Isnin, 8 Mei 2017

Ini Jawapan Kepada SKMM Kenapa Undang-Undang Penjarakan Admin WhatsApp Tidak Realistik.

TINDAKAN UNDANG-UNDANG TERHADAP GRUP ADMIN WHATSAPP TIDAK WAJAR DAN TERBURU-BURU.
Baru-baru ini Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari di dalam satu kenyataan menyatakan bahawa Group Admin WhatsApp boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 jika gagal membendung penyebaran maklumat palsu dalam kalangan ahlinya sehingga menggugat keselamatan negara.
Menurut Jailani, menerusi akta itu, antara kesalahan yang boleh dikenakan tindakan termasuk menyebarkan berita tidak benar, menghasut, dan pendedahan komunikasi yang dilarang iaitu mendedahkan maklumat di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA). Maknanya, Grup Admin boleh diambil tindakan di bawah undang-undang jenayah atau sivil di Mahkamah.
Kata Jailani lagi, Admin Whatsapp seharusnya menjadi pengampang maklumat dengan menapis bahan-bahan yang tidak sahih selain perlu lebih bertanggungjawab memastikan tiada anggotanya menyebarkan maklumat palsu bagi mengelakkan Admin Whatsapp dikenakan tindakan undang-undang.
Bagi aku, kenyataan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu adalah tergopoh-gapah dan terburu-buru. Aku bersetuju dengan pandangan MTUC dan MEF supaya satu garis panduan dan peraturan ditetapkan terlebih dahulu kepada pengguna Whatsapp sebelum langkah drastik tersebut dilaksanakan. Sungguhpun begitu, aku tetap beranggapan bahawa Grup Admin Whatsapp tidak boleh diambil tindakan undang-undang di atas tindakan salah oleh ahli-ahli Grup mereka. Ia sangat tidak wajar dan membebankan. Aku mengatakan begitu kerana beberapa sebab:-
1. Grup Whatsapp boleh memuatkan beratus-ratus ahli di dalamnya. Secara amalannya, Grup Admin hanya mempunyai kuasa untuk ‘memasukkan’ (“to add”) atau mengeluarkan (“to remove”) ahli-ahli Grup tersebut. Dia tidak mempunyai kuasa untuk menapis terlebih dahulu setiap bahan yang hendak dihantar oleh ahli ke dalam Grup Whatsapp tersebut.
2. Oleh kerana Grup Admin tiada kuasa menapis, maka ahli-ahli bebas untuk berkongsi apa-apa bahan di dalam Grup tersebut.
3. Seandainya ahli berkongsi bahan yang tidak benar dan palsu, Grup Admin tidak mempunyai kuasa untuk memadam bahan tersebut. Bukan itu sahaja, hatta ahli yang berkongsi bahan tersebut juga tidak mempunyai kuasa untuk memadam bahan yang telah dikongsikannya itu. Apa yang boleh dilakukan ialah mengarahkan setiap ahli untuk memadam bahan tersebut atau mengabaikannya tetapi tindakan tersebut adalah tidak munasabah.
4. Grup Whatsapp tidak mempunyai had masa. Segala bahan boleh dikongsi bila-bila masa oleh mana-mana ahli tanpa had masa hatta pukul 3 atau 4 pagi sekalipun. Oleh itu, sudah tentu akan ada bahan-bahan yang dikongsikan berlaku di luar kesedaran dan pengetahuan Grup Admin.
5. Sekiranya Grup Admin dibebankan sedemikian, maka setiap bahan yang dikongsi mesti dibaca oleh Grup Admin dan perkara ini sudah tentu tidak munasabah.
6. Kegagalan untuk memantau juga boleh berlaku sekiranya telefon bimbit Grup Admin tersebut mati atau ditutup atau beliau sibuk dengan hal-hal lain seperti pekerjaan, mesyuarat, memandu kereta, solat dan sebagainya. Sekiranya beban tersebut mahu diletakkan juga ke atasnya, maka sudah tentu ia akan mengganggu urusan beliau yang lain. Perkara seperti ini juga adalah tidak munasabah dan tidak wajar.
