Isnin, 15 Mei 2017

Halang Penduduk Dari Berhimpun Tuntut Hak Sampai Guna Pihak Berkuasa Dan Ugut, AMANAH Persoalkan MB Johor.

Kenyataan Media.
MENTERI BESAR JOHOR TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TENTANG KESUSAHAN RAKYAT
1. Hari ini, Parti Amanah Negara (Amanah) dengan YB Cheo Yee How, Adun DAP Pengkalan Rinting bersama-sama seluruh penduduk Kampung Bakar Batu Perling, Johor Bahru telah berkumpul di Pejabat Menteri Besar Johor bagi menghantar memorandum berkenaan tanah kampung mereka.
2. Dalam maklumat saya, penduduk kampung sebelum ini telah diugut oleh pelbagai pihak termasuk pihak berkuasa yang menghalang mereka daripada menyertai himpunan menuntut hak mereka yang sepatutnya berlangsung di Dewan Undangan Negeri Johor.
3. Lokasi kami telah diubah berikutan halangan daripada pihak Keselamatan Dewan Undangan Negeri dan juga pihak Polis yang telah menutup jalan masuk ke Dewan Undangan Negeri seawal jam 10:30 pagi. Tindakan tersebut dipercayai sebagai usaha menghalang kami daripada bersama-sama penduduk untuk berhimpun di hadapan Dewan Undangan Negeri.
4. Saya berasa dukacita dengan tindakan pemimpin yang mengerahkan beberapa unit anggota keselamatan untuk tujuan menghalang perhimpunan menuntut hak ini daripada diadakan. Dewan Undangan Negeri adalah milik rakyat dan semestinya suara-suara rakyat seperti penduduk Kampung Bakar Batu ini harus didengari bukannya dihalang.
5. Saya juga dengan tegas ingin menyanggah kenyataan yang diberikan oleh pihak Menteri Besar Johor yang kononnya telah menyatakan penduduk perlu mengikut saluran yang betul sedangkan penduduk selama ini telah berbuat apa yang sepatutnya mereka buat.
6. Sanggahan saya turut dibuat berikutan siri permohonan penduduk kampung yang selama ini telah menggunakan pelbagai ruang yang ada bagi menyatakan permasalahan yang berlaku. Namun, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohammed Khaled Nordin selama ini diam serta membisu dalam permasalahan yang berlaku di kampung tersebut.
7. Saya ingin menegaskan sekali lagi kenyataan daripada pihak Menteri Besar ini adalah tidak berasas sama sekali. Menteri Besar sewajarnya turun ke kampung tersebut bagi menyelami nasib penduduk yang selama ini mengemis untuk mendapatkan hak mereka.
8. Menteri Besar tidak perlu takut dan malu untuk berhadapan dengan penduduk-penduduk kampung sekiranya beliau berada dalam situasi yang benar. Saya dengan ini juga ingin mengajak Menteri Besar agar marilah kita bersama-sama berusaha untuk menyelamatkan kampung ini dan dengarlah rintihan penduduk kampung tersebut.
9. Sejujurnya, saya berasa bangga terhadap penduduk Kampung Bakar Batu yang bertungkus lumus mengumpul seluruh penduduk dan bersama-sama berhimpun di hadapan Pejabat Menteri Besar sebagai inisiatif mereka menuntut hak mereka. Perasaan bangga saya buat semua penduduk kampung yang berani untuk terus memperjuangkan hak-hak mereka walaupun diugut, dihalang serta dilayani dengan cara sombong oleh wakil Menteri Besar.
10. Daripada perkembangan berkaitan isu ini jelas nyata bahawasanya Menteri Besar Johor adalah pemimpin yang tidak bertanggungjawab di atas masalah yang menghimpit rakyat khususnya penduduk Kampung Bakar Batu.
*SALAHUDDIN HJ AYUB*
Timbalan Presiden
Parti Amanah Negara (Amanah) 
15 Mei 2017

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...