Setelah kau hasut aku undi Pakatan Harapan, kau tak rasa bersalah ke dengan prestasi kerajaan hari ini? Kau tahu tak aku rasa nak cepuk muka kau kalau aku dapat jumpa kau?".
** ejaan dan mesej asal telah disunting untuk tujuan siaran semula di blog.
1. Pakatan Harapan perlu berhenti memalukan pengundinya.
2. Jangan buat pengundi kamu rasa malu dengan kenyataan dan tindakan menteri yang kelaut.
3. Kita petik satu contoh. Apabila Tun Mahathir mengatakan yang penjawat perlu ikat perut.
4. Kenyataan seperti ini tak wajar dikeluarkan oleh Perdana Menteri.
5. Zaman sekarang rakyat menyedari dan mengetahui seberapa banyak gaji yang Ahli Parlimen, ADUN dan Menteri, Timbalan Menteri, EXCO, Menteri Besar raih setiap bulan - dan menyuruh orang bergaji rendah ikat perut adalah perkara kelakar.
6. Jika seseorang perlu belajar ikat perut, ia adalah orang yang bergaji besar contohnya Ahli Parlimen dan menteri Pakatan Harapan. Mereka dapat kek besar dan mereka boleh belajar bahagikan dengan orang lain. Bukannya suruh orang yang dapat kek kecik, potong lagi keknya sampai tinggal sisa. Itu tak boleh dibuat oleh seorang pemimpin apatah lagi Perdana Menteri.
7. Zaman sekarang tak sama macam zaman Tun Mahathir jadi Perdana Menteri kali pertama. Tak kisahlah betapa bagus, cergas, rajin, kuat, bersemangat dan tepatnya Tun Mahathir pada masa, zaman sekarang tetap berbeza dari zaman 80an.
8. Dengan satu kenyataan kelakar, ia boleh jadi troll dan memberikan mesej yang buruk pada Pakatan Harapan. Mesej yang buruk ini jika diulang-ulang akan mewujudkan satu persepsi negatif ke atas kepimpinan kerajaan hari ini.
9. Kita ambil contoh kereta terbang.
10. Ia adalah perkara yang memalukan. Sampai semua orang tak mampu tahan diri dari membuat lawak mengenainya. Semua mahu melabur dalam saham troll kerana kebodohan ini datang dari pihak kamu sendiri.
11. Sesetengahnya dari pro Pakatan Harapan pula tergamak mempertahankan benda bodoh dan mengatakan ia adalah fitnah. Mempertahankan satu hal, tetapi troll pula parti musuh untuk mengalihkan topik asal.
12. Ahhh sekurang-kurangnya kami ada prototaip (seriously, PROTOTAIP?) yang masuk LIMA 2019. Yang kamu ada hanyalah kapal terbang berlogokan parti. Itu lebih kelakar lagi.
13. Ini ke level hujah kita?
Contoh hujah yang merendahkan akal manusia dan mendorong orang menjadi taksub.
14. MODEL MINI KERETA TERBANG. Tak layak digelar prototaip. Tak patut dibawa masuk ke LIMA 2019 dan dipromosikan dengan sebegitu gaya. Kenapa media mengambarkan ia sebagai prototaip? Jika sabotaj katakan sabotaj. Jika bukan sabotaj, maka ia merupakan satu kebodohan. (sambungan disini)
15. Bukan mahu merendahkan kemampuan anak tempatan. Jangan salah faham. Tetapi apabila kita buat kerja, ia perlu nampak seperti kita memang buat kerja. Kerja kalau cincai, kita tak payah canang seluruh dunia. Kerja kalau belum selesai, kita tak payah nak tunjuk dekat sesiapa. Kita habiskan dulu apa yang belum habis. Kita selesaikan dulu apa yang belum selesai. Selepas semuanya beres barulah patut berbangga diri tunjukkan hasil dan usaha kita kepada dunia.
16. Hari-hari yang dilalui kini begitu sukar. Mempertahankan Pakatan Harapan dianggap satu kebodohan. Walaupun membetulkan fitnah, mereka juga akan memarahi kita. Walaupun kita menyebarkan fakta, mereka juga akan menuduh kita barua DAP. Dan ini apabila kamu menyebarkan kebodohan, bagaimana harus kita berkata?
