Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Rabu, 14 Oktober 2020

Kenapa Kerajaan Bailout Air Asia Dan Abaikan MAS?

POLITIK | Semalam portal Nikkei Asia melaporkan Air Asia telah memenangi kelayakan bantuan Skim Danajamin Prihatin berjumlah RM1b (USD 242j).

Suntikan dana tambahan itu dijamin Kementerian Kewangan 80% dan ia akan membantu memulihkan syarikat Air Asia yang kini bergelut dengan krisis ekonomi berikutan berhadapan dengan masalah pandemik covid19.

Suntikan dana itu sangat kritikal kepada Air Asia dimana ia akan digunakan untuk membayar pinjaman berjangka pendek dan mendanai operasi perniagaan, lapor Nikkei Asia.

Terdahulu, dalam satu temubual yang berlangsung pada Julai lepas, Tony berkata AIRASIA perlu mencari dana sebanyak RM2b untuk kekal bersaing bagaimanapun jika dapat mengumpul RM1b, ianya sudah cukup untuk menyelamatkan operasi syarikat namun angka RM2b mampu meletakkan syarikat itu berada dalam keadaan yang selesa.

Air Asia juga dilaporkan akan memberhentikan sebahagian pekerjanya (sesi kedua) bermula bulan depan. Sebagai rekod, pada 9 Oktober lepas, Air Asia telah memberhentikan khidmat kira-kira 2,000 kakitangannya atas alasan realiti sektor penerbangan yang sukar dipulihkan dalam masa terdekat.

Tony juga dilaporkan Air Asia akan beroperasi dengan skala yang lebih kecil dan berusaha untuk menyelamatkan sebanyak mungkin kakitangan (dari kehilangan kerja).

Dalam pada itu, Nikkei Asia melaporkan AIRASIA enggan memberikan apa-apa komen berhubung dana pinjaman RM1b itu buat masa ini.

Bagaimanapun tindakan menyelamatkan operasi AIRASIA menimbulkan ketidakpuasan hati dikalangan ahli politik dan netizens.

Meskipun menyelamatkan AIRASIA bererti menyelamatkan para pekerjanya, namun kerajaan dipersoalkan kerana mengabaikan MAS yang juga memerlukan pakej bantuan yang sama bagi menyelamatkan operasi syarikat.

Tak boleh ke jika kerajaan memilih untuk menyelamatkan kedua-duanya, soal pengkritik di laman sosial.

Pada 8 Oktober lepas, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul berkata menerusi satu temubual di BFM, bahawa terpulang kepada Khazanah untuk selesaikan masalah MALAYSIA AIRLINES.

Kerajaan tidak akan menyuntik dana lagi kepada syarikat penerbangan itu dan Khazanah Nasional perlu menyelesaikan sendiri.

“Kami telah secara konsisten menyatakan bahawa ini adalah perkara yang Khazanah perlu menyelesaikannya. Kementerian Kewangan (MoF) tidak akan menyuntik apa-apa tunai atau modal (lagi) kepada syarikat penerbangan melalui Khazanah. 

Oleh itu, Khazanah (sebagai pemilik tunggal) perlu merangka langkah sendiri untuk memastikan kelangsungan Malaysia Airlines,” katanya dalam program Breakfast Grille stesen radio BFM pada Khamis.

Hal ini menimbulkan polemik memandangkan tanpa sebarang dana tambahan, MAS berdepan dengan risiko gulung tikar dan seluruh tenaga kerjanya akan diberhentikan.

Sebelum ini Malaysian Aviation Group (MAG) memberikan peringatan dimana Khazanah akan berhenti membiayai MAS, yang memaksa syarikat itu kepada penutupan operasi, jika perbincangan mengenai penstrukturan semula dengan pemberi pajak, gagal.

Penganalisis Penerbangan Endau Analytics, Shukor Yusof dilaporkan berkata MAB perlu dibubarkan memandangkan ia tak dapat diselamatkan lagi, lapor Awani.

“Malaysia Airlines sudah lama berdepan dengan masalah dan sukar untuk ditangani. Dengan penularan COVID-19, kewangan syarikat itu semakin sukar untuk diatasi.

“Sejak tragedi MH370 dan MH17, Malaysia Airlines telah mengalami kesukaran untuk meningkatkan jenama mereka. Prestasi syarikat semakin merosot dan Malaysia Airlines sememangnya mempunyai isu legasi sejak bertahun lamanya.

“Kita perlu akur bahawa Malaysia Airlines mempunyai masalah yang besar dan pada pendapat saya, kita bubarkan Malaysia Airlines,”
katanya, memetik laporan Astro Awani.

Harus diingatkan, kegagalan menyelamatkan MAS akan menyebabkan kakitangan kehilangan mata pencarian dan itu sudah pasti menyukarkan keadaan tambahan pula kita berdepan dengan kemelut covid19 yang vaksinnya masih belum ditemui.

Kerajaan juga perlu ambil kira sejarah dan nilai sentimen MAS yang berada dalam hati rakyat Malaysia.

Kalau pun jenamanya perlu diubah untuk membersihkan stigma yang terpalit, itu lebih baik dari ia ditutup, dibubarkan atau ditamatkan terus untuk selama-lamanya. Mari kita sama-sama berdoa agar MAS diselamatkan dari krisis ini. - 14 Oktober 2020.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...