Khamis, 16 November 2017

BN Bersyukur, Rafizi Rosakkan Pembangkang Dari Dalam - Rizal Mansor.

Pegawai Khas kepada Datin Seri Rosmah Mansur, Dato Rizal Mansur hari ini menulis bahawanya BN perlu bersyukur kerana Rafizi berada di dalam kem pembangkang. 

Ini menurutnya, tingkahlaku Rafizi yang menghuru-harakan pembangkang dari dalam memudahkan kerja-kerja Barisan Nasional untuk terus menyakini rakyat.


"Inilah ‘keistimewaan’ yang ada dalam pembangkang di negara kita. Walaupun mereka ada organisasi tetapi ianya sekadar untuk dicetak di atas kertas sahaja. 

Yang sebenarnya, sesiapa sahaja boleh ambil jawatan sesiapa untuk mengumumkan apa sahaja dasar atau polisi. Terlalu banyak kepala. Apabila kalah dalam pilihanraya, maka mulalah menyalahkan parti lawan. Pengundi hantu, tipu undi, dan macam-macam lagi," katanya memulakan bicara. 

Pegawai Khas Rosmah itu juga berpendapat Rafizi berperanan merosakkan pembangkang dengan membuat Langkah Kajang dan memecat Khalid Ibrahim dari kerusi Menteri Besar Selangor dan seterusnya menubuhkan Invoke.

Dan perkara itu diburukkan dengan tindakan Rafizi yang 'hijack' perkara yang sepatutnya dilakukan dan diumumkan oleh Pengerusi Pakatan Harapan.

"Ambil contoh dalam kes ini. Pengerusi Pakatan Harapan adalah Tun M. Tiba-tiba semalam Rafizi pula yang ambil alih jawatan itu. Apabila dia mengumumkan satu perkara yang sepatutnya diumumkan oleh Pengerusi PH. 

Selain mengambil alih jawatan Pengerusi PH daripada Tun M, Rafizi juga telah ambil alih jawatan Presiden PKR daripada Wan Azizah. Yang berkuasa memilih calon pilihanraya bagi PKR adalah Wan Azizah. Yang terjadi sekarang pula sebaliknya". 

"Rafizi telah memilih calon-calon. Kita di BN sebenarnya perlu bersyukur kerana adanya orang seperti Rafizi dalam kem musuh. Keberadaan dia disana banyak memudahkan kerja-kerja kita. 

Hilangnya Tan Sri Khalid Ibrahim dan hancurnya Pakatan Rakyat adalah melalui projeknya, Langkah Kajang. Selepas ini akan hancur pula Pakatan Harapan kerana satu projek yang bernama Rafizi Bayar Rafizi yang dikendalikan oleh Invoke dan KEIP," tulisnya di dalam satu kenyataan Facebook hari ini. 

Rizal Mansor turut memerli Ahli Parlimen Pandan itu yang kononnya Mahathir akan berasa marah jika disuruh untuk mengisytiharkan hartanya.

"Ada ke patut dia nak ajak Tun M dan Mukhriz isytihar harta ? Baru saja terdedah bagaimana kisah kekayaan dan kemewahan cucu yang mendapat hadiah bot dari bapa untuk mengelilingi dunia. Tak patutlah. 

Sudahlah kau hijack jawatan dia, kemudian nak minta dia isytihar harta pula. Marahlah dia. Sekarang Rafizi nak kutip derma lagi untuk Invoke bagi membayar gaji pendahuluan untuk tahun depan ke?," sindir Rizal Mansor.

Terdahulu, Rizal Mansor memuji tindakan PAS yang memilih untuk berkecuali dalam pengundian #bajet2018 di Parlimen.

"Saya cukup menghormati pendirian ahli-ahli Parlimen PAS yang mengambil sikap berkecuali ketika pengundian Bajet 2018 di Dewan Rakyat baru-baru ini. 

Mereka berkecuali kerana mereka mampu menilai bahawa terdapat banyak perkara yang membawa kebaikan untuk rakyat dalam bajet itu dan kalau ia ditolak, maknanya mereka menolak manfaat untuk rakyat. 

Kita faham tugas pembangkang sebagai blok yang membuat 'check and balance' dalam sistem berparlimen di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan. 

Rizal turut mempersoalkan tindakan DAP yang menolak belanjawan 2018 sebagai menolak peruntukan untuk membangunkan Pulau Pinang dan rakyat Malaysia secara amnya.

"Tetapi sebagai wakil rakyat, janganlah hanya kerana semata-mata menjadi pembangkang, maka mereka perlu menolak bajet ini. Tolak belanjawan 2018, maknanya tolak bantuan BR1M untuk rakyat, tolak kenaikan gaji dan bonus khas kakitangan awam dan tolak bantuan pendidikan dan pembangunan untuk negara. 

Apakah dengan menolak bajet ini bermakna DAP juga menolak menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan menolak bantuan untuk pekebun kecil serta dana kampung Cina di seluruh negara?," tulisnya.

"Juga, bagaimana kerajaan nak bayar gaji dan elaun ahli parlimen pembangkang jika mereka menolak belanjawan ini? Sedangkan ternyata bajet ini baik untuk rakyat Malaysia secara keseluruhan termasuklah untuk kaum Cina, India dan lain-lain. 

Perbuatan pembangkang yang membangkang secara buta tuli inilah yang disebut ‘bangkang dari longkang’. Kita faham pembangkang mahu menang PRU14 tetapi janganlah dikorbankan segala manfaat yang bakal diraih oleh rakyat semata-mata untuk berlagak hero atau berlakon seperti jaguh," katanya lagi.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...