Ahad, 17 Jun 2018

Isytihar Cabar Zahid, Ini Kenyataan Tengku Razaleigh.

Kenyataan Media

SELEPAS MENELITI kedudukan UMNO dan menghalusi akan implikasi keputusan yang dibuat, terutamanya mengenai perkara berkaitan dengan soal kepimpinannya, saya, dengan segala rendah diri sambil memanjatkan kesyukuran kehadrat Allah SWT, menawar diri untuk bertanding sebagai Presiden UMNO.
2. Saya membuat keputusan ini demi kepentingan UMNO sebagai sebuah pertubuhan politik nasional yang mendukung hasrat kebangsaan untuk menjunjung perpaduan kaum dan keharmonian ras sebagai gelegar dan teras negara. Sebagai sebuah parti politik kaya dengan pengalaman, saya yakin akan dapat memimpin UMNO untuk meneruskan tradisi tersebut. Di samping itu saya bercadang untuk mempastikan UMNO dapat memainkan peranan sebagai pembangkang setia lagi bertanggung jawab terhadap negara yang sedang mengorak langkah ke persada dunia sebagai sebuah negara maju.
3. Pun begitu, sebagai pemimpin UMNO, saya akan terus menjaga dengan sepenuh hati akar umbi parti yang berasaskan kepada perjuangan melindungi budaya dan warisan Melayu yang cuba dipermudahkan oleh penjajah selepas Perang Dunia Kedua. Di sebaliknya kami akan terus menghormati hakikat kepelbagain kaum yang kita warisi untuk mempastikan keharmonian kaum terjaga. Kami akan terus memupuk dan menjaga sifat liberal ini demi mempastikan Malaysia dihormati sebagai contoh baik mengenai keharmonian kaum.
4. Dalam pada itu UMNO sensitif terhadap realiti politik paska PRU14 dan sudah pasti akan menyesuaikan diri demi mempastikan kami akan terus relevan. Bagi maksud ini UMNO di bawah kepimpinan saya akan memuat perubahan penyesuaian jikalau dianggap perlu.
5. Tidak dapat dinafikan bahawa sebagai sebuah demokrasi Malaysia kini telah mencapai tahap kematangan yang membanggakan. Kematangan politik ini memerlukan pemimpin matang politik. Begitu juga halnya dengan UMNO. Sebagai pengamal politik aktif sejak menjadi ahli UMNO pada 1962, tidaklah keterlaluan sekiranya saya katakan bahawa saya amat faham akan selok-belok politik kepartian dan politik di peringkat kebangsaan. Kepada saya ini merupakan satu satunya ujian sekiranya seseorang itu ingin menawar dirinya bagi tugas kepimpinan.
Tengku Razaleigh Hamzah
Ahli Parlimen Gua Musang
Kuala Lumpur
Sabtu 16 June 2018 / 2 Syawal 1439H

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...