Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Ahad, 29 Mac 2020

Agih RM4,000 Kepada Setiap Bahagian Parti, Peguam Soal PPBM Dapat Duit Dari Mana.

THE MALAYSIAN INSIGHT | PEGUAM Mohamed Haniff Khatri Abdulla meminta Bersatu menjelaskan sumber dana RM4,000 yang diperuntukkan untuk setiap bahagian parti itu bagi membantu ahli parti yang terjejas akibat wabak Covid-19. 


 
Beliau juga meminta penjelasan adakah penyaluran dana itu mengikut peraturan parti.

Katanya, penjelasan itu seeloknya dibuat oleh bendahari parti, dan bukannya Setiausaha Agung, Hamzah Zainuddin, yang dipertikaikan pelantikannya.

Bekas ketua biro undang-undang Bersatu itu berkata walaupun bantuan itu baik untuk ahli parti yang memerlukan, pengagihan dana itu juga haruslah betul.

“Adakah bantuan kewangan RM4 ribu setiap bahagian Bersatu untuk diagihkan kepada ahli-ahli bahagian, satu perlanggaran perlembagaan parti,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut Haniff, surat yang dikeluarkan oleh Hamzah membayangkan dana itu adalah sumbangan atau derma melalui Presiden Muhyiddin Yassin untuk bantuan terus kepada ahli, dan bukannya dana parti.

Jelas beliau, penjelasan itu penting kerana perlembagaan Bersatu mensyaratkan sebarang perbelanjaan parti yang melebihi RM500,000 perlu diluluskan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi.

Sekiranya itu dana parti, beliau bertanya juga bagaimana mesyuarat itu diadakan ketika Pendaftar Pertubuhan pada 16 Mac lalu melarang mesyuarat parti diadakan sehingga 30 Jun ini.

“Maka ia akan menjadi satu pelanggaran Perlembagaan Parti Bersatu, jika dana parti diagihkan tanpa kelulusan terlebih dahulu oleh Majlis Pimpinan Tertinggi,” katanya.

Haniff adalah antara pihak yang terlibat merangka perlembagaan parti semasa penubuhannya pada pertengahan 2016. Perlembagaan itu kemudian dipinda dan diluluskan pada Perhimpunan Agung Khas Bersatu pada Julai 2019.

Perkara 24.8 Perlembagaan Bersatu menyebut perbelanjaan yang melebihi RM500,000 perlu mendapat kelulusan Majlis Pimpinan Tertinggi.

Dalam satu pekeliling kepada ketua bahagian serta ketua sayap pemuda dan wanita bahagian semalam, Hamzah mengumumkan bantuan tersebut, yang diagihkan RM2,000 untuk bahagian dan masing-masing RM1,000 untuk sayap pemuda dan wanita.

Bantuan itu dianggar melibatkan dana berjumlah RM756,000, berdasarkan jumlah 189 yang ada di seluruh negara.

“Mungkin ada baiknya agar bendahari parti dapat memberi penjelasan berkaitan sumber dana… agar kekeliruan dan kecelaruan berkaitan kesahihan pengagihan dana ini… dapat diselesaikan dengan cara baik dan tuntas, dan berpandukan perlembagaan parti Bersatu sebaiknya,” kata Haniff.

Pada masa sama, Haniff mengulangi kenyataannya meminta Hamzah “belajar menyusun ayat dan bahasa” dengan betul agar tidak menampak dirinya sebagai setiausaha agung parti, ketika kedudukannya dipertikaikan.

Beliau meminta kedudukan jawatan sedia ada dikekalkan sehingga pemilihan parti, yang kini sudah ditangguhkan ke satu tarikh yang belum ditetapkan kerana penularan Covid-19.

Sebelum ini Haniff berkata pelantikan Hamzah tidak mengikut perlembagaan kerana dibuat oleh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin tanpa merujuknya terlebih dahulu dengan Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad.

Perkara 16 Perlembagaan Bersatu memberi kuasa kepada presiden untuk melantik setiausaha agung, bendahari dan ketua penerangan selepas berunding dengan pengerusi.

Dr Mahathir sebelum ini juga mempertikaikan pelantikan Hamzah.

Muhyiddin semalam mengesahkan Hamzah dilantik menggantikan Marzuki Yahya yang dipecat dari jawatan pada 18 Mac lalu.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...