Anwar dan budak-budaknya seakan-akan bermain politik sebagai satu perjudian. ‘Up the ante’ adalah istilah permainan poker. Inilah yang dilakukan Shamsul Iskandar bila dia ‘menasihati’ Azmin Ali untuk bercuti.
Anwar yang ketagih kerusi Perdana Menteri telah sekali lagi melakukan ‘tactical blunder’ dengan mengulangi saranan Shamsul. Bola tanggung buat Azmin Ali. Menjawab dengan tenang soalan wartawan, Azmin berkata : “Read my lips, tell him to look at the man in the mirror.”
Maka terburailah kembali kisah video china doll yang sudah hampir dilupakan. Ketua Polis Negara ketika itu mengatakan hasil siasatan forensik video tersebut adalah tulin. Nah, apakah Anwar masuk perangkap Shamsul Iskandar? Kejituan dari saranan Ketua Penerangan itu adalah Anwar perlu melepaskan jawatan kepresidenan parti KEADILAN.
Dalam tahun-tahun 1990an dia menggambarkan dirinya sebagai Perdana Menteri ke 5. Menjelang PRU14, beliau digembar gemburkan sebagai Perdana Menteri ke 7. Selepas PRU14, pastilah Anwar akan menjadi Perdana Menteri ke 8 yang kononnya sudah ada perjanjijian. Hanya sejengkal sahaja lagi dari kerusi Perdana Menteri.
Walaupun hanya tinggal sejengkal Anwar tidak sabar. Dia bimbang ada orang yang akan memintasnya. Dia pun melempar orang yang dia sangka saingannya dengan batu. Dia tidak sedar dia tinggal dalam rumah kaca.
Atau seperti permainan dam ular dan tangga, Anwar hanya tinggal dua mata untuk sampai ke garisan penamat. Malangnya di mata terakhir sebelum di garis penamat, dia ditelan ular. Maka jatuhlah semula kegarisan permulaan. Umur sudah lanjut, perjalanan kembali jauh. Seeloknya Anwar Ibrahim bersara sahajalah dari politik. - 18 Julai 2019.