Telegram PH http://t.me/beritapolitikmalaysia

Laporan yang tersiar tidak semestinya mewakili pandangan pihak pentadbir halaman.

Selasa, 26 April 2016

1MDB Gagal Bayar Faedah 50 Juta - Berapa Agaknya Jumlah Hutang Pokok & Aset Apa Yg Bakal Tergadai Selepas Ini?


Kenyataan Media Oleh 1Malaysia Development Berhad
Dikeluarkan pada 26 April 2016
Untuk siaran segera

Ingkar bayar terhad (limited default) berpunca daripada tidak membayar faedah USD50.3 juta ke atas Nota Langat

 

1Malaysia Development Berhad (“1MDB”) menyatakan bahawa International Petroleum Investment Company (“IPIC”) tidak membuat bayaran faedah sebanyak USD50.3 juta seperti yang tertakluk dalam kertas terma terikat (binding term sheet) yang ditandatangani pada 28 Mei 2015, di mana IPIC telah memikul tanggungjawab untuk membayar nilai faedah dan prinsipal untuk, antaranya, nota AS$1.75 billion dengan kadar tetap 5.75% berakhir 2022 yang diterbitkan oleh 1MDB Energy (Langat) Limited (“Nota Langat”). 

Sewajarnya, berikutan pertikaian di antara kedua-dua pihak, 1MDB mahupun anak syarikatnya, 1MDB Energy (Langat) Limited, masih belum membuat pembayaran, dan kini berada di dalam situasi ingkar bayar (default) mengikut terma-terma Nota Langat.

Walau apa pun pertikaian dengan IPIC, 1MDB menegaskan bahawa ia tetap akan menunaikan segala kewajipan kewangannya yang lain dan mempunyai tunai yang cukup untuk berbuat demikian. 1MDB menangguhkan pembayaran faedah tersebut berikutan dakwaan IPIC bahawa 1MDB masih belum membuat beberapa pembayaran dan mempunyai obligasi hutang dengan mereka.

1MDB terkejut dengan komen dari IPIC dan tanpa ragu-ragu menegaskan bahawa ia telah mencuba untuk memenuhi semua tanggungjawabnya kepada IPIC, sedangkan IPIC secara terbuka menafikan penerimaan atau pengetahuan tentang pelbagai transaksi kewangan dan/atau jaminan yang dibuat antara pihak-pihak terbabit. Oleh itu, walaupun 1MDB mempunyai dana untuk membuat pembayaran faedah itu, namun secara prinsipnya, kami berpendirian bahawa adalah tanggungjawab IPIC untuk membayarnya. Sehingga IPIC mengakui bahawa semua kewajipan telah dipenuhi, 1MDB mengambil langkah untuk menangguhkan pembayaran dan akan mendapatkan tindakan dan penyelesaian mengikut undang-undang.

Ingkar silang terhad

Berikutan ingkar bayar (default) ke atas Nota Langat, 1MDB mengesahkan bahawa ingkar bayar silang (cross default) telah diaktifkan ke atas Sukuk 1MDB bernilai RM5 bilion berakhir 2039 (“Sukuk 1MDB”) dan Sukuk Bandar Malaysia Sdn Bhd bernilai RM2.4 bilion berakhir antara 2021 dan 2024 (“Sukuk BMSB”).

Tiada ingkar silang 1MDB ke atas pinjaman RM800 juta daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (“Pinjaman Perkeso”). Walau bagaimanapun, terdapat kemungkinan bahawa klausa “material adverse effect” akan dilaksanakan berikutan perkembangan yang telah dinyatakan di atas.

Kedua-dua Sukuk 1MDB dan Pinjaman Perkeso mendapat manfaat daripada jaminan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia.

1MDB mengesahkan bahawa tidak wujud ingkar silang ke atas hutang-hutangnya yang lain, iaitu nota 1MDB Energy Limited bernilai AS$1.75 bilion dengan kadar tetap 5.99% (“Nota Energy”) dan nota 1MDB Global Investments Limited bernilai AS$3.00 bilion dengan kadar tetap 4.4% (“Nota GIL”). 1MDB tidak mempunyai sebarang hutang lain.

Sepanjang minggu lalu, 1MDB telah secara proaktif bertemu dan menerangkan kepada Pemegang Amanah dan pelabur Sukuk 1MDB dan Sukuk BMSB berkenaan kemungkinan yang boleh berlaku berikutan pertikaian dengan IPIC ini. 1MDB juga telah berhubung dengan Perkeso. 1MDB percaya bahawa pihak-pihak berkenaan dan pasaran kewangan secara umumnya, akan memahami bahawa ingkar bayar yang tidak disengajakan ini merupakan sesuatu yang spesifik kepada pertikaian dengan IPIC dan bukan disebabkan oleh ketidakupayaan untuk membuat pembayaran apabila tiba masanya.
Perbincangan dengan semua pemegang bon


1MDB telah dan akan terus menjalankan perbincangan dengan semua pemegang bon dan Sukuk untuk menjelaskan latar belakang pertikaian; menjelaskan mengapa ia telah mengambil pendirian untuk tidak membuat bayaran faedah ke atas Nota Langat; dan menegaskan bahawa ia mempunyai pelan rasionalisasi yang berjaya yang membolehkan ia memenuhi semua obligasi hutang sedia ada.

1MDB ingin menegaskan bahawa ia komited untuk bekerja secara terbuka dengan IPIC untuk menyelesaikan pertikaian ini dalam usaha untuk meminimakan kesan ke atas semua pihak yang berkepentingan dan untuk mengelakkan keperluan untuk mempercepatkan bayaran bon atau Sukuk dengan cara yang akan menimbulkan risiko yang signifikan kepada pelan rasionalisasinya.

1MDB mengalu-alukan dialog dengan semua pemegang bon/Sukuk dan meminta mereka menghubungi 1MDB melalui investor.relations@1mdb.com.my. 

Nota:

Pada 4 Jun 2015, International Petroleum Investment Company (“IPIC”) telah membuat pengumuman bahawa ia akan memikul tanggungjawab Penerbit untuk membayar faedah yang dikenakan di bawah Nota Langat sebagai pertukaran dengan beberapa usaha tertentu untuk memindahkan aset dan tunai kepada IPIC. 

Faedah perlu dibayar pada tarikh pembayaran faedah separa tahunan iaitu 18 April 2016, ke atas Nota AS$1.75 bilion 5.75% berakhir 2022 yang dikeluarkan oleh Penerbit.

Pelan Rasionalisasi

Pelan rasionalisasi 1MDB bersandarkan pada tiga teras utama: pertama, penjualan aset tenaga Edra Global Energy; kedua, penjualan hartanah di Bandar Malaysia; dan ketiga, pertukaran hutang dengan aset yang dipersetujui oleh IPIC. Melalui ketiga-tiga teras ini, segala hutang 1MDB akan dilunaskan, dipindahkan atau dipadankan, mengikut andaian semasa. 

Sehingga kini, pelan rasionalisasi ini telah berjaya dalam penjualan Edra Global Energy dan penjualan 60% ekuiti dalam Bandar Malaysia. Hasil penjualan ini telah digunakan untuk membayar balik semua hutang bank dan hutang jangka pendek 1MDB. 1MDB kini mengekalkan lebihan tunai kira-kira RM2.3 bilion untuk keperluan infrastruktur dan pembayaran hutang lain. 

Obligasi hutang akan datang telah dipadankan sepenuhnya dengan penjualan tanah Bandar Malaysia, pembangunan dan penjualan tanah TRX serta penjanaan dana daripada tanah Pulau Indah dan Air Itam.

Share this

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...