Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Ahad, 2 Julai 2017

Gambar-Gambar Dan Video Kemusnahan Hutan Taman Rimba Ampang Disebabkan EKVE.

Kemusnahan Hutan Taman Rimba Ampang oleh pembinaan EKVE
2 Julai 2017
Siang tadi saya ada urusan di Ampang. Setelah selesai, saya menuju ke Bukit Belacan untuk meninjau keadaan Taman Rimba Ampang yang terkesan dengan pembinaan lebuhraya EKVE, lebih kurang jam 1pm. Memang sudah lama saya ingin kesana, cuma hari ini ada kesempatan.


Saya amat terkejut dengan keadaan hutan tersebut. Saya tidak sangka ia seteruk ini. Sesiapa yang mempunyai minda yang waras, sudah tentu tidak akan membenarkan perkara ini dari berlaku. 


Kerana itu saya benar-benar bingung memikirkan, kenapakah kerajaan negeri Selangor memberikan kelulusan kepada kerajaan pusat untuk projek tersebut? 

Azmin Ali sebelum ini cepat melepaskan diri dan mendakwa ia diluluskan oleh pentadbiran sebelum ini. Jika begitu, kenapa pula beliau boleh membatalkan projek lebuhraya Kidex? Kenapa EKVE mendapat lampu hijau?
Saya juga amat sedih dengan aktivis alam sekitar, yang kini sudah menjadi ahli politik, malah memegang portfolio exco alam sekitar selangor, Elizabeth Wong. Kenapakah beliau diam seribu bahasa. 


Sewajarnya mereka-mereka ini yang kita lantik menerajui kerajaan negeri yang melindungi alam sekitar. Tetapi perkara sebaliknya berlaku. 

Kawasan ini bukan sahaja merupakan hutan simpan, di sini juga terdapat sungai bukit belacan yang menjadi sumber air untuk Puncak Niaga. bekalan air bersih untuk penduduk sekitar ampang dan hulu kelang.
Suka saya memetik kembali manifesto pakatan rakyat ( https://selangorkini.my/…/manifesto-selangor-print-Malay-FA… ): "Perlindungan Alam Sekitar
 

•Memperketat undang-undang berkaitan dengan pembangunan di lereng bukit.
 

•Mempertingkat kesedaran orang awam terhadap perlindungan alam sekitar.
 

•Memperhebat usaha untuk menanam semula dan melindungi kawasan hutan
negeri sebagai kawasan utama tadahan air dan jelapang hijau"
Apakah ada urusan di bawah meja berlaku sehingga pimpinan Pakatan sanggup mengkhianati manifesto mereka sendiri?

Baiklah, saya hentikan bebelan dan teruskan dengan pemerhatian saya mengenai keadaan hutan Taman Rimba Ampang.
Sebelum tiba di pintu masuk, di sebelah kiri terdapat kawasan tadahan yang dibina seperti acuh tak acuh, dibentengi dengan guni pasir. Lereng bukit hutan sudah digondolkan untuk pembinaan lebuhraya EKVE. Terdapat tanah runtuh berlaku di sini.
Beberapa ratus meter di hadapan, di sebelah kanan, saya dapat memerhatikan sebuah jambatan sementara untuk laluan kenderaan berat dibina merentasi sungai. Ini pelanggaran yang jelas SOP di mana tiada buffer zone. Mohon pihak berkuasa tempatan ( Ampang) mengambil tindakan. Bahagian lereng bukit hutan juga sudah digondolkan. Terdapat juga tanah runtuh.

Saya kemudian tiba di pintu masuk selepas melepasi hoarding hijau. Saya toleh ke kanan dan dapat melihat dengan jelas betapa rapatnya sungai dengan kawasan pembinaan. Di sepanjang jalan di sebelah kanan, guni-guni pasir diletakkan untuk mengelakkan banjir lumpur dari memasuki jalanraya dan sungai kira-kira dalam dua kilometer.
Selepas merentasi jambatan jalanraya, saya terlihat sebatang anak sungai yang sangat daif keadaannya. Di bahagian bawah dibentengi dengan guni pasir. Saya menjejaki anak sungai ini, mendaki bukit sejauh 500 meter.
Di bahagian atas anak sungai ini, saya terlihat kemusnahan hutan pada satu skala yang sangat besar. Dari kiri dan kanan saya, hutan telah digondolkan. Saya juga dapat memerhatikan tiga buah jentolak dan satu jentera pengangkut tanah. Saya merakamkan video di sini.
Saya kemudian menuruni bukit. Peluh membasahi badan saya dengan begitu teruk sekali. Saya menghidupkan enjin kereta dan menala penghawa dingin pada tahap maksimum. Kemudian memandu sehingga ke bahagian hujung. Di sini tiada kereta awam boleh melaluinya kerana ia di bawah seliaan Puncak Niaga yang menjalankan loji penapisan air (intake).




Tanah runtuh yang paling besar berada di sini di sebelah kanan. Sangat besar runtuhannya. Jambatan sementara untuk kegunaan kenderaan pembinaan juga di bina merentasi sungai di sini. Tetapi saya lihat ia tidak digunakan kerana terdapat pita ia disita oleh jabatan perhutanan Selangor. Saya merakamkan video kedua dan ketiga di sini.
Saya kemudian didatangi oleh seorang pengunjung bernama encik Hairi, dari Taman Teratai. Melihatkan saya dengan kamera DSLR dan handycam, beliau mungkin fikir saya seorang wartawan.

Encik Hairi mengatakan kepada saya, keadaan Taman Rimba Ampang tidak lagi seperti dahulu. Pengunjung semakin berkurangan kerana keadaan hutan dan sungai dicemari dengan pembinaan lebuhraya EKVE. Suhu juga tidak sesejuk dahulu kerana hutan digondolkan dengan agak teruk.
Selepas selesai menangkap gambar dan video, saya pulang dengan perasaan yang sangat sedih. Taman Rimba Ampang ini merupakan taman yang kerap saya kunjungi dahulu ketika kecil. Masih segar di ingatan saya keadaannya dahulu yang cantik, indah dan sejuk. Kini ia cuma tinggal memori.



Gambar dan video : Muhammad Harris Nasril

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...