Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Sabtu, 30 Mac 2019

PAS Terlalu Menakutkan.

POLITIK |1. Sejak kebelakangan ini PAS telah menjadi satu parti yang amat menakutkan.


2. Penyokong mereka juga begitu menakutkan. 

3. Mereka berada di satu tahap, apa sahaja yang berlaku adalah salah DAP.

4. Apa sahaja yang kerajaan putuskan, adalah salah DAP.

5. Apa sahaja kenyataan/respon/komen yang dibuat untuk membetulkan sangkaan jahat, adalah penjilat DAP, barua DAP.

6. Mana-mana cina dan india yang dilihat mempunyai perangai jahat, adalah salah DAP.

7. Pendek kata, apa sahaja yang dilihat tidak bersesuaian dengan pemikiran mereka maka hal itu adalah salah, dan kesalahan itu berpunca dari DAP.

8. Perangai kebencian melulu ini akan merosakkan akal fikiran yang waras. Akan merosakkan jiwa dan membinasakan minda.

9. Sepertimana bahayanya sokongan taksub yang membawa rebah, kebencian taksub juga tak kurang bencananya.

10. Kita faham kerajaan hari ini terlalu layak untuk dikritik dan dipertikaikan. Tindakan mereka memang ada yang merosakkan. Keputusan mereka juga bukan semuanya bagus. Polisi mereka bukan semuanya betul. Tindakan yang mereka buat bukan semuanya demi rakyat. Kenyataan mereka juga sesetengahnya menyakitkan hati dan memberikan kesan emosi yang mendalam. 

11. Tetapi itu bukan alasannya untuk kita menjadi terlalu perkauman dan menyebarkan kebencian taksub melulu.

12. PAS dan UMNO perlu berhenti memainkan lagu bangsa dan agama.


13. Kita faham, PAS mahu tunjukkan pada semua yang mereka sayangkan Islam. Kita faham yang UMNO mahu katakan pada semua yang mereka sayangkan melayu. 



14. Sementara kita nampak dan sedar penipuan dan pembohongan UMNO, kita juga mahu katakan yang PAS terperangkap dengan propaganda parti biru yang membinasakan parti hijau.


15. UMNO tidak sayangkan melayu. UMNO hanya sayangkan kuasa. Kerana itu selepas 61 tahun melayu miskin masih bersepah. Melayu terpinggir ada di mana-mana. Melayu masih susah nak beli rumah mewah. Melayu dihalau untuk duduk kat ceruk kampung dan pinggir bandar kerana tak mampu beli rumah mahal di bandar. Melayu penerima BRIM terbanyak. Melayu penerima bantuan terbanyak.



16. Mereka menghalalkan kegagalan dengan mengatakan ianya logik kerana melayu bangsa majoriti. Logiknya banyak melayu susah, kerana majoriti. Logiknya banyak melayu menerima bantuan, kerana majoriti. Logiknya banyak melayu terima BRIM kerana majoriti. Logiknya melayu itu, logiknya melayu ini, kerana majoriti. Tetapi kenapa bukan logiknya melayu kaya raya kerana majoriti? Kenapa bukan logiknya ramai melayu meniaga kerana majoriti? Kenapa bukan logiknya melayu menguasai ekonomi kerana majoriti?



17. Kenapa logik melayu majoriti hanya terpakai untuk perkara yang menyedihkan, memalukan dan teruk?



18. Kenapa tak terpakai untuk perkara yang membanggakan dan positif?


19. Logiknya cina miskin kerana minoriti. Logiknya india miskin kerana minoriti. Kenapa ini tak berlaku? Kenapa cina yang minoriti menguasai ekonomi negara yang dulunya diberikan nama Tanah Melayu?

20. Ini bermakna UMNO telah gagal menjaga, mempertahankan dan membela apa yang sepatutnya mereka lakukan terhadap bangsa melayu.

21. UMNO tamak dan hanyut dengan kuasa. 

22. Mungkin benar UMNO sedang belajar dari kesilapan. Mungkin betul tindakan PAS bersama UMNO akan menguatkan pakatan pembangkang. 

23. Apa sahaja keputusan kerjasama politik PAS dan UMNO ia adalah hak mereka yang berada dalam parti. Kita tidak akan mencampuri.

24. Tetapi apa sahaja kenyataan dan tindakan politik yang PAS dan UMNO lakukan, yang dibuat untuk mempertikaikan sesiapa sahaja secara demokratik, adalah kebebasan bersuara setiap orang untuk memberikan pandangan.  

25. PAS dilihat semakin perkauman dari hari ke hari. Kenyataan-kenyataan sesetengah pemimpin mereka membahayakan. Adanya tindakan mereka sehingga ke tahap menyebarkan fitnah, ia adalah perkara yang tak betul namun apabila ditegur, kita yang bersalah. UMNO pun begitu juga. Namun PAS lebih menakutkan. Penyokong mereka tidak lagi mampu mengawal emosi. Mereka bersyair mengenai Islam. Tetapi langkah tak senada dengan kata-kata. Dan hal ini sangat menakutkan. Ketika jari laju menaipkan fitnah, mulut galak menyebarkan kepalsuan, mereka tampil dengan imej Islam agama damai. Ia umpama tin kosong. Apa yang kita mahu orang lain percaya, adalah apa yang kita sendiri tidak amalkan.

26. Berbanding memberikan hujah dan meraikan kepelbagaian secara rasional, mereka bertindak lebih jauh dengan menghukum sesiapa sahaja yang berbeza sebagai Mahacai, Barua, Penjilat DAP, Khadam dan sebagainya.

27. Seolah-olahnya tiada langsung satu pun kebaikan orang yang berbeza dengan mereka. Seolah-olahnya jika pistol ditangan mereka, mereka akan terus menembak tanpa bicara kerana kebencian yang meluap-luap dalam dada.

28. Sungguhpun, katakan, membenci DAP itu merupakan satu aspirasi, perjuangan, agenda, tetapi tak akan la semua cina nak dianti. Tak akan semua yang berbeza perlu dimusuhi. 


29. Kita tidak mahu sejarah dua imam berulang. Masjid berpecah, berulang. Suami isteri bercerai, berulang. Kita tidak mahu politik ketaksuban berkembang.

30. PAS dan UMNO perlu focus kepada penyelewengan dan kepincangan yang kerajaan Pakatan Harapan sedang, akan atau bakal lakukan di kemudian hari.

31. Kita cakap macam ini kerana untuk kelangsungan rakyat Malaysia.

32. Rakyat perlukan PAS untuk memantau pemerintahan Pakatan Harapan.

33. Tetapi rakyat perlukan pembangkang yang boleh tumpu perhatian berbahas isu berkaitan polisi dan ekonomi yang melangkaui kaum dan agama. 



34. Rakyat perlukan pembangkang yang mencintai semua kaum sama rata, tanpa prejudis, tanpa anti, tanpa perkauman, demi membela nasib rakyat pelbagai golongan.

34. Rakyat perlukan PAS yang seperti dulu, yang tidak menakutkan, yang tidak perkauman dan tidak hanya bercakap mengenai melayu, melayu, melayu dan melayu.



35. Rakyat perlukan PAS yang berlapang dada dalam meraikan kepelbagaian hujah secara rasional dan matang. Bukannya menghukum setiap yang berbeza.


36. Kembalilah PAS, jangan pergi terlalu jauh, jangan jadi terlalu menakutkan, samada bersendirian ataupun bersama UMNO, jangan pergi kepada perkauman. Negara ini sudah rosak dengan individu seperti Waytha Moorthy. PAS, jangan tambahkan kusutkan lagi. - 30 Mac 2019.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...