Khamis, 18 Mei 2017

Hutan Sarawak Dimusnahkan Untuk Olimpik Tokyo 2020.

Oleh : KUASA
HUTAN SARAWAK DAN SUMBER KEHIDUPAN MASYARAKAT PENAN DIMUSNAHKAN UNTUK OLIMPIK TOKYO 2020
Pada 3 April 2017, kumpulan penyiasat mendapati bahawa kayu lapis (plywood) tropika yang dibekalkan oleh syarikat pembalakan dari Sarawak, Shin Yang telah diimport secara besar-besaran untuk digunakan sebagai acuan konkrit untuk pembinaan Stadium Olimpik di Tokyo. (1) Pada 27 April 2017, pihak berkuasa Jepun mengesahkan dakwaan ini dan sememangnya sumber bahan binaan tersebut datang dari kilang plywood Shin Yang di Bintulu, Sarawak.
Sehingga ke hari ini, Kerajaan Jepun masih gagal lagi menyelesaikan pembabitan mereka dalam menyokong secara tidak langsung kepada kemusnahan hutan hujan tropika, pembalakan haram dan pencabulan hak asasi manusia. Sebahagian besar bahan binaan acuan konkrit yang digunakan di Jepun adalah datang daripada kayu-kayu tropika, di mana majoritinya dibekalkan dari Sarawak dan Indonesia.
Sarawak mempunyai kadar yang tertinggi dalam kemusnahan hutan di dunia dan pelbagai siasatan serta kajian telah mendedahkan banyak amalan korupsi dalam pengurusan hutan, perniagaan kayu balak dan terdapatnya aktiviti pembalakan haram. Syarikat Shin Yang adalah pembekal terbesar kayu plywood untuk binaan konkrit kepada Jepun dan mereka sangat terkenal dengan amalan pembalakan tidak lestari di kawasan rentas sempadan (transboundary) konservasi yang dikenali sebagai ‘Heart of Borneo’ dan mengabaikan hak komuniti tempatan serta terlibat dalam pembalakan haram (2)
Pihak urusetia Olimpik pula mempertahankan penggunaan kayu plywood dari Syarikat Shin Yang dengan menyatakan bahawa bahan binaan tersebut telah diberi pensijilan PEFC (Programme for the Endorsement of Forest Certification). Namun pertubuhan alam sekitar mendakwa kayu-kayu balak mentah tersebut telah bercampur-campur termasuk daripada sumber yang haram dan tidak lestari. Kilang plywood Shin Yang di Bintulu juga terletak di lokasi di mana mereka melakukan pencabulan hak asasi manusia ke atas masyarakat orang Asal Penan. (3)
Aktivis alam sekitar kemudian menambah hujah bawaha Jawatankuasa Penganjuran Olimpik Tokyo juga tidak mempunyai pengurusan kod dan rantaian pembekalan (supply chain) yang mencukupi untuk menghindari risiko pengambilan sumber balak yang telah menyebabkan kemusnahan hutan hujan hutan hujan tropika, pembalakan haram dan pencabulan hak asasi manusia. (4) Secara terperinci, mereka menyatakan apabila panel acuan plywood yang digunakan di tempat yang berbeza di tapak pembinaan telah di bawa ke Stadium, telah dikecualikan daripada kod keperluan kelestarian alam sekitar & penjagaan hak asasi manusia. (5) “Kod tersebut secara efektifnya membenarkan kayu-kayu tropika yang tidak lestari turut ‘dibersihkan’ atau di’halal’kan. Kita seharusnya menggunakan sumber perkayuan yang kurang berisiko dan berkontroversi untuk pembinaan Olimpik,” kata Toyo Kawakami dari Rainforst Action Network Jepun.
Sementara itu, minggu ini, aktivis alam sekitar dari seluruh dunia mengadakan protes untuk mendesak penggantungan segera terhadap penggunaan kayu tropika untuk pembinaan fasiliti di Tokyo. Rabu minggu lepas, hampir 140,000 tandatangan telah diserahkan kepada Kedutaan Jepun di Switzerland dan Jerman bagi mendesak tindakan bertanggungjawab daripada Kerajaan Jepun. Pertubuhan-pertubuhan masyarakat sivil juga mendesak pembersihan dan reformasi segera polisi perolehan sumber Olimpik Tokyo dan penyiasatan menyeluruh ke arah pengetatan undang-undang dan polisi penggunaan kayu tropika Olimpik yang lestari.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...