini menjadi semakin kuat.

6) Saya juga memberitahu wartawan dalam sidang akhbar semalam bahawa harga minyak sawit Malaysia telah jatuh dengan agak teruk pada tahun lepas. Ini sekaligus menjejaskan pendapatan ramai pekebun kecil.

7) Oleh sebab itu, Perdana Menteri kita iaitu YAB Tun Dr Mahathir Mohamad telah menasihati rakyat, malahan termasuklah kementerian saya agar tidak terlalu bergantung kepada satu-satu jenis tanaman. YAB menegaskan adalah penting bagi negara kita untuk mengkaji kesesuaian penanaman tanaman alternatif bagi mempelbagaikan pendapatan pekebun kecil.

8) Buluh, nanas dan kelapa yang saya sebutkan semalam adalah sebagai cadangan alternatif kepada para pekebun kecil yang selama ini sangat bergantung hanya kepada tanaman kelapa sawit sebagai sumber pendapatan.

9) Kenyataan saya juga hanya merujuk kepada beberapa kawasan yang bersesuaian di Negeri Pahang yang kebetulannya mempunyai banyak buluh.

10) Pemilihan tanaman yang lain adalah bergantung kepada kesesuaian tempat. Ada tempat yang sesuai untuk tanam pokok kelapa, ada yang lebih sesuai untuk nenas atau pokok durian.

11) Dengan penjelasan ini, saya berharap kekeliruan dapat dirungkaikan.

"Sayangi Malaysiaku"

TERESA KOK
Menteri Industri Utama

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...