7. Ada kebarangkalian bahawa Grup Admin tidak mengetahui bahawa bahan yang disebarkan oleh ahli Grup tersebut adalah berita yang salah, palsu atau diklasifikasikan sebagai maklumat OSA.
Apa yang aku tegaskan di atas adalah dari sudut praktis. Dari sudut undang-undang pula, cadangan dan keputusan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu juga tidak boleh dipertahankan kerana ia tidak memenuhi elemen undang-undang samada jenayah mahupun sivil. Dalam erti kata lain, mengaitkan sewenang-wenangnya kesalahan ahli-ahli Grup dengan Grup Admin Whatsapp adalah terlalu "remote" di sisi undang-undang.
Terdapat satu kes saman terhadap Grup Admin Whatsapp dibicarakan di India. Kes itu iaitu kes Ashish Bhalla v. Suresh Chawdhury & Ors. Kes tersebut berkait dengan tindakan saman fitnah oleh seorang bernama Ashish terhadap Grup Admin Whatsapp bernama Vishal Dubey.
Ashish dalam kes tersebut menuntut gantirugi dan pampasan terhadap semua ahli-ahli dalam Grup WhatsApp tersebut kerana memfitnah beliau berhubung kelewatan pemberian pemilikan kosong (“vacant possession”) sebuah pangsapuri kepada para pembeli.
Ketika menolak tuntutan saman Ashish itu, Hakim Rajiv Sahai Endlaw menyatakan bahawa menyalahkan Grup Admin Whatsapp kerana fitnah yang dibuat oleh orang lain di dalam Grup Whatsapp tersebut adalah tidak wajar dan munasabah. Beliau menyatakan seperti berikut:-
“Similarly, I am unable to understand as to how the Administrator of a Group can be held liable for defamation even if any, by the statements made by a member of the Group. To make an Administrator of an online platform liable for defamation would be like making the manufacturer of the newsprint on which defamatory statements are published liable for defamation. When an online platform is created, the creator thereof cannot expect any of the members thereof to indulge in defamation and defamatory statements made by any member of the group cannot make the Administrator liable therefor. It is not as if without the Administrator’s approval of each of the statements, the statements cannot be posted by any of the members of the Group on the said platform.”
Apa yang telah diputuskan oleh Hakim di dalam kes atas sama seperti apa yang telah aku jelaskan di atas.
Selain itu, Timbalan Menteri tersebut juga mesti menjelaskan apakah maksud "berita tidak benar", "menghasut", dan komunikasi yang diklasifikasikan di bawah Akta OSA tersebut sebagai garis panduan kepada pengguna Whatsapp. Kegagalan berbuat demikian akan terdedah kepada penyalahgunaan undang-undang oleh pihak yang berkepentingan untuk kepentingan politik mereka seperti yang berlaku kepada Akta Hasutan, Akta OSA dan sebagainya yang dikenakan ke atas ahli-ahli politik pembangkang yang mendedahkan penyelewengan, rasuah dan salah laku kerajaan UMNO/BN.
Sebagai contoh, di dalam kes Shreya Singhal v Union of India, Mahkamah Agong di India telah memutuskan bahawa sec. 66 Akta Teknologi Maklumat 2000 yang memperuntukan suatu hukuman terhadap pesalah yang menyebarkan bahan ofensif melalui teknologi maklumat sebagai tidak berperlembagaan kerana ia bercanggah dengan Perkara 19(1)(a ) Perlembagaan India terhadap kebebasan bersuara. Mahkamah beranggapan sedemikian kerana seksyen tersebut mempunyai "chilling effect" yang akan memandulkan kebebasan bersuara rakyat disebabkan oleh hukuman yang seolah-olahnya mengungut kebebasan rakyat untuk bersuara.
Bagi aku, apa yang cuba dilaksanakan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia juga mempunyai "chilling effect" sebagai langkah politik UMNO/BN bagi menakut-nakutkan rakyat untuk mengekang penyebaran maklumat dan isu-isu semasa kepada masyarakat berkaitan penyelewengan, rasuah dan salah laku pemimpin-pemimpin UMNO/BN.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...