Ahad, 7 Januari 2018

Terima Kasih Anwar Kerana Lupakan Masa Lalu - Mahathir.

Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr. Mahathir Mohammad hari ini mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana sanggup melupakan dengan membelakangkan perkara-perkara silam yang terjadi di antara kedua-dua pemimpin itu sepanjang masa mereka berkonflik selama ini. 

"Saya terhutang budi dan berterima kasih kepada keluarga anwar kerana sanggup membelakangkan apa yang telah berlaku pada masa lalu, untuk menyelamatkan Malaysia. Perjuangan rakyat fokus utama kami berdua," kata Mahathir dalam satu kenyataan di Facebook.


Ucapan penghargaan itu turut disampaikan di Konvensyen Pakatan Harapan petang tadi sejurus Mahathir dan Wan Azizah dinamakan sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri Pakatan Harapan andai memenangi PRU ke 14 kelak.

Laungan "Hidup Tun" dan "Reformasi" bergema di dalam dewan sementara Tun Hasmah dilihat sebak sambil mengesat airmatanya itu. Wan Azizah yang juga kelihatan sebak turut memujuk Tun Hasmah yang dilihat menangis menerusi rakaman video yang tersebar.


Umum mengetahui betapa Anwar dan Mahathir ialah musuh ketat bertahun-tahun sebelum Mahathir bernekad mahu menjatuhkan kepimpinan Najib pada tahun 2015 dengan keluar dari UMNO dan menubuhkan parti BERSATU - PPBM.

Hubungan Najib dan Mahathir retak namun ia merapatkan hubungan Mahathir dengan Anwar yang kini berada di dalam penjara. Anwar dan Mahathir mula menjadi musuh pada tahun 1998 selepas Anwar didakwa terlibat dalam tuduhan meliwat dan menyeleweng serta dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri ketika itu.

Laungan reformasi ialah semangat perjuangan Anwar bagi melawan apa yang dilakukan oleh Mahathir ke atasnya dan ke atas rakyat Malaysia melalui corak pentadbirannya yang disifatkan pembangkang sebagai diktator dan kukubesi.

Penyatuan laungan 'Reformasi' dan 'Hidup Tun' di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam petang dewan tadi bakal menjadi salah satu dari sejarah yang akan terpateri dalam politik tanahair kelak.

Meskipun Anwar - Mahathir sepakat mengenai perlantikan Mahathir sebagai Perdana Menteri ke 7 andaikata pakatan itu memenangi PRU kelak namun tiada kesepakatan mengenai cadangan menjadikan Anwar sebagai perdana menteri kelapan Malaysia.

Menurut Mahathir, ada proses yang perlu dilakukan mengikut undang-undang. 

"Terserah kepada parti untuk menentukan bila beliau akan mengambil alih," katanya, memetik laporan Malaysiakini.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...