Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Khamis, 16 November 2017

Penyewa PPR Akan Menjadi Pemilik, Jika BN Menang Selangor.

Oleh : Bernama

Barisan Nasional (BN) berjanji akan melaksanakan sistem ‘sewa dan beli’ Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Selangor sekiranya diberi mandat untuk memerintah negeri itu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang. 


Pengerusi BN Selangor Tan Sri Noh Omar berkata PPR terlibat ialah PPR Lembah Subang 1, Kota Damansara, Hicom, Seksyen 26 di Shah Alam dan Serendah yang ketika ini diuruskan oleh kerajaan negeri Selangor pimpinan PKR. 

“Sekiranya BN diberi mandat untuk memerintah Selangor kelak, saya janji program ini akan dijalankan. Kita mahu golongan berpendapatan rendah yang menjadi penghuni PPR ini dapat merasa menjadi pemilik rumah dan bukan selamanya menjadi penyewa,” katanya. 

Noh berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan pejabat Pertubuhan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia cawangan Selangor, di Shah Alam hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan kerajaan negeri yang mahu melupuskan tunggakan sewa penghuni PPR di Selangor seperti diumumkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2018 baru-baru ini. 

Menurut Noh, pemansuhan tunggakan sewa tersebut dilihat tidak mampu menyelesaikan isu perumahan rakyat dalam jangka masa panjang terutama membabitkan peluang mereka untuk memiliki kediaman sendiri. 

"Jika kerajaan negeri khususnya Menteri Besar (Mohamed Azmin) nak ringankan beban rakyat dan memastikan rakyat mempunyai peluang memiliki kediaman sendiri, mengapa mereka tidak umumkan sahaja skim sewa dan beli kepada penghuni PPR,” soalnya. 

Pada Ogos lalu, program sewa dan beli PPR telah dilaksanakan di lima PPR bagi penyewa yang layak, iaitu di Gua Musang, Kelantan sebanyak 1,000 unit; Kampung Hassan, Hulu Selangor (300 unit); Lembah Subang 2, Selangor (1,580 unit); Ladang Siliau, Negeri Sembilan (300 unit) dan Jinjang, Kuala Lumpur (1,000 unit). 

Program itu membolehkan penyewa memiliki rumah selepas membayar sewa bulanan dalam satu tempoh masa yang akan diputuskan kemudian.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...