17. Kadang-kadang bukan salah pengkritik sepenuhnya.
18. Kita ambil contoh BRIM Bujang. Selepas beria-ria mempertahankan tindakan Pakatan Harapan membatalkan BRIM BUJANG - Dengan mudahnya kamu uturn seperti lidah tak bertulang, langsung takde prinsip dan pendirian.
19. Apa makna penyokong dimata kamu?
20. Setelah ini yang kamu lakukan berkali-kali dari uturn kepada vturn, apakah ada keberanian lagi penyokong kamu untuk mempertahankan tindakan kamu kat sosmed?
21. Macam mana jika aku berhabis masa buat research, aku berhabis masa tulis bagai nak rak, lepas tu kerajaan buat pusingan U? Tak ke perkara ini akan memalukan aku? Baik aku diam dan buat bodoh je. Susah nak pertahankan kerajaan yang tak konsisten dan kerap buat kenyataan yang berpusing-pusing. Kita tidak tahu bila, bagaimana, apa mereka semua ini akan buat pusingan U. Ia bukan sahaja menakutkan, bahkan boleh menyebabkan kita dilihat begitu bodoh dan taksub. Satu perkara yang manusia normal tak akan suka jika dianggap sebegitu.
22. Sebenarnya jika masa, usaha dan sokongan padu didambakan kerajaan Pakatan Harapan, ia boleh diberikan oleh pengundi kamu. Bahkan telah diberikan kepada kamu. Keputusan pilihanraya ke 14 adalah buktinya. Bukan semua yang undi kamu tu sokong kamu setegar-tegarnya. Ramai juga dari mereka non partisan dan mahu merasai sendiri pengalaman menukar kerajaan.
23. 61 tahun dengan kerajaan yang sama, atau 5 tahun dengan kerajaan baru, 5 tahun ini adalah lebih mengiurkan. Kereta lama vs kereta baru. Siapa yang tak suka kereta baru, kan?
24. Kita mahu membela, menyokong, membantu dan mempertahankan kerana telah memberikan kepercayaan dan keyakinan.
25. Namun pilihan yang dibuat ini perlu kerjasama dari Pakatan Harapan.
26. Mereka perlu mengekang diri dari mengeluarkan kenyataan yang memperbodohkan diri mereka dan menjatuhkan reputasi Pakatan Harapan.
27. Mereka perlu focus untuk menyelesaikan masalah mengikut tingkat kepentingan dan berhenti berkelakuan bagaikan pembangkang. Kalaupun kita nak faham aspirasi mereka buat kereta terbang, bukankah ia harus datang selepas menyelesaikan keperluan rakyat yang lebih mendesak?
28. Mereka perlu mengetuai rentak dan bukannya mengikuti tarian pembangkang.
29. Mereka perlu dilihat memimpin negara untuk semua dan bukannya menjadi juara kaum tertentu.
30. Mereka perlu tumpu dalam perdebatan dan perbahasan berkaitan ekonomi dan polisi dan bukannya bergaduh isu kaum dan agama.
31. Mereka perlu berhenti mengeluarkan kenyataan separuh masak dan mengulas isu yang mereka tak faham (tanpa ambil tahu fakta dan maklumat secara tepat).
32. Mereka perlu berhenti mengelar dan membalas kata-kata cacian, orang yang menjarakkan diri dari pergaduhan sia-sia adalah lebih bijak daripada orang yang melibatkan diri dalam pergaduhan ejek mengejek, label melabel, benci membenci, hina menghina.
33. Bukan tiada yang baiknya kerajaan bertukar. Kita lihat banyak kepincangan kerajaan terdahulu terbongkar. Banyak penyelewengan disapu bawah karpet. Satu persatu perkara diluar pemikiran kita terdedah. Tetapi itu tidak cukup kuat untuk mendatangkan sokongan berterusan jika masalah utama rakyat tidak diselesaikan.
34. Jika nak perintah lebih dari 5 tahun, perbaiki apa yang perlu diperbaiki, dan berhenti menayangkan kebodohan. Jika tidak, pengundi kamu akan berada dalam gua sepanjang tempoh 5 tahun ini dan apabila mereka keluar mungkin tak lagi memangkah logo yang sama. Perlu kamu faham, pengundi tak terikat dengan kesetiaan dan kepatuhan. Ini adalah urusniaga. Antara pengundi dan parti. Jika kamu mahu undi maka sila bekerja untuknya. - 30 Mac 2019.