Isnin, 16 Oktober 2017

PAS Tangguh #RUU355 Selepas PRU Ke 14.

PAS akan menangguhkan pembentangan RUU355 selepas selesainya pilihanraya umum ke 14, lapor portal Free Malaysia Today pada semalam.
Gambar - Google
PAS menerusi Ketua Dewan Ulama, Datuk Dr Mahfodz Mohamed dipetik berkata, partinya perlu mengambil kira beberapa aspek dalam isu Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) memandangkan PRU14 juga semakin dekat.
“Kalau boleh kita bentang mahu menang. Kita kena buat perkiraan, sekarang ini beberapa orang Umno bahkan penganut agama Islam lain tidak sokong, lebih baik kita tangguhkan dahulu.
“Lepas pilihan raya, selepas banyak kerusi yang kita menang, barulah (bawa semula RUU355 ke Dewan Rakyat),” katanya sewaktu ditemui di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) semalam.
Tambahnya, dalam usaha memastikan RUU355 diluluskan di Dewan Rakyat, PAS bertekad untuk bertanding lebih banyak kerusi parlimen berbanding sebelum ini. Parti itu mahu bertanding di 100 kawasan.
Bahkan Mahfodz berkata, parti Islam itu kini dalam rangka usaha memperkasakan jentera bagi menakluk dan merampas semula beberapa negeri di Semenanjung.
“PAS yakin menang lebih kerusi daripada Amanah. Sasaran kita adalah kekalkan kerusi di Kelantan dan Selangor, ambil semula Terengganu dan Kedah serta menambah beberapa kerusi lain.
“Kita selesa dengan blok kita, yang terdiri daripada beberapa parti dan badan bukan kerajaan. Kita setakat ini langsung tidak pernah berbincang dengan Umno untuk perkongsian kerusi di Pantai Timur ” katanya.
Sebelum ini dilaporkan RUU 355 tidak dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat yang bersidang Julai lalu atas faktor kesihatan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN).
Malah pembentangan RUU355 juga pernah ditangguhkan beberapa kali atas pelbagai alasan.
Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Parlimen Ke-13 akan bermula 23 Oktober ini.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...