Semalam (3 Mac 2020) sahaja, UMNO Kedah telah menetapkan pendirian supaya Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi untuk menganggotai barisan Kabinet baru.
Ini benar-benar melampau. Zahid Hamidi ini dikenali ramai bukan kerana pencapaian beliau mengemudi negara dahulu.Tetapi, Zahid Hamidi paling terkenal dengan 47 pertuduhan (12 pecah amanah jenayah, 8 rasuah, 27 penggubahan wang haram) terhadap dana Yayasan Akalbudi berjumlah RM 31 Juta.
UMNO Kedah sepatutnya hormat kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin ! Adakah UMNO berfikir Perikatan Nasional ini mampu dibentuk tanpa kerusi “emas” Bersatu? UMNO perlu dengar kata tuan, bukan cuba menjadi tuan.
Kebanyakan negeri akan/sudah jatuh ke tangan Perikatan Nasional. Saya melihat ini sebagai satu langkah memperkasakan Bersatu di peringkat Negeri. Jika Perdana Menteri adalah dari Bersatu, jawatan Menteri Besar dan Ketua Menteri juga harus letaknya kepada Bersatu.
Tetapi, belum sempat Tan Sri Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai PM8, Pengerusi Barisan Nasional merangkap Pengerusi Perhubungan UMNO Johor sudah diangkat sebagai Menteri Besar Johor! Ini tidak adil kepada Bersatu dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perikatan Nasional tidak akan terbentuk tanpa keizinan dan ehsan dari Bersatu dan Tan Sri Muhyiddin Yassin. UMNO, PAS dan mana-mana lagi parti yang berlindung di bawah Perikatan Nasional harus hormat dan akur dengan kami. Ini paling jelas.
Bersatu. Beramanah. Bermaruah.
Bukannya bersatu, bersetia, berkhidmat.
ABDUL HANNAAN KHAIRY
EXCO ARMADA BERSATU MALAYSIA