Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Khamis, 17 Ogos 2017

Nak Jalin Kerjasama, PKR Taubat Nasuha Dulu Kata PAS.

PKR mesti “bertaubat nasuha” dulu sebelum berhasrat menjalin kerjasama dengan PAS, kerana keangkuhan dan fitnah berterusan terhadap parti Islam, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Datuk Khairuddin Aman Razali hari ini.
Khairudin Aman Razali
Beliau dilaporkan berkata demikian dalam portal Free Malaysia Today, membalas kenyataan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang berkata partinya masih terbuka kepada kerjasama dengan PAS dalam soal penentuan kerusi pada pilihan raya umum akan datang, hampir 3 bulan selepas parti Islam itu memutuskan kerjasama.
PKR, dan gabungannya, Pakatan Harapan berhasrat memastikan pertandingan 1 lawan 1 menentang Barisan Nasional, namun PAS sebelum ini pernah membayangkan pertandingan 3 penjuru di kerusi yang ditandingi pembangkang.
“Macam mana nak bekerjasama jika pimpinan PKR berterusan menyerang PAS dengan pelbagai tuduhan termasuk fitnah PAS menerima dedak Umno?” kata Khairuddin kepada portal itu.
Beliau berkata PKR menghulurkan kerjasama kerana merasakan kedudukan mereka, khususnya di Selangor, yang ditadbir bersama PAS tergugat.
“Ini hanyalah cubaan PKR menagih simpati PAS,” jawab Khairuddin. “Sebelum ini mereka sombong dan berlagak seolah merekalah parti terkuat di dunia.”
PAS memiliki 13 kerusi DUN di Selangor, bersama dengan PKR (13), DAP (14) dan Amanah (2) untuk membentuk sebuah kerajaan gabungan. Kerusi DUN Bukit Antarabangsa, yang diduduki Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali, berkongsi kawasan Parlimen Ampang dengan Adun Lembah Jaya Khasim Abdul Aziz dari PAS. Kerusi Parlimen Gombak turut mempunyai seorang Adun PAS, Hasbullah Mohd Ridzwan di DUN Gombak Setia.
Sementara kerusi Parlimen Permatang Pauh, yang diduduki Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mempunyai seorang Adun PAS, Salleh Man di DUN Permatang Pasir.
“Ahli dan pimpinan PAS tidak sesekali akan dipatuk ular 2 kali dalam hubungan dengan PKR,” kata Khairuddin.
“Mereka menyokong ahli Parlimen PAS melompat ke parti mereka ketika sedang bertahaluf. Mereka berpakat dengan mereka yang mengkhianati PAS ketika bertahaluf. Di mana semangat setiakawan?”
Beliau dipercayai merujuk kepada Ahli Parlimen Tumpat Kamaruddin Jaafar, yang menyertai PKR pada 11 September 2015. Kemasukan itu menyusuli tindakan keluar parti pemimpin veteran PAS seperti Ahmad Awang, Mohamad Sabu, Khalid Samad, Salahuddin Ayub, Dzulkefly Ahmad, Mujahid Yusuf Rawa dan Raja Kamarul Bahrin untuk membentuk Amanah.
PAS, pada Mei tahun ini secara rasmi menamatkan semua hubungan dan kerjasama dengan PKR, apabila majlis syura parti itu memutuskan langkah itu perlu untuk pertahankan agenda Islam parti itu.
Majlis itu menuduh PKR melanggar syarat kerjasama dengan PAS, apabila gagal menyokong agenda Islam parti itu, dan bekerjasama melawan PAS pada pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...