Isnin, 15 Mei 2017

PAS Ikrar Bertanding Di Lembah Pantai, Segambut Dan Batu Pada PRU Ke 14.

PAS Wilayah Persekutuan berikrar akan bertanding di 9 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum akan datang, termasuk Lembah Pantai, yang kini diduduki Nurul Izzah Anwar, dan kerusi Tian Chua, Batu.
Tian Chua, Izzah - FMT
Pesuruhjaya Mohamad Noor Mohamad berkata, PAS Wilayah Persekutuan juga mahu menarik undi pengundi Islam di kerusi Parlimen yang majoriti menyokong DAP, seperti Segambut, lapor Free Malaysia Today pada semalam.
“Keputusan ini selaras dengan keputusan Majlis Syura Ulama bahawa ‘tahaluf siyasi’ dengan PKR telah terbatal,” katanya, memetik laporan portal itu.
Pada PRU nanti, PAS turut menyasarkan kerusi Bandar Tun Razak (Bebas, dulu PKR), Wangsa Maju (PKR), Setiawangsa (BN), Titiwangsa (BN), Putrajaya (BN) dan Labuan (BN).
“Kita lihat sokongan terhadap PAS semakin meningkat, terutamanya dalam kalangan orang Melayu Islam, di samping kita masih lagi mendapat sokongan pengundi bukan Islam.”
Ditanya mengenai peluang PAS memenangi Segambut, Mohamad Noor berkata, kajian menunjukkan tidak semua pengundi di Parlimen itu memberi undi kepada DAP.
“Sasaran pertama sudah tentu daripada pengundi Islam untuk undi PAS di Segambut di samping undi orang Cina dan India, kerana tidak semua mereka mengundi DAP,” katanya lagi.
Pada PRU yang lepas, Lim Lip Eng menewaskan calon BN dengan majoriti 19,199 undi. Daripada 75,631 pengundi berdaftar, DAP peroleh 41,383 undi manakala BN 22,184.
Di Lembah Pantai pula, Izzah menewaskan 2 pencabar dengan majoriti 1,847 undi. Daripada 72,396 pengundi berdaftar, PKR peroleh 31,008 undi, BN 29,161 dan Bebas 167.
Manakala di Batu, Tian Chua menewaskan 4 pencabar dengan majoriti 13,284 undi. Daripada 85,402 pengundi berdaftar, PKR peroleh 41,672 undi, BN 28,388, Berjasa 949, dan 2 calon bebas 209 dan 164 undi.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...