Isnin, 8 Januari 2018

PKR Selangor Tolak Mahathir, Wan Azizah Calon PM, PH Pakatan Harapan.

Kenyataan Media


Keadilan Selangor Bersetuju Untuk Tidak Bersetuju.

Konvensyen Pakatan Harapan yang berlangsung petang tadi telah merumuskan tiga ketetapan penting menuju Pilihanraya Umum ke 14.Dengan saki baki ruang demokrasi dan kebebasan bersuara yang ada, Keadilan Negeri Selangor dengan ini melahirkan rasa terkilan dan kecewa dengan pengumuman calon Perdana Menteri Pakatan Harapan.


 


 


Sedang kami menghormati keputusan pimpinan tertinggi Pakatan Harapan, izinkan juga kami menyatakan pendirian yang berbeza. Biarlah ia terakam dalam lipatan sejarah suatu hari nanti.

Parti Keadilan Rakyat punya jajaran sejarah tersendiri dan sangat panjang membimbing parti oposisi melawan tirani. Hampir 20 tahun lalu, kali pertama kalimah Reformasi kita laungkan di jalan raya, parti ini diuji dengan mehnah dan cubaan pelbagai rupa disiram cucuran keringat,darah dan airmata. Kita juga Alhamdulillah telah berjaya buktikan keupayaan dan kemampuan parti keramat ini memerintah dengan adil dan saksama. Negeri Selangor telah menjadi bukti betapa Keadilan mampu membawa perubahan dalam pentadbiran yang memacu keamanan dan kemakmuran.

Justeru, Keadilan Selangor merasa amat janggal untuk mengakui bahawa setelah begitu panjang tempoh perjuangan kita juga setelah dibuktikan dengan rekod luar biasa, Parti ini tidak mampu untuk mengangkat seorang tokoh sendiri bagi diusung sebagai calon bakal Perdana Menteri Malaysia.

Perlu diingatkan bahawa, kini negara sedang berdepan dengan zaman baharu. Golongan millenial pastinya mahu melihat seorang tokoh segar, kaya dengan buah fikiran yang berpandangan jauh dan berkesan untuk membawa negara ini keluar dari kepompong kerosakan yang telah tercipta sekian lama oleh barisan kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional sejak dahulu lagi.Rakyat tidak mudah lupa,penggerak asli Reformasi juga tidak akan lupa.
Reformasi total mesti ditegakkan dari semua aspek. Baik sistem, dasar, pentadbiran dan juga pentadbirnya.
Walau bagaimanapun, Keadilan Negeri Selangor juga berikrar bahawa kami akan siap mempertahankan negeri Selangor dan berkerja keras untuk memenangi Pilihanraya Umum akan datang. Keadilan Selangor menyeru seluruh pendokong tegar reformasi untuk terus bersama-sama menolak UMNO dan Barisan Nasional. Menuju Pilihanraya Umum ke 14, sebelum, semasa mahupun selepas pilihanraya pelbagai perkara boleh berlaku. Kepada Allah kita berserah dan memohon petunjuk dan pertolongan. Membujur lalu melintang patah, lawan tetap lawan!

Hizwan Ahmad
Ketua Biro Komunikasi
Keadilan Selangor



Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...