Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Selasa, 13 Oktober 2020

Apa Dah Jadi Pada Kes Adib, RCI TH, Banglo LGE Soal Ketua Pemuda UMNO Johor.

KENYATAAN MEDIA | Apa status kes arwah Adib, RCI TH dan kes banglo serta terowong LGE? 

Lupakah Kerajaan tentang perkara tersebut?
SAYA mulakan penulisan ini dengan membangkitkan persoalan ini, sudah hilang taringkah atau pimpinan BN dan PAS lupa dengan isu-isu yang mereka bangkit dan suarakan sebelum ini ketika masih bergelar pembangkang?

Jika lupa, suka saya ingatkan isunya adalah:

1. ISU PEMBUNUHAN ARWAH ADIB

2. RCI TABUNG HAJI

3. KES BANGLO DAN TEROWONG LIM GUAN ENG

4. BANYAK LAGI

Adakah selepas BN dan PAS memiliki kuasa pemerintah bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN), isu-isu yang dibangkitkan itu semakin dilupakan dan dipandang sepi?


Janganlah pimpinan BN dan PAS dibuai mimpi indah selepas mendapat kerusi empuk dalam kerajaan, jangan terus lena dibuai mimpi.

1. ISU PEMBUNUHAN ARWAH ADIB

Kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariaman di Subang Jaya, Selangor pasti tidak akan dilupakan rakyat.

Sehingga kini, kes Allahyarham Muhammad Adib mengundang pelbagai persoalan dan tanda tanya termasuk bila kes itu akan selesai.

Rakyat ternanti-nanti bila suspek yang bertanggungjawab dalam insiden pada 27 November 2018 itu akan dibawa muka pengadilan.

Adakah kerajaan dilihat serius dalam menyelesaikan kes berhubung insiden itu terutama segera mendakwa suspek bertanggungjawab?

Dalam kes berkenaan, intergriti dan ketelusan kerajaan terus dipersoal oleh rakyat. Pimpinan BN dan PAS khususnya perlu buktikan kepada rakyat kita serius bagi memastikan individu yang membunuh Allahyarham Muhammad Adib segera dibawa ke muka pengadilan.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Mahkamah Koroner mendapati kematian Muhammad Adib disebabkan perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Rakyat akan terus tertanya-tanya, seriuskah kerajaan dalam menyelesaikan kes itu dan mencari keadilan buat Muhammad Adib?

2. RCI TABUNG HAJI

Umat Islam khususnya pendeposit Tabung Haji (TH) tidak lupa tentang dakwaan salah laku, penyelewengan dan skandal dalam TH.

Ini kerana, yang menerima impak besarnya adalah golongan pendeposit sendiri yang mana pada 2018 nilai hibah diterima hanya 1.25 peratus, hibah terendah dalam sejarah Tabung Haji.

Sukarkah kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat semua dakwaan salah laku, penyelewengan dan skandal dalam Lembaga Tabung Haji (TH)?

Jika Pakatan Harapan (PH) sewaktu berkuasa 22 bulan enggan dan berdiam diri soal menubuhkan RCI TH, adakah kerajaan PN yang turut diwakili BN dan PAS tidak mahu RCI ditubuhkan?

Jika benar berlaku salah laku, penyelewengan dan skandal dalam TH seperti didakwa, segeralah melakukan siasatan dan tubuh RCI.

Saya berpandangan kerajaan Pusat pimpinan PN perlu berani kerana benar. Segera tubuh RCI bagi memulihkan keyakinan pendeposit kepada TH.

Ini cukup penting kerana, TH telah berdepan pelbagai tuduhan penyelewengan, jualan aset dan ladang-ladang milik TH Plantations.

Saya berpandangan, dengan apa yang berlaku ini dan segala dakwaan yang timbul, adalah wajar RCI menyiasat TH ditubuhkan kerajaan.

TH milik umat Islam dan setiap pendepositnya berhak tahu apa yang berlaku kerana setiap wang malah aset TH juga adalah milik mereka.

Janganlah terus dibiarkan kerisauan dan kegusaran bermain difikiran pendeposit TH kerana ia boleh menjejaskan kepercayaan mereka terhadap TH.

3. KES BANGLO DAN TEROWONG LIM GUAN ENG

Lupakah BN dan PAS tentang kes banglo dan terowong membabitkan Lim Guan Eng?

Setelah memiliki kuasa ketika ini, adakah BN dan PAS seolah-olah tidak bersungguh-sungguh untuk memastikan dua kes itu terus disiasat?

Jangan hanya dulu sewaktu belum berkuasa BN dan PAS 'bergegar-gegar' mahu kes itu disiasat oleh SPRM, tapi kini bila sudah memiliki kuasa, adakah BN dan PAS tidur lena di kerusi empuk dimiliki?

Guan Eng telah ditahan dan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan meminta suapan daripada projek terowong dasar laut bernilai berbilion ringgit, bagaimana pula dengan kes banglo yang digugurkan mahkamah pada 2018?

Adakah kes banglo berkenaan perlu terus dibiarkan digugurkan begitu sahaja yang mana seluruh rakyat tahu peguam negara pada ketika kes itu digugurkan adalah Tan Sri Tommy Thomas.

Rakyat ketika ini sedang memerhatikan tindak tanduk pimpinan BN dan PAS setelah dua parti itu ketika ini berada dalam kerajaan.

Tiga isu yang saya bangkitkan itu semuanya membabitkan soal keadilan. Jangan kita meminggirkan keadilan setelah berkuasa. Bangun dari tidur dan janganlah terus bermimpi indah.

"BN dan PAS tolong kejutkan ABAH yang mungkin terlepas pandang"

MOHD HAIRI MAD SHAH
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...