Sabtu, 9 Februari 2019

Mansuhkan AES Segera, Rakyat Tidak Mahu Kerajaan Uturn Lagi.

Manivanan Gowin | Mansuhkan Pelaksanaan Kamera AES - Rakyat TIDAK SELESA Dengan ‘Pusingan U’

Saya telah lama mendiamkan diri tanpa sebarang kenyataan, hanya dengan hasrat untuk memberi ruang yang secukupnya untuk Menteri dan Timbalan Menteri Pakatan Harapan memainkan peranan mereka tanpa sebarang gangguan dan tekanan.


Namun, saya mengambil keputusan untuk menasihati rakan - rakan saya yang kini menjadi Menteri dan Timbalan Menteri atas kapasiti, kita pernah sama - sama berjuang dalam Parlimen untuk menjatuhkan rejim UMNO BN dalam PRU 14.

Maka, atas kapasiti sebagai mantan Ahli Parlimen Kapar dan kini mewakili rakyat Bagan Datuk, saya berhak memberi pandangan yang dipanjangkan kepada saya oleh rakyat biasa.

Walaupun saya tidak selesa dengan beberapa keputusan dasar Kerajaan Pakatan Harapan, namun topik yang saya ingin utarakan pada hari ini adalah berkaitan dengan pelaksanaan sistem Automated Enforcement System (AES).

Media massa memaklumkan bahawa pemasangan Kamera AES dilakukan secara meluas dengan hasrat untuk mengurangkan jumlah kemalangan dan kematian di jalan raya.

Walaupun saya menyokong penuh inisiatif Kerajaan PH untuk mengurangkan kemalangan dan kematian di jalan raya, ianya wajar dilaksanakan dengan beberapa mekanisme baru.

Kecetekan mengakui bahawa memang wujud ‘pusingan U’ dan disantuni dengan alasan seperti dulu saman AES dikutip oleh pihak swasta tetapi kini dikutip oleh pihak Kerajaan dan JPJ tidak dapat memujuk dan membantu rakyat untuk menerima pelaksanaan kamera AES.

Saya mempunyai tanggungjawab untuk mengingatkan rakan - rakan saya di dalam Kerajaan PH bahawa kita menolak pelaksanaan kamera AES bukan hanya kerana ia melibatkan isu kontrak yang diberikan kepada pihak swasta. Banyak lagi faktor yang dikaitkan. Apakah kita lupa yang tekanan hidup dan kos sara hidup yang tinggi juga mempengahruhi emosi penguna jalan raya, selain daripada kealpaan dan kecuaian sendiri yang mengakibatkan kemalangan jalan raya.

Setiap langkah Kerajaan PH yang menciplak dasar Kerajaan UMNO BN dengan terma atau alasan baharu (rebranding) hanya akan menyakitkan hati rakyat yang sudah lama terguris dengan dasar - dasar sebegini.

Bilakah sesebuah Kerajaan akan memahami bahawa kelajuan semata - mata bukan penyebab utama berlakunya kemalangan di jalan raya? Bila kali terakhir kita mengkaji had laju yang dibenarkan untuk setiap lebuh raya di Malaysia? Adakah Kerajaan berhasrat untuk membuat pindaan kepada Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Perintah Had Laju Kebangsaan 1989?

Jika kita memilih haluan untuk menghukum dan menyaman rakyat Malaysia, dengan hasrat untuk mengurangkan kemalangan dan kematian jalan raya, rakyat akan menilai kita dengan pita pengukur yang sama; pita pengukur yang digunakan untuk mengukur kecerdikan dan kewibawaan Menteri dan Timbalan Menteri UMNO BN dulu.

Maka, saya berpandangan bahawa Kerajaan PH wajar membawa input dan idea yang bernas untuk mengurangkan kemalangan dan kematian di jalan raya.

Saya mencadangkan satu kajian secara holistik wajar dilakukan untuk mengenalpasti punca - punca kemalangan jalan raya. Kertas kajian ini wajib dibentangkan secara umum tanpa sebarang pengecualian. Kertas kajian sebegini seharusnya mendidik pengguna jalan raya dengan corak dan paten yang sebenar, bukan seperti Kerajaan UMNO BN yang sememangnya dikenali mempunyai kepakaran untuk mengubahsuai fakta dan statistik hanya untuk memperkenalkan dasar baru.

Saya juga mencadangkan agar kelajuan di lebuh raya wajar dikaji dan diperbaharui mengikut keadaan dan perkembangan semasa.

Selain daripada itu, didikan memandu secara berhemah wajar diberi keutamaan oleh Kerajaan PH. Salah satu kegagalan Kerajaan UMNO BN ialah untuk menjaninkan nilai - nilai murni (moral values) dalam sanubari setiap pengguna jalan raya. Seharusnya, dasar dan didikan yang mendekati pengguna jalan raya dengan semangat hormat menghormati di antara penguna jalan raya, akan membawa hasil jangka masa panjang kepada masyarakat kita.

Maka, saya seperti rakyat biasa, memohon agar pelaksanaan kamera AES dimansuhkan seperti yang dijanjikan sebelum PRU14. Kita seharusnya lebih peka kepada suara rakyat dan rakyat tidak selesa dengan ‘pusingan U’ yang dilakukan oleh Kerajaan PH. Setiap ‘pusingan U’ yang kita lakukan, akan merangsangkan tindakbalas yang negatif daripada rakyat biasa. - 9 Februari 2019.


Manivanan Gowin
Ketua Cabang Bagan Datuk
Parti KeADILan Rakyat

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...